More
    HomeHadisBusuk Daging dengan Sebab Bani Isra’il

    Busuk Daging dengan Sebab Bani Isra’il

    Ikuti kami untuk info terkini

    Soalan : Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Benarkah busuknya daging dengan sebab bani Isra’il? Mohon pencerahan. Terima kasih.

    Jawapan :

    Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

    Dalam menjawab persoalan di atas, kami katakan bahawa benar, terdapat hadith yang menyatakan bahawa kalau bukan kerana bani Isra’il, pasti daging tidak busuk.

    Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Abu Hurairah R.A, beliau berkata: Rasulullah SAW bersabda:

    لَوْلاَ بَنُو إِسْرَائِيلَ لَمْ يَخْنَزِ اللَّحْمُ، وَلَوْلاَ حَوَّاءُ لَمْ تَخُنْ أُنْثَى زَوْجَهَا الدَّهْرَ

    Maksudnya: “Kalau bukan kerana bani Isra’il, pasti daging tidak busuk, dan kalau bukan kerana Hawa’, pasti wanita tidak akan khianat terhadap suaminya buat selama-lamanya.”

    Riwayat al-Bukhari (3399)

    Hadith ini menunjukkan kepada daging yang membusuk sebagaimana yang diketahui, disebabkan oleh kemaksiatan yang dilakukan oleh Bani Isra’il. Para ulama berbeza pendapat dalam menentukan maksud daging yang membusuk itu kepada beberapa pendapat :

    Pendapat pertama : Ada dalam kalangan mereka yang berpendapat, kerosakan pada daging ini tidak pernah berlaku pada daging sebelum Bani Isra’il. Apabila Bani Isra’il melakukan maksiat, mereka ditimpa dengan daging yang membusuk lalu hal itu berterusan/berlanjutan selepasnya. Imam al-Nawawi menyatakan, para ulama menyebutkan, maknanya ketika Bani Isra’il dianugerahkan nikmat mann dan salwa, mereka dilarang daripada menyimpan lebihannya. Namun, mereka tetap menyimpannya, dan akibatnya daging menjadi rosak dan membusuk. Keadaan ini berlanjut sejak saat itu. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 10/59).

    Pendapat kedua : Maksudnya adalah kerosakan daging sebelumnya telah pun ditentukan (yakni berlaku), tetapi manusia tidak pernah menyimpan daging, jadi mereka tidak menyedari kebusukan/kerosakan daging seperti itu. Namun, apabila Bani Isra’il mula menyimpannya, mereka mengetahui sebabnya itu.

    Syeikh ‘Abd al-Rahman al-Sa‘di berkata, Bani Isra’il diingatkan untuk tidak menyimpan daging yang diberikan kepada mereka tetapi mereka tetap menyimpannya dengan ketakutan dan kecemasan yang berlebihan, dan kekurangan kepercayaan kepada Allah SWT. Orang sebelum itu, biasa memakan daging dalam keadaan lembut dan tidak menyimpannya. Namun, apabila Bani Isra’il mula menyimpannya dan mereka ialah orang pertama yang melakukan hal itu. Sedangkan sebelumnya, orang-orang biasanya memakan daging dalam keadaan lembut, dan jika ada lebihan, mereka memberikannya sebagai hadiah atau sedekah, dan tidak membiarkannya menjadi busuk. Namun, apabila Bani Isra’il menyimpannya, orang lain mula mengikutinya, dan ini mengakibatkan hilangnya kebaikan tersebut. (LIhat Majmu‘ Mu’allafat al-Sa‘di, 21/53).

    Pendapat ketiga : Maksudnya daging yang busuk itu sudah ditentukan sebelumnya kerana pengetahuan Allah mendahului apa yang akan dilakukan Bani Isra’il. Al-‘Iraqi menyatakan, berkemungkinan perubahan itu telah berlaku sejak dahulu sebelum adanya Bani Isra’il, dengan sebab Allah mengetahui apa yang akan terjadi dari dosa Bani Isra’il setelah itu. (Lihat Tarh al-Tathrib, 7/65).

    Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

    Kami akhiri dengan doa :

    اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

    Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

    Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri

    LEAVE A REPLY

    Please enter your comment!
    Please enter your name here

    TRENDING