More
    HomeIbadahBagaimana Cara Makmum Perempuan Menegur Kesilapan Imam Dalam Solat?

    Bagaimana Cara Makmum Perempuan Menegur Kesilapan Imam Dalam Solat?

    Ikuti kami untuk info terkini

    Mengingatkan imam yang lupa bagi makmum hukumnya adalah sunnah. Para ulamak juga bersepakat bahawa makmum perlu menegur dan membetulkan imam jika dia tersalah atau terlupa pada bacaan al-Qur’an atau pada perbuatan-perbuatan solat yang lain. (Al-Taj wa al-Iklil 2/27, Mathalib Uli al-Nuha 1/485 dan Nail al-Authar 2/373).

    Dinyatakan bahawa cara makmum lelaki mengingatkan imam adalah dengan bertasbih (subhaanallah), sementara bagi makmum perempuan adalah dengan bertepuk tangan. Ini berdasarkan beberapa hadis antaranya riwayat Abu Daud dari Sahl bin Sa’d, bahawa Nabi SAW bersabda;

    إِذَا نَابَكُمْ شَيْءٌ فِي صَلاَتِكُمْ فَلْيُسَبِّحِ الرِّجَال وَلْتُصَفِّقِ النِّسَاءُ

    Maksudnya: Jika terjadi sesuatu dalam solat kamu, maka hendaklah lelaki membaca tasbih dan perempuan bertepuk tangan.

    Dalam hadis yang lain diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

    ‏ التَّسْبِيحُ لِلرِّجَالِ وَالتَّصْفِيقُ لِلنِّسَاءِ ‏‏

    Maksudnya: “Bertasbih untuk lelaki, dan bertepuk untuk wanita”

    Riwayat Bukhari

    Dalam hal ini Imam Nawawi menyebut, bahawa di sisi Mazhab Syafie, cara menegur Imam bagi orang lelaki ialah dengan cara bertasbih dan bertepuk bagi orang perempuan. (al-Majmu’, 4/13)

    Menurut Ibn Abd al-Barr pula, beliau menukilkan pandangan sebahagian ahli ilmu yang menyatakan bahawa sebab makruhnya tasbih oleh wanita, dan keharusan menepuk untuk menegur imam adalah kerana kelembutan suara kebanyakan wanita dan mungkin ia akan mengganggu tumpuan jemaah lelaki. (Al-Tamhid lima fi al-Muwatta’ min al-Ma’ani wa al-Asanid 21/108)

    Menurut Imam al-Zarkasyi pula, menepuk untuk menegur imam adalah dalam keadaan wujudnya lelaki-lelaki ajnabi; adapun jika jemaah solat dan imam terdiri daripada wanita atau lelaki-lelaki mahram, maka hendaklah mereka bertasbih secara jahar (kuat dan terang). (Rujuk Mughni al-Muhtaj 1/418)

    Persoalannya bagaimanakah cara bagi makmum perempuan menepuk ketika hendak mengingatkan Imam di dalam solat?

    Pertama : Menurut ulamak Hanafiyah dan Syafieyah, adalah dengan cara menepukkan punggung jari-jari tangan kanan pada permukaan telapak tangan kiri. Pendapat kedua dalam kedua mazhab ini ialah adalah dengan cara menepukkan permukaan telapak tangan kanan pada punggung tangan kiri. Cara ini adalah cara yang paling masyhur dilakukan di kalangan ulama Hanafiyah dan Syafieyah.

    Kedua : Menurut ulamak Malikiah, adalah dengan cara menepukkan punggung dua jari tangan kanan pada telapak tangan kiri. Ada juga pendapat dari pandangan Malikiah yang mengatakan bahawa lelaki dan perempuan bertasbih, dan melarang wanita bertepuk di dalam solat mereka. (Fath al-Qadir, 1/356).

    Mereka berpandukan pada satu hadis riwayat imam Bukhari secara umumnya Nabi SAW bersabda:

    مَنْ نَابَهُ شَيْءٌ فِي صَلاَتِهِ فَلْيَقُل سُبْحَانَ اللَّهِ

    Maksudnya: “Barangsiapa yang terjadi sesuatu dalam solatnya,maka ucapkanlah tasbih (Subhanallah)”.

    Ketiga : Menurut ulamak Hanabilah, adalah dengan cara menepukkan telapak tangan pada punggung tangan yang lain. Ini sebagaimana disebutkan dalam kitab Al-Mausu’ah Al-Fiqhiyah Al-Kuwaitiyah yang mengatakan;

    لِلْمَرْأَةِ فِي كَيْفِيَّةِ تَصْفِيقِهَا فِي الصَّلاَةِ طَرِيقَتَانِ عِنْدَ الْحَنَفِيَّةِ وَالشَّافِعِيَّةِ.إِحْدَاهُمَا: أَنْ تَضْرِبَ بِظُهُورِ أَصَابِعِ الْيَدِ الْيُمْنَى عَلَى صَفْحَةِ الْكَفِّ الْيُسْرَى.ثَانِيَتُهُمَا: أَنْ تَضْرِبَ بِبَطْنِ كَفِّهَا الْيُمْنَى عَلَى ظَهْرِ كَفِّهَا الْيُسْرَى، وَهُوَ الأْيْسَرُ وَالأْقَل عَمَلاً، وَهَذَا هُوَ الْمَشْهُورُ عِنْدَهُمْ وَعِنْدَ الْمَالِكِيَّةِ عَلَى الْقَوْل بِهِ أَنْ تَضْرِبَ بِظَهْرِ أُصْبُعَيْنِ مِنْ يَمِينِهَا عَلَى بَاطِنِ كَفِّهَا الْيُسْرَى. وَعِنْدَ الْحَنَابِلَةِ: أَنْ تَضْرِبَ بِبَطْنِ كَفٍّ عَلَى ظَهْرِ الأْخْرَى

    Maksudnya: Ada dua cara bagi perempuan ketika bertepuk tangan dalam solat menurut ulama Hanafiyah dan ulama Syafieyah. Pertama, ia memukulkan punggung jari tangan kanannya pada bahagian permukaan telapak tangan kirinya. Kedua, ia memukulkan telapak tangan kanannya pada bahagian punggung telapak tangan kirinya. Ini yang lebih mudah dan lebih sedikit kerjanya, dan ini merupakan cara yang masyhur di kalangan mereka. Menurut ulama Malikiah, ia memukulkan punggung dua jari tangan kanannya pada bahagian telapak tangan kirinya. Sementara menurut ulama Hanabilah, ia memukulkan telapak tangan pada punggung tangan yang lain.

    Wallahua’lam

    Ustaz Nik Nizam Nasir

    LEAVE A REPLY

    Please enter your comment!
    Please enter your name here

    TRENDING