More
    HomeIbadahBenarkah Permulaan Tawaf dengan Sunat Kucup Hajar Aswad?

    Benarkah Permulaan Tawaf dengan Sunat Kucup Hajar Aswad?

    Ikuti kami untuk info terkini

    Soalan : Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah permulaan tawaf itu, dengan sunat untuk mengucup Hajar Aswad?

    Jawapan :

    Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

    Firman Allah SWT dalam Surah Al-Hajj ayat 29 :

    وَلْيَطَّوَّفُوا بِالْبَيْتِ الْعَتِيقِ

    Maksudnya: “Dan hendaklah mereka tawaf akan Baitullah (Kaabah) yang tua sejarahnya itu

    Kami nyatakan bahawa al-Hajar al-Aswad merupakan batu yang diletakkan oleh Nabi Ibrahim AS di salah satu daripada penjuru Ka’bah (sudut Timur Ka’bah dan sebelah kiri multazam) dan Allah SWT menurunkannya dari Syurga. Sabda Nabi SAW :

    نَزَلَ الحَجَرُ الأَسْوَدُ مِنَ الجَنَّةِ، وَهُوَ أَشَدُّ بَيَاضًا مِنَ اللَّبَنِ فَسَوَّدَتْهُ خَطَايَا بَنِي آدَمَ

    Maksudnya: “Al-Hajar al-Aswad diturunkan dari Syurga. Warna lebih putih daripada putihnya susu tetapi ia telah dihitamkan oleh sebab dosa-dosa anak Adam.”

    Riwayat al-Tirmizi (877) dan beliau nyatakan hadith ini dinilai sebagai hasan sahih

    Dalam menjawab persoalan di atas, kami kemukakan hadith daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma, katanya :

    أنَّهُ كَانَ يُقَبِّلُ الحَجَرَ الأَسْوَدَ، وَيَسْجُدُ عَلَيْهِ

    Maksudnya: “Bahawa Baginda mencium Hajar Aswad dan bersujud kepadanya.”

    Diriwayatkan secara marfu’ oleh al-Tayalisi (28), al-Darimi (1865), al-Fakihi dalam Akhbar Makkah (77), al-Bazzar (215), Ibn Khuzaimah (2714), al-Hakim (1/455) dan al-Baihaqi (5/74). Diriwayatkan juga secara mauquf oleh al-Syafi’i dalam Musnadnya (951), Abd al-Razzaq (8912), Ibn Abi Syaibah (14972) dan al-Baihaqi (5/75).

    Hadith ini adalah dha’if. Perbuatan mencium Hajar Aswad terdapat dalam Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim, iaitu hadith Umar bin al-Khattab secara marfu’ kepada Nabi SAW. Adapun bersujud, diriwayatkan oleh al-Hakim dan al-Baihaqi dengan sanad yang bersambung sampai kepada Ibn ‘Abbas secara marfu’. Keduanya meriwayatkannya secara mauquf. Al-Zahabi mentarjihkan dalam al-Mizan tentang ke-mauquf-annya dan diriwayatkan oleh al-Tayalisi, al-Darimi, Ibn Khuzaimah, Ibn Sakan dan al-Bazzar iaitu hadith Ja’far bin Abdullah, daripada Muhammad bin Ibad bin Ja’far, daripada Ibn ‘Abbas secara marfu’. Al-Uqaili berkata: “Dalam hadith Ja’far bin Abdillah itu, ada kesilapan dan kekeliruan.”

    Berdasarkan hadith ini, terdapat beberapa pengajaran, antaranya :

    • Disunatkan mencium Hajar Aswad ketika memulakan tawaf dan ketika sejajar dengannya di pertengahan tawaf. Dan ini adalah Sunnah yang tetap berdasarkan hadith-hadith sahih. Antaranya hadith Umar yang terdapat dapat Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim.
    • Hadith ini menunjukkan kesunnahan sujud kepada Hajar Aswad. Akan tetapi, hadith ini tidak kuat ke-marfu’-annya dan tidak cukup untuk diberlakukan sujud. Sedangkan seluruh ibadah itu bersifat tauqifi (terhenti melainkan terdapat petunjuk Allah dan Rasul-Nya). Pada asalnya, adalah dilarang kecuali ada ketetapan yang disyariatkan dari Allah SWT atau dari Rasulullah SAW. Oleh kerana itu, diriwayatkan daripada Imam Malik, “Sujud kepada Hajar Aswad itu merupakan bid’ah.”
    • Disyariatkan mengusap Hajar Aswad dan menciumnya bagi yang mudah melakukan hal itu. Adapun jika disertai dengan bersesakan dan kesulitan oleh orang-orang yang tawaf, maka itu tidak disyariatkan, bahkan meninggalkannya itu lebih utama kerana mencium itu hanya keutamaan sahaja, sedangkan menyakiti orang itu diharamkan. Maka hal yang disunatkan tidak boleh didahului oleh hal yang diharamkan.

    Inilah sepertimana yang dijelaskan oleh Syeikh Abdullah al-Bassam (Lihat Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, 4/132).

    Justeru, dapat difahami bahawa hukum mencium/memegang batu Hajar Aswad adalah sunat. Perbuatan mencium Hajar Aswad bukanlah bererti menyembah batu tersebut, namun sebagai  salah satu sunnah Nabi. Hal ini juga sebagaimana dalam hadith daripada ‘Umar R.A, katanya :

    إِنِّي أَعْلَمُ أَنَّكَ حَجَرٌ مَا تَنْفَعُ وَلاَ تَضُرُّ، ولَوْلا أنِّي رأَيْتُ رسولَ اللَّه صَلّى اللهُ عَلَيْهِ وسَلَّم، يُقَبِّلُكَ مَا قَبَّلْتُكَ

    Maksudnya: “Sesungguhnya aku (Saidina Umar al-Khattab) mengetahui, engkau hanyalah batu yang tidak memberi manfaat dan mudarat. Jika tidak kerana aku melihat Rasulullah SAW menciummu, nescaya aku tidak akan menciummu.”

    Riwayat al-Bukhari (167)

    Kami akhiri dengan doa :

    اللّٰهُمَّ اجْعَلْ حَجَّنَا حَجًّا مَبْرُوْرًا، وَعُمْرَتَنَا عُمْرَةً مَبْرُوْرًةً، وَسَعْيَنَا سَعْيًا مَشْكُوْرًا، وَذَنْبَنَا ذَنْبًا مَغْفُوْرًا، وَعَمَلَنَا عَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا، وَتِجَارَتَنَا تِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ.

    Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah haji kami, haji yang mabrur, umrah kami, umrah yang mabrurah, sa’ie kami sa’ie yang diterima, dosa kami dosa yang diampuni dan amalan kami amalan soleh yang dikabulkan dan perniagaan kami perniagaan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.”

    Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri

    LEAVE A REPLY

    Please enter your comment!
    Please enter your name here

    TRENDING