Ada sahabat tanya saya apakah hukum ambil duit yuran dalam sesuatu pertandingan? Saya katakan tengok dulu ke mana perginya duit yuran. Andai duit yuran dibeli hadiah maka barulah kita katakan ianya menyalahi hukum. Maka sebaiknya kita hubungilah penganjur kerana jawapan penganjur itu lah yang menyebabkan hukum itu terjadi.
Walau bagaimanapun ada artikel lama yang saya ingin kongsikan bersama :
Garis Panduan dan Konsep pertandingan dan hadiah di dalam Islam
#Takrif Pertandingan
Pertandingan di dalam bahasa Arab disebut sebagai “al-musabaqah” atau “alsabq” yang bererti maju ke hadapan di dalam (perlumbaan) larian dan di dalam perkara-perkara yang lain. Manakala “al-sabaq” pula membawa maksud sesuatu yang menjadi rebutan dalam pertandingan.
Perkataan “al-musabaqah” dan beberapa perkataan lain yang ada kaitannya di atas membawa makna yang sama dengan perkataan “pertandingan” di dalam bahasa Melayu. Pertandingan diertikan sebagai perihal bertanding, perlawanan (seperti bola dan sebagainya), perlumbaan (seperti berlari, berenang dan lain-lain) dan peraduan (seperti menembak dan seumpamanya).
#Hukum Asal Pertandingan
Secara asasnya, para fuqaha bersepakat bahawa hukum asal pertandingan adalah harus. Ini adalah berasaskan kepada firman Allah SWT :
وَأَعِدُّوا لَهُمْ مَا اسْتَطَعْتُمْ مِنْ قُوَّةٍ وَمِنْ رِبَاطِ الْخَيْلِ تُرْهِبُونَ بِهِ عَدُوَّ اللَّهِ وَعَدُوَّكُمْ .
Maksudnya : Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka dengan kekuatan apa sahaja yang kamu sanggupi dan dari kuda-kuda yang ditambat untuk berperang (yang dengan persiapan itu) kamu menggentarkan musuh Allah dan musuhmu.
Al-Mawardi menjelaskan bahawa arahan menyediakan kekuatan untuk berperang tidak akan sempurna melainkan dengan adanya latihan dan pertandingan.
Dalam masalah judi, keputusan majlis Fiqh Antarabangsa “Organization of the Islamic Conference, Islamic Fiqh Academy” dalam sidangnya ke 14 pada 8 – 13 ZulQaedah 1423 H (11-16 Jan 2003) yang lalu telah memutuskan (keputusan nombor 127 (14/1), unsur perjudian dalam sebarang peraduan, permainan dan pertandingan dalam dua bentuk seperti berikut :-
- Disebabkan oleh jenis permainan : Iaitu apabila ia bersifat permainan yang hanya bergantung kepada tuah (game of luck) untuk menang serta memerlukan bayaran untuk menyertainya
- Disebabkan oleh hadiahnya : iaitu apabila hadiahnya diambil dari kumpulan wang penyertaan semua peserta.
Para ulama kontemporari dalam persidangan fiqh di atas mentakrifkan judi (al-qimar) mengandungi dua unsur utama :-
- Setiap permainan yang mensyaratkan mereka yang kalah untuk membayar sesuatu.
- Mengambil harta orang lain dalam situasi ‘mukhatarah‘ atau risiko samada akan dapat atau tidak dapat.
Ibnu Qudamah al-Maqdisiy menjelaskan bahawa:
“Setiap permainan yang terdapat pertaruhan (al-qimar) di dalamnya, ia adalah haram walau apa jenis permainan sekalipun kerana ia tergolong di dalam al-maisir (perjudian) yang diperintahkan Allah agar dijauhi oleh orang beriman”.
(al-Mughni, Ibnu Qudamah al-Maqdisiy, 14/154)
Maisir atau perjudian telah diharamkan dengan nas yang qatie. Firman Allah yang bermaksud :
“Wahai orang-orang beriman! Sesungguhnya arak, judi (al-maisir), pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, (semuanya) adalah kotor (keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya”
(al-Maidah: 90)
Para mufassir di dalam memberi makna menegaskan bahawa, al-maisir (judi) di dalam ayat di atas merangkumi semua jenis pertaruhan (al-qimar).
Jumhur ulama berpendapat bahawa semua jenis pertaruhan (al-qimar) adalah haram mengikut Islam. Yang dimaksudkan pertaruhan (al-qimar) itu ialah dua pihak atau lebih masing-masing mengeluarkan wang atau harta, kemudian pihak yang bernasib baik akan memperoleh wang itu, sementara yang tidak bernasib baik akan menanggung kerugian (hangus wang pertaruhannya).
Sedangkan Islam menegah unsur-unsur penindasan ke atas orang lain biarpun duit ditaruhkan atas nama yuran penyertaan dan pengurusan.
Dalam pertandingan memancing, burung, ayam serama atau sebagainya, ada unsur pertaruhan atau jika membabitkan hadiah atau pemberian. Walau bagaimanapun tidak semua hadiah akan menjadi judi atau pertaruhan. Ada yang menjadi hibah (hadiah) yang dihalalkan oleh syarak.
Kesimpulannya, hadiah pertandingan yang dibenarkan dalam Islam hanyalah jika :-
- Hadiah didermakan oleh pihak ketiga yang tidak memasuki pertandingan. Manakala wang yuran peserta hanya untuk kegunaan pentadbiran pertandingan.
- Hadiah diambil daripada sebahagian yuran peserta sahaja, manakala yang lain digunakan untuk kegunaan pentadbiran pertandingan.
Kedua-dua keadaan di atas menunjukkan hadiah akan menjadi hibah dan bukanlah hasil judi atau pertaruhan.
Adapun jika hadiah diambil dari wang yang dikeluarkan oleh peserta-peserta yang bertanding sama ada dalam bentuk yuran penyertaan, bayaran penyertaan atau sebagainya, maka ia akan menjadi judi atau pertaruhan dan syarak mengharamkannya.
Secara umum, bagi pertandingan yang dianjurkan, hendaklah memenuhi perkara-perkara berikut:
- Jenis pertandingan adalah harus, tidak haram.
- Tidak membabitkan pertaruhan yang berupa perjudian.
- Hadiah bukan datang dari sumber yang haram seperti dari syarikat arak, judi atau sebagainya.
- Tidak melalaikan dari kewajipan syarak; solat dan sebagainya.
- Tidak melibatkan larangan-larangan syarak yang lain seperti (Ikhtilat) percampuran lelaki dan wanita yang bukan mahram.