More
    HomeIbadahMakmum Tidak Sujud Sejadah Bersama Imam Sebaliknya Melakukan Rukuk

    Makmum Tidak Sujud Sejadah Bersama Imam Sebaliknya Melakukan Rukuk

    Ikuti kami untuk info terkini

    Baru-baru ini saya telah menerima satu soalan daripada seorang sahabat daripada tanah suci Mekah. Kesnya ialah imam melakukan sujud sejadah tetapi makmum tidak mengikut imam sebaliknya terus rukuk. Persoalannya bagaimana status solat makmum terlibat, adakah dikira batal dan perlu diqadakkan semula atau bagaimana?

    Jawapan :

    Dalam kes di atas menurut Ibn Imad al-Misri al-Syafi‘i (1409H), apabila imam membaca ayat sejadah pada hari Jumaat atau lain-lain dan kemudian melakukan sujud tilawah, pada dasarnya makmum wajib sujud mengikut imam.

    Jika makmum tidak ikut sujud bersama imam, solatnya dikira batal. Begitu juga jika imam meninggalkan sujud sejadah itu tetapi makmum pula yang sujud atau makmum yang membaca ayat sejadah di belakang imam lalu sujud, solat juga batal.

    Dalam kes di atas makmum berkewajipan mengqadha semula solatnya itu. Makruh bagi makmum membaca ayat sejadah di belakang imam.

    Jika makmum di belakang imam turun untuk sujud tetapi imam telah mengangkat kepalanya bangkit daripada sujud sejadah sebelum makmum sempat meletakkan dahinya di atas lantai, makmum tidak perlu lagi sujud. Jika makmum tersebut sujud juga, solatnya batal, kerana dia dikira menambah rukun dalam solat. Tempat untuk mengikut imam dikira sudah luput apabila imam mengangkat kepalanya daripada sujud tersebut sedangkan makmum belum sempat meletakkan dahinya ke lantai.

    Walau bagaimanapun, jika makmum tidak dapat ikut sujud sejadah bersama dengan imam kerana sesuatu keuzuran syar’i, solatnya tidak batal. Dia tidak dituntut untuk sujud sejadah lagi bersama dengan imam, jika luput sujud sejadah bersama dengan imam tersebut. Cuma apa yang perlu dilakukannya seterusnya ialah mengikut imam pada baki solat yang sedang ditunaikannya itu.

    Secara terperincinya perbahasan tentang isu di atas tidak sunyi daripada dua perkara iaitu:

    1. Makmum sengaja tidak mengikut imam apabila imam sujud sejadah, sebaliknya mereka rukuk sebagai ganti daripada mengikut imam melakukan sujud sejadah tersebut. Dalam situasi ini, solat yang ditunaikan makmum tersebut dikira batal, kerana dua sebab.
      • Makmum rukuk sebelum imam dengan sengaja.
      • Makmum tidak mengikut imam dalam melakukan sujud sejadah berdasarkan pendapat ulama yang mewajibkan ikut imam dalam sujud tersebut.
    2. Makmum tidak ikut sujud sejadah bersama dengan imam kerana lupa atau menyangkakan imam ingin rukuk sahaja, lantas mereka turut rukuk. Setelah itu, imam bangkit daripada sujud sejadah. Dalam situasi ini, solat makmum tidak batal dan makmum juga tidak wajib menggantikan semula sujud sejadah tersebut. Mereka hendaklah terus berdiri semula untuk bersama dengan imam sehingga imam menghabiskan bacaannya, seterusnya hendaklah rukuk bersama dengan imam apabila imam rukuk dan mengikut imam pada baki solat yang lain. Mereka dikira orang yang uzur syar’i.

    Saya nukilkan semula ulasan Imam al-Nawawi yang sama sahaja dengan ulasan di atas. Dalam hal ini Imam al-Nawawi pernah menyatakan di dalam Majmu’ Syarah al-Muhazzab: Jika imam sujud sejadah, wajib kepada makmum ikut sujud bersama dengan imam.

    Jika makmum tidak sujud, solatnya dikira batal.

    Ini kerana dia telah dikira tertinggal daripada imam dalam bentuk ketinggalan yang tidak dimaafkan.

    Namun jika imam tidak sujud sejadah, makmum tidak perlu sujud sejadah tersebut. Jika makmum menyelisihi imam lalu sujud sejadah, solatnya dikira batal tanpa sebarang perbezaan pendapat dalam kalangan ulama.

    Cuma disunatkan kepada makmum sujud sejadah tersebut selepas imam memberi salam bagi menampung semula sujud yang tidak dapat dilakukannya itu. Hukum berbuat demikian walau bagaimanapun tidaklah wajib.

    Jika imam sujud tetapi makmum tidak mengetahuinya sehingga imam mengangkat kepalanya daripada sujud, solat makmum tidak batal, kerana makmum dikira ketinggalan daripada imam dalam bentuk ketinggalan yang dimaafkan. Tetapi dia tidak boleh pula sujud selepas imam bangkit daripada sujud sejadah tersebut.

    Jika dia mengetahui imam sujud sejadah, setelah imam melakukan sujud tersebut dan belum lagi mengangkat kepalanya daripada sujud, makmum berkewajipan ikut bersama dengan imam dalam sujud tersebut.

    Jika makmum baru sahaja bergerak hendak sujud untuk mengikut imam tersebut setelah mengetahui imam sujud sejadah, tetapi imam pula mengangkat kepalanya daripada sujud, makmum hendaklah kembali bersama dengan imam dalam berdirinya bagi menghabiskan bacaan ayat sejadahnya itu dan tidak perlu meneruskan sujud tersebut.

    Hal tersebut kerana ruang masa untuk sujud bersama dengan imam dikira sudah luput. Begitu juga bagi orang yang lemah yang lambat pergerakannya yang baru sahaja bergerak untuk sujud bersama dengan imam dan belum sampai ke lantai, hendaklah kembali bersama dengan imam semula dan tidak perlu meneruskan sujudnya itu.

    Prof Dr Basri bin Ibrahim al-Azhari

    LEAVE A REPLY

    Please enter your comment!
    Please enter your name here

    TRENDING