More
    HomePelbagaiWajarkah Muslim Menerima Undangan Makan Sempena Deepavali?

    Wajarkah Muslim Menerima Undangan Makan Sempena Deepavali?

    Ikuti kami untuk info terkini

    Soalan : Assalamualaikum. Saban tahun, Majlis Rumah Terbuka Perayaan Deepavali diadakan. Begitu juga, saya tidak terlepas daripada menerima undangan makan sempena perayaan tersebut memandangkan saya mempunyai tali persahabatan dengan kejiranan kaum India. Persoalannya, wajarkah saya menolak undangan tersebut ? Mohon pencerahan SS Mufti.

    Ringkasan Jawapan :

    Asasnya umat Islam tidak wajib menghadiri undangan non-muslim. Akan tetapi, ia dibenarkan dalam kerangka menjalinkan hubungan baik dan harmoni. Terdapat garis panduan yang mesti diikuti oleh kaum muslim ketika menghadiri majlis undangan keagamaan orang non-Muslim :

    • Menjamu makanan yang diyakini halal.
    • Majlis tersebut tidak disertakan dengan upacara yang bertentangan dengan akidah Islam disamping tidak mengiktiraf syiar agama mereka.
    • Majlis tersebut tidak disertakan aktiviti ritual agama mereka.

    Huraian Jawapan :

    Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari kiamat

    Dalam konteks kehidupan masyarakat yang berbilang kaum, sudah pasti berlaku interaksi sama ada dalam urusan kerja, perniagaan, kejiranan dan sebagainya. Agama Islam yang didasari nilai rahmah amat menitikberatkan hubungan harmoni sesama masyarakat tanpa membezakan warna kulit, bangsa dan agama selagi mereka bukan daripada kalangan orang yang memusuhi agama Islam. Bahkan galakan berkelakuan baik dan berlaku adil terhadap non-muslim berdasarkan firman Allah SWT dalam Surah Al-Mumtahanah ayat 8 :

    لَّا يَنْهَىٰكُمُ ٱللَّهُ عَنِ ٱلَّذِينَ لَمْ يُقَٰتِلُوكُمْ فِى ٱلدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُم مِّن دِيَٰرِكُمْ أَن تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوٓا۟ إِلَيْهِمْ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلْمُقْسِطِينَ

    Maksudnya : “Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tidak memerangimu kerana agama dan tidak pula mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil.

    Dalam Fatwa Lajnah Daimah juga dinyatakan bahawa Interaksi yang berlaku antara orang Islam dengan golongan non-Muslim dalam urusan keduniaan seperti makan dan minum bersama orang kafir, menghadiri majlis mereka, jual beli, atau urusan-urusan lain yang diharuskan, maka hal ini dibenarkan di sisi syarak selagi mana ia tidak mendatangkan mudarat kepada orang Islam [1].

    Hukum Memenuhi Undangan Makanan Non-Muslim

    Umat islam diharuskan menerima undangan makanan golongan non-Muslim sekiranya tidak membawa kepada perkara haram atau mendatangkan ancaman akidah kepada seseorang. Ini berdasarkan kepada satu riwayat bahawa pada suatu hari seorang wanita datang bertemu Aisyah RA bertanyakan sesuatu :

    إِنَّ لَنَا أَطيارًا مِنَ الْمَجُوسِ، وَإِنَّهُ يَكُونُ لَهُمُ الْعِيدُ فَيُهْدُونَ لَنَا؟ فَقَالَتْ: أَمَّا مَا ذُبِحَ لِذَلِكَ الْيَوْمِ فَلاَ تَأْكُلُوا، وَلَكِنْ كُلُوا مِنْ أَشْجَارِهِمْ

    Maksudnya: “Kami mempunyai jiran daripada orang Majusi, mereka merayakan perayaan keagamaannya maka mereka menghadiahkan (makanan) kepada kami? Aisyah menjawab: “Adapun apa yang disembelih untuk tujuan hari (perayaan) itu, maka jangan kamu makan, tetapi makanlah apa yang berasal daripada pokok-pokok mereka (buah-buahan).”

    (Musannaf Ibn Abi Shaybah, 24737)

    Dalam hadis yang lain, Anas RA meriwayatkan daripada Nabi SAW :

    ‏أَنَّ يَهُودِيًّا ‏ ‏دَعَا النَّبِيَّ ‏ ‏صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ‏ ‏إِلَى خُبْزِ شَعِيرٍ ‏ ‏وَإِهَالَةٍ ‏ ‏سَنِخَةٍ ‏ ‏فَأَجَابَهُ ‏

    Maksudnya: “Bahawa seorang lelaki Yahudi menjemput Nabi SAW untuk memakan roti gandum dengan acar yang hangat, lalu Nabi memenuhi undangannya.”

    (Musnad Ahmad)

    Berdasarkan hadis di atas, jelas menunjukkan bahawa harus memenuhi undangan makan daripada non-Muslim, akan tetapi asasnya fuqaha tidak mewajibkan menerima undangan tersebut [2].

    Seterusnya, umat Islam juga dibolehkan untuk memakan makanan yang dimasak atau disediakan oleh non-Muslim (bukan ahli kitab) seperti Hindu, Sikh, Budha dan selainnya selagi mana makanan itu adalah halal dan bukannya daripada hasil sembelihan mereka.

    Oleh yang demikian, dalam memenuhi undangan non-Muslim, perkara yang mesti dititikberatkan ialah tidak melakukan apa-apa aktiviti keagamaan. Bahkan haram mengiktiraf syiar serta mengagungkan hari perayaan mereka kerana dikhuatiri seorang muslim boleh jatuh ke lembah kekufuran [3].

    Penutup

    Berikut merupakan garis panduan yang mesti diikuti oleh kaum muslim ketika menghadiri majlis undangan keagamaan orang bukan islam :

    1. Memilih makanan yang halal dan baik ketika majlis perayaan keagamaan.
    2. Majlis tersebut tidak disertakan dengan upacara-upacara yang bertentangan dengan akidah Islam.
    3. Majlis tersebut tidak disertakan dengan perbuatan serta aktiviti-aktiviti yang boleh menyentuh sensitiviti masyarakat Islam.

    Sehubungan itu, kepelbagaian budaya, agama dan bangsa tidak menafikan hubungan harmoni yang melibatkan persahabatan, kejiranan, kemasyarakatan dan sebagainya. Hal ini merupakan peluang untuk menyampaikan nilai Islam melalui hubungan baik sesama mereka. Selain itu, memenuhi undangan non-Muslim dengan pengharapan kehadiran kita dapat melembutkan hati mereka memeluk Islam melalui hubungan yang baik.

    Wallahu A’lam

    Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

    Rujukan :

    [1] al-Lajnah al-Daimah li al-Buhuth al-Ilmiyyah. Fatawa Lajnah al-Daimah. (Riyadh: Riasah Idarah al-Buhuth al-Ilmiyyah wa al-Ifta’, t.t). Jld 1 hlm 431.

    مجرد مؤاكلة الكافر ومجالسته ومعاملته بيعا عليه أو شراء منه، ونحو ذلك من تبادل المنافع الدنيوية التي لا تعود على المسلمين بمضرة في دينهم أو دنياهم، لا تخرج من الملة الإسلامية، قال الله تعالى: {لَا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُمْ مِنْ دِيَارِكُمْ أَنْ تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ} (٢)

    [2] Ibnu Qudamah, Abdullah bin Muhammad. al-Mughni. (Riyadh: Dar Alim al-Kutub, Jld 10. Hlm 195.

    فإن دعاه ذمي فقال أصحابنا لا تجب إجابته لأن الإجابة للمسلم للإكرام والموالاة وتأكيد المودة والإخاء فلا تجب على المسلم للذمي ولأنه لا يأمن اختلاط طعامهم بالحرام والنجاسة ولكن تجوز إجابتهم لما روى أنس أن يهوديا دعا النبي إلى خبز شعير وإهالة سنخة فأجابه ذكره الإمام أحمد في الزهد .

    [3] Syeikh Ali Wanis, al-Ihtifal bi A’yad al-Kuffar. hlm 4.

    وقد اتفق العلماء على عدم جواز مشاركتهم في أعيادهم بالقول أو بالفعل في لباسهم أو طعامهم أو شراكهم الذي يختص بذلك اليوم عندهم إذا كان بقصد التعظيم ليوم عيدهم، بل جمهورهم على أنه يكفر بذلك التعظيم لشعائرهم، ويأثم إن لم يقصد التعظيم.

    LEAVE A REPLY

    Please enter your comment!
    Please enter your name here

    TRENDING