More
    HomePelbagaiRedha Allah Mengambil Nyawa Anak yang Sedang Tenat

    Redha Allah Mengambil Nyawa Anak yang Sedang Tenat

    Ikuti kami untuk info terkini

    Soalan : Assalamualaikum Dato’ Seri. Anak buah saya lahir tak cukup bulan sebab ada komplikasi pada kesihatan dia. Sekarang dia dah sebulan berada di NICU. Dah progress kesihatan dia masih sama. Saya kasihan dia cucuk sana sini untuk diberi ubat, IV line dan lain-lain. Saya ingin bertanya adakah ibu bapanya dikira berputus asa dari rahmat Allah sekiranya mereka redha Allah ambil nyawa bayinya kerana tak sanggup melihat bayinya dalam kesakitan?

    Jawapan :

    Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

    Kami mulakan dengan firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 155-157 :

    وَلَنَبْلُوَنَّكُم بِشَىْءٍۢ مِّنَ ٱلْخَوْفِ وَٱلْجُوعِ وَنَقْصٍۢ مِّنَ ٱلْأَمْوَٰلِ وَٱلْأَنفُسِ وَٱلثَّمَرَٰتِ ۗ وَبَشِّرِ ٱلصَّـٰبِرِينَ ١٥٥ ٱلَّذِينَ إِذَآ أَصَـٰبَتْهُم مُّصِيبَةٌۭ قَالُوٓا۟ إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّآ إِلَيْهِ رَٰجِعُونَ ١٥٦ أُو۟لَـٰٓئِكَ عَلَيْهِمْ صَلَوَٰتٌۭ مِّن رَّبِّهِمْ وَرَحْمَةٌۭ ۖ وَأُو۟لَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلْمُهْتَدُونَ ١٥٧

    Maksudnya: “Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar:(Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.” Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayahNya.

    Terlebih dahulu kami definisikan erti dan perkataan redha. Redha asal daripada kalimah arab (رَضِيَ-يَرْضَي) yang menunjukkan maksud berlawanan dari kemarahan. Dari segi istilah pula ia membawa maksud : Redha adalah kegembiraan hati atas ketetapan takdir (qadha’).”

    Al-Munawi mentakrifkan : “Redha adalah ketenangan jiwa bagi manusia terhadap apa yang menimpanya atau apa yang hilang daripadanya tanpa mengalami perubahan.  Para ahli feqah menyatakan bahwa redha itu adalah persetujuan (izin). Mereka menjadikan izin sebagai redha kerana itu menunjukkan persetujuan terhadapnya.” (Lihat Nudhrah al-Nai’m Fi Makarim Akhlak Rasul al-Karim,6/ 2105)

    Berbalik kepada soalan di atas, kami nyatakan dalam isu ini ia tidaklah bermaksud ibu bapanya berputus asa dari Rahmat Allah, namun mereka telah melakukan sedaya upaya mereka agar anaknya kembali sembuh. Firman Allah SWT dalam surah al-Imran ayat 159 :

    فَإِذَا عَزَمْتَ فَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ ۚ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُتَوَكِّلِينَ

    Maksudnya: “Apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya.”

    Justeru, sebagai ibu bapa sudah tentu mereka tidak mampu melihat kesakitan anaknya berpanjangan dan mahu melihat anaknya sihat kembali. Nasihat kami, banyakkanlah bersabar dan teruskan berdoa kerana Allah Maha Mendengar rintihan hambaNya. Begitu juga, salah satu amalan yang boleh membantu seseorang itu apabila ditimpa musibah adalah dengan bersedekah. Kami nukilkan sebuah kisah daripada kitab Mu’jam al-Safar (hlm. 251), bahawa Abu Bakar al-Khabbazi dari Naisabur berkata : Aku telah mengalami sakit yang parah. Kemudian jiran tetanggaku yang soleh datang menziarahiku dan berkata kepadaku : “Beramallah dengan sabda Rasulullah SAW :

    دَاوُواْ مَرْضَاكُمْ بِالصَّدَقَةِ

    Maksudnya: “Rawatlah orang-orang sakit dalam kalangan kamu dengan bersedekah.”

    Riwayat Abu Daud dalam al-Marasil (105) daripada al-Hasan al-Basri; al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (3/1310) dan al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Ausat (2/274).

    Dan pada ketika itu, keadaan berada dalam kesempitan dan musim panas. Maka aku membeli buah tembikai yang sangat banyak. Maka berkumpullah orang-orang yang fakir dan anak-anak kecil, lalu mereka memakannya.

    Kemudian, mereka mengangkat tangan-tangan mereka kepada Allah, dan mendoakan kesembuhan untukku.

    Maka demi Allah, tidaklah aku berada di waktu pagi (pada hari berikutnya), melainkan aku dalam keadaan sihat yang diberikan oleh Tabaraka wa Ta’ala. (Lihat Mu’jam al-Safar oleh al-Hafiz Abu Tahir Ahmad bin Muhammad al-Silafi, hlm. 251)

    Semoga Allah SWT memberi kesembuhan buat menjadikan kita hamba yang sentiasa meredhai setiap ujian yang menimpa dan akhir kalam kami akhiri dengan doa :

     اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا

    Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”

    Wallahua’lam

    Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri

    LEAVE A REPLY

    Please enter your comment!
    Please enter your name here

    TRENDING