More
    HomePelbagaiRahsia Membalikkan Baju atau Rida’ ketika Istisqa’

    Rahsia Membalikkan Baju atau Rida’ ketika Istisqa’

    Ikuti kami untuk info terkini

    Soalan : Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Apakah hikmah dan rahsia disebalik membalikkan baju dan rida’ selepas selesai khutbah solat istisqa’? Mohon pencerahan. Terima kasih.

    Jawapan :

    Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

    Kami mulakan dengan mengemukakan terlebih dahulu takrifan istisqa’. Istisqa’ ialah memohon kepada Allah SWT agar diturunkan hujan ketika berlakunya kemarau dan kekeringan serta nampak kesan-kesan buruk daripada perkara tersebut. Istisqa’ boleh dilakukan sama ada dengan doa semata-mata atau boleh juga dengan doa selepas solat. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/76).

    Menurut pengarang al-Fiqh al-Manhaji, solat Istisqa’ ialah solat yang disyariatkan apabila berlaku kemarau. Ia sunat dilakukan apabila ada sebab tersebut, dan tidak sunat lagi apabila hujan turun atau mata air mengalir kerana sebab-sebabnya telah luput. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/585).

    Seterusnya, berkenaan hukumnya pula Ibn ‘Abd al-Barr ada menyatakan bahawa para ulama telah berijma‘ bahawa keluar beramai-ramai untuk solat Istisqa’ dengan berdoa dan memohon kepada Allah untuk menurunkan hujan ketika musim kemarau dan kekeringan melanda hukumnya adalah sunat, yang telah disunnahkan oleh Rasulullah SAW tanpa ada perbezaan pendapat oleh para ulama dalam hal ini. (Lihat al-Tamhid, 17/172).

    Begitu juga Syeikh Abdullah al-Bassam menyatakan, solat istisqa’ ketika adanya sebab untuk melakukannya adalah sunat muakkad dengan ijma‘ ulama. Hal ini adalah berdasarkan kepada hadith-hadith yang sahih. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/77).

    Seterusnya, di sana terdapatnya beberapa dalil yang menunjukkan kepada disunatkan untuk membalikkan pakaian atau selendang ketika berdoa istisqa’. Di antaranya, riwayat daripada Abdullah bin Zaid bahawa :

     أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَرَجَ إِلَى الـمُصَلَّى فَاسْتَسْقَى فَاسْتَقْبَلَ القِبْلَةَ، وَقَلَبَ رِدَاءَهُ، وَصَلَّى رَكْعَتَيْنِ

    Maksudnya: “Nabi SAW keluar menuju ke tempat solat untuk mendirikan solat istisqa’ (memohon hujan). Kemudian, Baginda menghadap ke arah kiblat dan membalikkan selendangnya serta mendirikan solat dua rakaat.”

    Riwayat al-Bukhari (1012)

    Dalam riwayat lain datang dengan lafaz :

    خَرَجَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَسْتَسْقِي، فَتَوَجَّهَ إِلَى القِبْلَةِ يَدْعُو وَحَوَّلَ رِدَاءَهُ، ثُمَّ صَلَّى رَكْعَتَيْنِ جَهَرَ فِيهِمَا بِالقِرَاءَةِ

    Maksudnya: “Nabi SAW keluar untuk memohon hujan. Lalu Baginda menghadap ke arah kiblat, berdoa dan mengalihkan kedudukan selendangnya. Kemudian, Baginda menunaikan solat dua rakaat dengan menguatkan bacaan dalam kedua dua rakaat.”

    Riwayat al-Bukhari (1024)

    Al-Qadhi ‘Iyadh menyatakan, lafaz “حوَّل رداءه” dan “قلب رداءه” adalah pendapat yang dipegang oleh Imam Malik dan kebanyakan ulama bahawa dia membalik pakaian yang ada di sebelah kanannya ke sebelah kirinya, seperti yang disebutkan dalam hadith, dan bukannya dengan cara membalikkannya atau mengubah posisi atas menjadi bawah, dan dia tidak mengubah apa yang ada di atas tanah menjadi di atas kepalanya atau (sebaliknya) iaitu apa yang ada di atas kepalanya ke tanah, seperti yang dinyatakan oleh Imam Syafi‘i di Mesir. Imam al-Syafi‘i ketika di Iraq berpendapat sebagaimana pendapat sekelompok ulama (seperti pendapat Imam Malik).

    Sebahagian ulama telah salah faham dan menyatakan pendapat ketiga, iaitu mengubah bahagian yang belakang (tertutup) menghadap ke langit. Namun, bukanlah begitu yang dimaksudkan. Sebaliknya maksudnya adalah sebagaimana pendapat pertama yang dipegang oleh majoriti jumhur ulama. Hal ini kerana tidak masuk akal jika dia akan mengubah yang berada di sebelah kanannya ke sebelah kirinya atau membaliknya dengan cara membuat yang di atas menjadi yang di bawahnya, kecuali dia mengubah bahagian yang belakang (tertutup) menghadap ke langit. Selain itu juga kerana lafaz “حَوَّل” dan “قلب” menunjukkan kepada maksud ini. Jika hal itu adalah sebagaimana yang disebutkan oleh Imam Syafi‘i benar, maka dikatakan: “membalikkan” “memusingkan”.

    Oleh yang demikian, mengubah posisinya (selendang dan seumpamanya) adalah disunatkan sebagaimana dinyatakan oleh jumhur ulama. (Lihat Ikmal al-Mu‘lim, 3/314).

    Dalam menjawab soalan di atas, terdapat riwayat daripada Ja‘far bin Muhammad, daripada bapanya, katanya:

    اسْتَسْقَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَحَوَّلَ رِدَاءَهُ لِيَتَحَوَّلَ الْقَحْطُ

    Maksudnya: “Rasulullah SAW berdoa memohon hujan dan Baginda mengubah posisi selendangnya agar musim kemarau itu juga diubah.

    Riwayat al-Daraqutni (1798); al-Hakim (1216); al-Baihaqi (6648)[1]

    Menurut Syeikh Abdullah bin ‘Abd al-Rahman al-Bassam, khatib dan para hadirin membalikkan selendang atau rida’ mereka atau mana-mana pakaian yang seumpamanya sebagai satu bentuk tafa’ulan (تفاؤلا) iaitu mudah-mudahan Allah SWT mengubah kesusahan mereka menjadi kemakmuran, dan kesengsaraan mereka menjadi kekayaan. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/84).

    Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

    Kami akhiri dengan doa :

    اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِيْنِنَا وَدُنْيَانَا وَأَهْلِنَا وَمَالِنَا، اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِنَا وَآمِنْ رَوْعَاتِنَا ، اللَّهُمَّ احْفَظْنَا مِنْ بَيْنِ أَيْدِيْنَا وَمِنْ خَلْفِنَا وَعَنْ أَيْمَانِنَا وَعَنْ شَمَائِلِنَا وَمِنْ فَوْقِنَا ، وَنَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ نُغْتَالَ مِنْ تَحْتِنَا

    Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) di dunia dan akhirat. Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) dalam agama, dunia, keluarga dan harta kami. Ya Allah, tutupilah aib kami dan berilah ketenteraman di hati kami. Ya Allah, jagalah kami dari depan, belakang, kanan, kiri, dan atas kami. Kami memohon perlindungan dengan keagungan-Mu agar tidak disambar dari bawah kami.”

    [1] Al-Hafiz Ibn Hajar dalam Fath al-Bari (2/579) menyatakan, perawi-perawinya adalah thiqah dan al-Daraqutni merajihkan bahawa hadith ini mursal. Selain itu, Syeikh Abdullah al-Bassam menilai riwayat ini sebagai hasan. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/82)

    Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri

    LEAVE A REPLY

    Please enter your comment!
    Please enter your name here

    TRENDING