More
    HomePelbagaiNama Adam

    Nama Adam

    Ikuti kami untuk info terkini

    Soalan : Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Apakah hukum menamakan anak dengan nama Adam? Adakah ia suatu nama yang dibolehkan untuk diberikan kepada anak dan termasuk dalam nama yang baik? Sebabnya sekarang ini, semua orang nak beri kepada anak nama-nama yang canggih sahaja. Mohon pencerahan. Terima kasih.

    Jawapan :

    Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

    Secara umumnya, kami nyatakan bahawa di antara nama yang baik untuk diberikan kepada anak adalah seperti Abdullah atau ‘Abd al-Rahman. Begitu juga, dengan nama-nama yang ada pujian seperti Ahmad, Hamid, Mahmud dan lain-lain. Hal ini berdasarkan hadith Nabi SAW :

    تَسَمَّوْا بِأَسْمَاءِ الأَنْبِيَاءِ، وَأَحَبُّ الأَسْمَاءِ إِلَى اللَّهِ عَبْدُ اللَّهِ وَعَبْدُ الرَّحْمَنِ، وَأَصْدَقُهَا حَارِثٌ وَهَمَّامٌ، وَأَقْبَحُهَا حَرْبٌ وَمُرَّةُ

    Maksudnya: “Namakan anak-anakmu dengan nama para Nabi dan nama yang paling disukai Allah ialah Abdullah dan ‘Abd al-Rahman. Dan nama yang paling benar ialah Harith dan Hammam. Dan nama yang paling buruk Harb dan Murrah.”

    Riwayat Abu Daud (4950) dan al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad (814)

    Selain itu, menamakan dengan nama yang baik adalah digalakkan kerana ia merupakan doa dan akan diseru pada Hari Kiamat kelak. Terdapat sebuah riwayat daripada Abu al-Darda’ R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda :

    إِنَّكُمْ تُدْعَوْنَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ بِأَسْمَائِكُمْ وَأَسْمَاءِ آبَائِكُمْ فَأَحْسِنُوا أَسْمَاءَكُمْ

    Maksudnya: ‏ “Sesungguhnya kamu semua akan diseru pada hari kiamat kelak dengan nama kamu dan nama bapa-bapa kamu. Maka perelokkanlah nama kamu.”

    Riwayat Abu Daud (4948)

    Kemudiannya, berkenaan hal penamaan ini juga, Ibn al-Qayyim ada menyebutkan bahawa nama terbahagi kepada tiga kategori :

    • Pertamanya, nama yang khusus untuk kaum Muslimin.
    • Keduanya, nama yang khusus untuk orang kafir (bukan Islam).
    • Ketiganya, nama yang dikongsi bersama.

    Di antara contoh nama pada kategori pertama adalah seperti Muhammad, Ahmad, Abu Bakar, Umar, Uthman, Ali, Talhah dan al-Zubair. Mereka – iaitu ahli Zimmah – tidak boleh dibenarkan untuk menggunakan nama-nama ini.

    Kemudian di antara contoh nama pada kategori kedua adalah seperti Jurjus (George), Butrus (Peter), Yuhanna (John), Matta (Matthew) dan seumpamanya. Mereka tidak boleh dihalang daripada menggunakan nama-nama ini, tetapi tidak dibenarkan bagi orang Islam untuk menggunakan nama-nama ini, kerana padanya terdapat penyerupaan dalam sesuatu yang dikhususkan bagi mereka.

    Kemudian di antara contoh nama pada kategori ketiga pula adalah seperti Yahya, Isa, Ayyub, Daud, Sulaiman, Zaid, ‘Amr, Abdullah, ‘Atiyyah, Mauhub, Salam dan sebagainya. Nama-nama ini tidak dilarang sama ada untuk ahli Zimmah atau kaum Muslimin. (Lihat Ahkam Ahl al-Zimmah, 3/1317).

    Dalam menjawab soalan di atas, pertamanya, menamakan anak dengan nama Adam sesuatu yang diterima dalam Islam dan tidak ada salahnya, kerana Adam adalah nama salah seorang nabi, dan menamakan anak dengan nama para nabi adalah termasuk dalam penamaan yang baik lagi digalakkan (mustahabbah). Ini adalah sebagaimana dinyatakan dalam Kassyaf al-Qina‘ (3/26) bahawa adalah baik untuk menamakan anak dengan nama-nama para nabi seperti Ibrahim, Nuh, Muhammad, Soleh dan seumpamanya.

    Ibn al-Qayyim menyebutkan, para ulama berselisih pendapat mengenai hukum makruh menamakan anak dengan nama-nama para nama kepada dua pendapat. Pendapat pertama menyatakan bahawa ia tidak makruh. Inilah pendapat kebanyakan ulama dan ia adalah pendapat yang tepat. Manakala pendapat kedua pula menyatakan, hukumnya adalah makruh. (Lihat Tuhfah al-Maudud, hlm. 127).

    Keduanya, nama berkemungkinan ada memberi kesan kepada orang yang diberikan nama tersebut. Atas sebab itu dan sebab-sebab lain, disyariatkan dalam Islam untuk memilih nama yang baik. Mengenai hal ini, Ibn al-Qayyim menyebutkan, oleh kerana nama-nama mengandungi makna dan menjadi sesuatu yang menunjukkan kepada mereka, maka sewajarnya ada kaitan atau hubungan antara makna nama dan objek yang membawa nama tersebut. Tidak sepatutnya makna itu tidak sesuai dengan objek dan tidak ada kaitan antara makna dan objek, kerana inilah yang ditetapkan oleh Yang Maha Bijaksana, dan realiti membuktikannya. Sesungguhnya nama mempunyai kesan yang besar pada objek yang dinamakan, dan objek yang membawa nama ini pasti akan dipengaruhi oleh nama ini, sama ada nama ini baik atau buruk, sama ada ia merujuk kepada makna ringan atau berat, kehalusan atau kekerasan. (Lihat Zad al-Ma‘ad, 2/307).

    Akan tetapi hal itu tidak selalu berlaku dan ia bukan suatu prinsip yang tidak berubah yang digunakan untuk setiap nama dan setiap orang yang dinamakan. Kita mungkin ada menemukan seseorang jahat tetapi mempunyai nama yang terbaik, atau berjumpa dengan orang soleh tetapi namanya tidak seperti yang sepatutnya. Sebaliknya, perkara itu adalah suatu pendapat berdasarkan kepada pemerhatian ulama yang menyebutnya iaitu kebiasaannya dalam kalangan manusia adalah adanya perkaitan/hubungan antara makna nama dengan orang yang diberikan nama tersebut.

    Justeru, apa yang pentingnya adalah hakikat orang yang diberi nama itu sendiri dan bukan semata-mata namanya. Insya-Allah, jika namanya mempunyai pengertian yang baik, mudah-mudahan ia akan turut memberi kesan dan mempengaruhi pembentukan karakternya.

    Kesimpulan :

    Oleh yang demikian, berdasarkan kepada perbahasan dan kenyataan di atas, jelaslah bahawa nama Adam termasuk dalam jenis nama-nama yang baik, bahkan digalakkan untuk dinamakan anak dengan nama sedemikian kerana ia termasuk dalam salah satu nama para nabi iaitu Nabi Adam A.S.

    Tambahan lagi, menamakan anak dengan nama Adam bukanlah sesuatu yang asing lagi. Hal ini kerana ia adalah nama yang dikenali dalam kalangan umat Islam sepanjang zaman dan di pelbagai wilayah dan negara, tanpa sebarang bantahan. Di antara ulama hadith ada yang bernama Adam seperti Adam bin Sulaiman, Adam bin Abu Iyas, Adam bin Ali, Adam bin al-Hakam dan ramai lagi.

    Kami juga mengambil kesempatan di sini mengajak sidang pembaca sekalian untuk sama-sama kita renungi. Bukankah lebih baik untuk kita memberikan nama kepada anak-anak kita nama-nama yang mengandungi pengertian yang baik yang berupa nama para nabi, para sahabat, para ulama, orang soleh dan seumpamanya, atau nama-nama baik yang disebutkan dalam al-Quran, maka secara tidak langsung kita telah meninggikan syiar agama Islam dan sekali gus menunjukkan umat Islam mempunyai identitinya yang tersendiri. Apalah gunanya kita memilih nama-nama yang kononnya canggih dan moden, tetapi kita sendiri tidak benar-benar mengetahui maksudnya atau tidak dapat dipastikan maknanya melainkan sekadar dalam carian google — yang tidak terbukti keabsahannya?

    Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

    Kami akhiri dengan doa yang terdapat dalam surah al-Furqan ayat 74 :

    رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

    Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

    Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri

    LEAVE A REPLY

    Please enter your comment!
    Please enter your name here

    TRENDING