More
    HomeIbadahMendirikan Solat Sunat Subuh Ketika Imam Sedang Solat

    Mendirikan Solat Sunat Subuh Ketika Imam Sedang Solat

    Ikuti kami untuk info terkini

    Soalan : Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya adakah dibolehkan bagi seseorang yang masuk ke masjid mendirikan solat sunat subuh terlebih dahulu sebelum mendirikan solat bersama imam di mana dia tahu kebiasaan imam akan lama pada rukuk?

    Jawapan :

    Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

    Kami mulakan dengan sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Aisyah  R.Anha, katanya:

    لَمْ يَكُنِ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى شَيْءٍ مِنَ النَّوَافِلِ أَشَدَّ مِنْهُ تَعَاهُدًا عَلَى رَكْعَتَيِ الفَجْرِ

    Maksudnya: “Nabi SAW tidak pernah memberi perhatian terhadap amalan-amalan sunat sebesar perhatian Baginda terhadap (solat sunat) dua rakaat Fajar.”

     Riwayat al-Bukhari (1169)

    Menurut Ibn al-Qayyim, katanya : Penjagaan Baginda SAW terhadap sunat Rawatib Subuh melebihi seluruh solat sunat. Baginda SAW tidak pernah meninggalkan sunat rawatib Subuh dan solat Witir sama ada ketika melakukan perjalanan musafir atau ketika bermukim. Ketika perjalanan musafir, Baginda SAW sentiasa menjaga dan melaksanakan sunat Rawatib Subuh dan Witir melebihi seluruh solat-solat sunat dan rawatib yang lain. Tidak ada dinukilkan daripada Baginda, ketika dalam perjalanan musafirnya melakukan solat rawatib selain rawatib Subuh. (Lihat Zad al-Ma’ad, 1/305 )

    Dalam riwayat lain, daripada Aisyah R.Anha, bahawa beliau berkata :

    صَلَّى النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ العِشَاءَ، ثُمَّ صَلَّى ثَمَانِيَ رَكَعَاتٍ، وَرَكْعَتَيْنِ جَالِسًا، وَرَكْعَتَيْنِ بَيْنَ النِّدَاءَيْنِ وَلَمْ يَكُنْ يَدَعْهُمَا أَبَدًا.

    Maksudnya: “Nabi SAW solat Isyak kemudian Baginda solat lapan rakaat, dua rakaat dengan duduk, serta dua rakaat di antara dua seruan (azan dan iqamat). Baginda tidak pernah meninggalkan dua rakaat sunat Fajar tersebut.”

    Riwayat al-Bukhari (1159)

    Al-Hafiz Ibn Hajar berkata : Maksud ungkapan Nabi SAW ‘وَرَكْعَتَيْنِ بَيْنَ النِّدَاءَيْنِ’ (dan dua rakaat di antara dua seruan), yakni di antara azan dan iqamat. Manakala dalam riwayat al-Laith, disebutkan dengan lafaz ‘ثُمَّ يُمْهِل حَتَّى يُؤَذَّن بِالْأُولَى مِنْ الصُّبْح فَيَرْكَع رَكْعَتَيْنِ’ (Kemudian Baginda menunggu seketika hingga dikumandangkan azan pertama pada waktu Subuh, lalu Baginda solat dua rakaat). Manakala dalam riwayat Imam Muslim, dariapda Yahya bin Abi Kathir, daripada Abu Salamah, disebutkan: ‘يُصَلِّي رَكْعَتَيْنِ خَفِيفَتَيْنِ بَيْن النِّدَاء وَالْإِقَامَة مِنْ صَلَاة الصُّبْح’ (Baginda SAW solat dua rakaat ringan antara azan dan iqamah solat Subuh). (Lihat Fath al-Bari, 4/151)

    Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan sekiranya muazzin telah mengumandangkan iqamah maka hendaklah bagi makmum bersedia untuk mendirikan solat bersama imam dan tidak melakukan apa-apa solat yang lain melainkan solat fardhu yang akan didirkan bersama dengan imam. Hal Ini sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, Nabi SAW bersabda :

    إِذَا أُقِيمَتْ الصَّلاَةُ فَلاَ صَلاَةَ إِلاَّ الْمَكْتُوبَةُ

    Maksudnya: Jika iqamah solat sudah dikumandangkan, tidak ada solat lagi kecuali solat wajib.

    Riwayat Muslim (710)

    Begitu juga hadith yang diriwaytkan daripada Abi Salamah Bin Abdul Rahman beliau berkata :

    سَمِعَ قَوْمٌ الْإِقَامَةَ، فَقَامُوا يُصَلُّونَ، فَخَرَجَ عَلَيْهِمْ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم، فَقَالَ: ‌أَصَلَاتَانِ ‌مَعًا؟ ‌أَصَلَاتَانِ ‌مَعًا؟. وَذَلِكَ فِي صَلَاةِ الصُّبْحِ

    Maksudnya: Suatu kaum mendengar laungan iqomat lalu mereka bangun mengerjakan solat . Rasulullah SAW menemui mereka seraya bertanya: Apakah ada dua solat secara bersamaan? Hal itu terjadi pada solat subuh dan dua rakaat sebelum subuh.

    Riwayat Malik dalam al-Muwatta’(421)

    Dari hadith ini, dapat difahami bahawa apabila iqamah telah dikumandangkan, seseorang tidak boleh melakukan sebarang solat selain daripada solat fardhu yang didirikan bersama dengan imam. Ini bermaksud bahawa pada ketika iqamah dilafazkan, semua aktiviti solat yang lain harus dihentikan, dan individu perlu menyertai solat fardhu yang sedang berlangsung bersama dengan imam.

    Imam al-Juwaini dalam isu ini beliau menyatkan bahawa : Orang yang masuk ke masjid dan menemui imam dalam solat fardhu Subuh, sepatutnya tidak menyibukkan diri dengan solat sunat, sebaliknya patut segera mengikut imam dalam solat fardhu tersebut. Kemudian, apabila imam telah selesai melaksanakan solat fardhu itu, barulah dia boleh menunaikan solat sunat. (Lihat Nihayah al-Matlab,2/342)

    Begitu juga Ibn Qudamah menyatakan bahawa : Apabila Solat telah didirikan, seseorang tidak sepatutnya menunaikan solat sunat (nafilah) selepas itu, sama ada dia khuatir terlepas rakaat pertama ataupun tidak. (Lihat al-Mughni,1/329)

    Justeru, di sini kami ingin menegaskan bahawa apabila seseorang memasuki masjid dan muazzin telah mengumandangkan iqamah, maka  dia sepatutnya tidak menyibukkan diri untuk menunaikan solat sunat Subuh. Sebaliknya, dia perlu segera menyertai solat bersama-sama imam. Setelah menyelesaikan solat tersebut bersama imam, barulah dia boleh mendirikan solat sunat Subuh.

    Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami Akhiri dengan doa :

    رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

    Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”

    Wallahua’lam

    Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri

    LEAVE A REPLY

    Please enter your comment!
    Please enter your name here

    TRENDING