More
    HomeAkhlakHukum Bercakap Ketika Bersetubuh

    Hukum Bercakap Ketika Bersetubuh

    Ikuti kami untuk info terkini

    Soalan : Saya pernah mendengar ada ulama yang berpandangan bahawa makruh hukumnya bercakap ketika bersetubuh. Adakah hal itu benar?

    Ringkasan Jawapan :

    Menurut para ulama mazhab Syafie, bercakap ketika bersetubuh adalah makruh hukumnya sebagai satu bentuk adab, melainkan jika ada keperluan dan yang berkait secara langsung dengan perbuatan persetubuhan itu sendiri, contohnya untuk membetulkan posisi pasangan bagi memudahkan kemasukan. Jika sekadar mengucapkan ayat-ayat yang menggoda untuk menaikkan syahwat contohnya, maka hukumnya makruh.

    Huraian Jawapan :

    Menurut para ulama mazhab Syafie, bercakap ketika bersetubuh adalah makruh hukumnya. Kata Syeikh Sulaiman al-Bujairami :

    الْكَلَامَ فِي حَالَةِ الْجِمَاعِ مَكْرُوهٌ؛ لِأَنَّ الْمُنَاسِبَ فِيهِ السُّكُوتُ أَيْ فِي غَيْرِ مَا يَتَعَلَّقُ بِالْجِمَاعِ، أَمَّا مَا يَتَعَلَّقُ بِهِ وَهُوَ مَا يَتَوَقَّفُ عَلَيْهِ التَّمْكِينُ مِنْ الْمَرْأَةِ كَأَنْ يَقُولَ لَهَا: تَقَدَّمِي أَوْ تَأَخَّرِي فَلَا يَكُونُ مَكْرُوهًا، وَأَمَّا الْغُنْجِ بِالْغَيْنِ وَالنُّونِ وَالْجِيمِ فَلَيْسَ مِمَّا يَتَعَلَّقُ بِالْجِمَاعِ كَمَا ذَكَرَهُ ع ش

    Maksudnya : Bercakap ketika bersetubuh hukumnya makruh, kerana yang lebih sesuai ialah diam ketika melakukannya, yakni diam daripada mengucapkan perkara yang tidak berkaitan dengan persetubuhan. Adapun yang bersangkut-paut secara langsung dengan perbuatan jimak itu sendiri iaitu untuk membolehkan persetubuhan berlaku, seperti suami berkata isterinya: “Gerakkan badan ke hadapan” atau “gerakkan badan ke belakang”, maka ia tidak makruh. Adapun jika sekadar ayat-ayat menggoda (الغُنْج) ia tidak berkait secara langsung dengan perbuatan jimak (kerana ia lebih kepada untuk menaikkan syahwat pasangan), seperti yang disebut oleh Syeikh Ali Syabramallisi.[1]

    Hal yang sama turut disebut oleh Imam Ibn Hajar al-Haitami :

    وَيُكْرَهُ أَنْ يَتَكَلَّمَ أَحَدُهُمَا فِي أَثْنَائِهِ بِمَا لَا يَتَعَلَّقُ بِهِ، وَيَحْرُمُ ذِكْرُ تَفَاصِيلِهِ بَلْ صَحَّ مَا يَقْتَضِي كَوْنَهُ كَبِيرَةً

    Maksudnya : Dimakruhkan untuk salah satu pasangan bercakap ketika bersetubuh pada perkara yang tidak berkait secara langsung dengan persetubuhan itu, dan diharamkan pula untuk mengungkapkan perincian perbuatan bersetubuh itu, bahkan tidak salah juga meletakkannya sebagai satu dosa besar.[2]

    Menurut Syeikh Ali Syabramallisi yang mensyarahkan teks di atas, contoh perkara yang berkait secara langsung dengan persetubuhan itu adalah jika suami meminta isterinya berada dalam keadaan yang membolehkan suami menikmati persetubuhan dengan isterinya itu menurut kehendak yang dimahukan.[3]

    Wallahu a‘lam.

    Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

    Rujukan:

    [1] Tuhfah al-Habib ‘ala Syarh al-Khatib oleh Sulaiman al-Bujairami (1995) Dar al-Fikr, 1/158

    [2] Tuhfah al-Muhtaj 6/209

    [3] Teks Ali Syabramallisi:

    أَنَّ الْمُرَادَ بِهِ مَا يَتَعَلَّقُ بِهِ مِمَّا يَتَوَقَّفُ عَلَيْهِ مَقْصُودُهُ مِنْ الْجِمَاعِ كَأَنْ يَطْلُبَ مِنْهَا أَنْ تَكُونَ عَلَى صِفَةٍ يَتَمَكَّنُ مَعَهَا مِنْ تَمَامِ مُرَادِهِ فِي الْوَطْءِ

    LEAVE A REPLY

    Please enter your comment!
    Please enter your name here

    TRENDING