More
    HomeIbadahWaris Boleh Qada, Bayar Fidyah Si Mati Yang Tinggal Solat?

    Waris Boleh Qada, Bayar Fidyah Si Mati Yang Tinggal Solat?

    Ikuti kami untuk info terkini

    Soalan : Ibu saya baru saja meninggal dunia, dan sepanjang setahun terakhir ini, beliau kerap meninggalkan solat kerana sakit dan tak sempat qada sebelum meninggal dunia. Adakah kami sebagai waris boleh qada solat yang ditinggalkan atau membayar fidyah bagi pihak beliau?

    Ringkasan Jawapan :

    Menurut pandangan muktamad dalam mazhab Syafie, amalan qada solat atau membayar fidyah bagi pihak si mati oleh waris adalah tidak disyariatkan dan tidak sah, kerana tiada nas sama ada daripada al-Quran mahupun hadis yang sahih yang menunjukkan pensyariatan amalan ini.

    Namun, ada pandangan kedua (pandangan yang lemah) dalam mazhab Syafie yang membenarkan amalan ini, dan ia dipegang serta diamalkan oleh ramai ulama. Maka, amalan qada solat dan membayar fidyah bagi solat yang ditinggalkan oleh si mati boleh diamalkan, kerana ia termasuk dalam kategori khilaf muktabar yang boleh diterima pengamalannya.

     

     

    Huraian Jawapan :

    Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat dan salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

    Menurut pendapat muktamad mazhab Syafie, amalan qadha solat atau membayar fidyah bagi pihak si mati oleh waris adalah tidak disyariatkan. Kata Imam Syamsuddin al-Ramli:

    ولو مات وعليه صلاة أو اعتكاف لم يفعل ذلك عنه ولا فدية له لعدم ورودها

    Maksudnya: “Jika seseorang mati dan dia berhutang solat atau iktikaf (nazar), maka walinya tidak dapat qada bagi pihaknya dan hutang solat itu tidak gugur dengan fidyah, kerana amalan tersebut tidak sabit melalui nas”.[1]

    Ada pandangan kedua (pandangan yang lemah) dalam mazhab Syafie yang membenarkan amalan ini, dan ia dipegang serta diamalkan oleh ramai ulama. Namun, ia dihukumkan sebagai lemah oleh Imam al-Nawawi:

    وَحَكَى صَاحِبُ الْحَاوِي عَنْ عَطَاءِ بْنِ أَبِي رَبَاحٍ وَإِسْحَاقَ بْنِ رَاهَوَيْهِ أَنَّهُمَا قَالَا بِجَوَازِ الصَّلَاةِ عَنِ الْمَيِّتِ وَقَالَ الشَّيْخُ أَبُو سَعْدٍ عَبْدُ اللَّهِ بْنُ مُحَمَّدِ بْنِ هِبَةِ اللَّهِ بْنِ أَبِي عَصْرُونَ مِنْ أَصْحَابِنَا الْمُتَأَخِّرِينَ فِي كِتَابِهِ الِانْتِصَارُ إِلَى اخْتِيَارِ هَذَا. وَقَالَ الْإِمَامُ أَبُو مُحَمَّدٍ الْبَغَوِيُّ مِنْ أَصْحَابِنَا فِي كِتَابِهِ التَّهْذِيبُ لَا يَبْعُدُ أَنْ يُطْعَمَ عَنْ كُلِّ صَلَاةٍ مُدٌّ مِنْ طَعَامٍ. وَكُلُّ هَذِهِ الْمَذَاهِبِ ضَعِيفَةٌ

    Maksudnya: Pengarang kitab al-Hawi menukilkan kalam daripada ‘Ata’ bin Abi Rabah dan Ishaq bin Rahawaih, mereka berdua mengharuskan solat bagi pihak si mati, manakala Syeikh Abu Sa‘ad Abdullah bin Muhammad bin Hibatullah bin Abi ‘Asrun daripada kalangan ulama mazhab kami yang mutakhir dalam kitabnya al-Intisar juga memilih pandangan ini. Imam al-Baghawi daripada kalangan ulama mazhab kami (ashab al-wujuh) pula menyatakan dalam kitabnya al-Tahzib bahawa pandangan yang mengharuskan bayaran fidyah sebanyak satu cupak (mud) bagi setiap solat yang ditinggalkan ialah pandangan yang boleh diterima. Namun semua pandangan ini adalah lemah.[2]

    Begitu juga dengan pandangan yang dikemukakan oleh Syeikh Abu Bakr al-Dimyati:

    من مات وعليه صلاة، فلا قضاء، ولا فدية. وفي قول – كجمع مجتهدين – أنها تقضى عنه، لخبر البخاري وغيره، ومن ثم اختاره جمع من أئمتنا، وفعل به السبكي عن بعض أقاربه، ونقل ابن برهان عن القديم أنه يلزم الولي – إن خلف تركه – أن يصلي عنه، كالصوم .وفي وجه – عليه كثيرون من أصحابنا – أنه يطعم عن كل صلاة مدا

    Maksudnya: Sesiapa yang telah meninggal dunia dan dia ada hutang solat, maka tiada baginya qada mahupun fidyah. Menurut sebahagian imam mujtahid pula, ia mesti diqada (oleh waris yang masih hidup) berdasarkan hadis riwayat al-Bukhari dan selain beliau. Oleh sebab itu, sebahagian ulama mazhab Syafi’i memilih pandangan ini, dan amalan qada solat ini diamalkan oleh al-Subki bagi pihak sebahagian daripada kaum kerabatnya. Ibn Burhan pula meriwayatkan satu fatwa lama (qaul qadim) Imam Syafi’i bahawa wali wajib qada dengan mengerjakan solat jika si mati meninggalkan harta warisan, seperti mana puasa. Ramai ulama daripada kalangan Ashab al-Wujuh berpendapat bahawa bagi setiap solat yang ditinggalkan, hendaklah diberi makan kepada fakir/miskin dengan kadar satu cupak.[3]

    Berdasarkan penjelasan di atas, hal ini merupakan permasalahan fiqh yang diperselisihkan oleh para ulama mazhab Syafie. Namun pendapat yang muktamad dalam mazhab ialah amalan fidyah solat ini tidak disyariatkan, manakala pandangan kedua membenarkannya berdasarkan qiyas kepada amalan fidyah puasa yang dibayar oleh pewaris si mati.

    Syeikh Qalyubi pula menukilkan daripada sebahagian ulama mazhab Syafie yang mengharuskan amalan ini:

    وهذا من عمل الشخص لنفسه فيجوز تقليده لأنه من مقابل الأصح

    Maksudnya: Amalan ini (qada solat atau membayar fidyah bagi pihak si mati) ialah amalan peribadi seseorang, maka diharuskan untuk bertaqlid padanya, kerana ia merupakan pandangan muqabil al-asah (pandangan kedua dan lemah di dalam mazhab Syafie, namun ia merupakan khilaf yang kuat dan muktabar dalam mazhab).[4]

    Kesimpulan

    Kesimpulannya, amalan qada solat atau membayar fidyah bagi pihak si mati oleh waris adalah tidak disyariatkan dan tidak sah menurut pandangan muktamad mazhab Syafie, kerana tiada nas sama ada daripada al-Quran mahupun hadis yang sahih yang menunjukkan pensyariatan amalan ini. Namun, mengambil kira perkara ini termasuk dalam khilaf yang muktabar, amalan ini boleh dilakukan kerana ia mempunyai sandaran dalam mazhab Syafie dan diamalkan oleh para ulama.

    Wallahu a‘lam.

    Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

    Rujukan :

    [1] Rujuk Nihayah al-Muhtaj oleh Syamsuddin al-Ramli (1984) Dar al-Fikr, 3/193.

    Rujuk juga Tuhfah al-Muhtaj oleh Ibn Hajar al-Haitami (t.t) Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabiy, 3/440:

    ولو مات وعليه صلاة أو اعتكاف لم يفعل عنه ولا فدية ) تجزئ عنه لعدم ورود

    [2] Rujuk Syarh al-Nawawi ‘ala Muslim oleh Abu Zakariyya al-Nawawi (1996) Dar al-Khair, 1/76

    [3] Rujuk Hasyiyah I’anah al-Talibin oleh Abu Bakar al-Dimyati (1997) Dar al-Fikr, Cetakan Pertama, 2/276

    [4] Rujuk Hasyiyah Qalyubi ‘ala Syarh al-Mahalli, Dar al-Fikr, 2/86

    LEAVE A REPLY

    Please enter your comment!
    Please enter your name here

    TRENDING