More
    HomePelbagaiUmat Nabi Musa Perlu Membunuh Diri Jika Ingin Bertaubat?

    Umat Nabi Musa Perlu Membunuh Diri Jika Ingin Bertaubat?

    Ikuti kami untuk info terkini

    Soalan : Benarkah menurut al-Quran, Bani Israel iaitu umat Nabi Musa AS diperintahkan untuk membunuh diri sebagai satu cara untuk bertaubat?

    Ringkasan Jawapan :

    Dakwaan bahawa umat Nabi Musa AS iaitu Bani Israel diperintahkan untuk membunuh diri jika ingin bertaubat adalah tidak benar. Hal ini kerana ayat yang dijadikan rujukan itu sebenarnya merujuk kepada amalan penyembahan berhala oleh sebahagian umat Bani Israel setelah mereka beriman kepada Nabi Musa. Berdasarkan ayat tersebut, golongan yang tidak terlibat dalam penyembahan berhala diperintahkan untuk membunuh golongan yang melakukan dosa kesyirikan itu, dan itu ialah hukuman hudud ke atas mereka dan merupakan syarat untuk penerimaan taubat mereka. Ini secara umumnya ialah pandangan jumhur ulama tafsir.

    Terdapat sebilangan kecil ulama yang menukilkan pandangan bahawa ayat itu memerintahkan supaya golongan yang menyembah berhala itu untuk membunuh diri mereka sendiri. Namun pandangan ini ialah pandangan yang lemah.

     




    Huraian Jawapan

    Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah SWT. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga hari kiamat.

    Al-Quran ada menyebut perihal kisah Bani Israel yang telah menyembah patung anak lembu sewaktu Nabi Musa meninggalkan mereka selama 40 hari untuk pergi ke gunung Tursina:

    وَإِذْ قَالَ مُوسَىٰ لِقَوْمِهِۦ يَـٰقَوْمِ إِنَّكُمْ ظَلَمْتُمْ أَنفُسَكُم بِٱتِّخَاذِكُمُ ٱلْعِجْلَ فَتُوبُوٓا۟ إِلَىٰ بَارِئِكُمْ فَٱقْتُلُوٓا۟ أَنفُسَكُمْ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌۭ لَّكُمْ عِندَ بَارِئِكُمْ فَتَابَ عَلَيْكُمْ ۚ إِنَّهُۥ هُوَ ٱلتَّوَّابُ ٱلرَّحِيمُ ٥٤

    Maksudnya: Ingatlah jua ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya: “Wahai kaumku! Kamu telah menzalimi diri kamu sendiri dengan menyembah patung anak lembu. Oleh itu, bertaubatlah kepada Tuhan yang Maha Mencipta, dan bunuhlah diri kamu. Tindakan itu lebih baik di sisi Tuhanmu. Setelah itu Dia akan menerima taubat kamu, sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat dan Maha Pengasih.

    Surah al-Baqarah (54)

    Menurut Imam al-Qurtubi, para ulama tafsir berbeza pandangan tentang maksud sebenar perintah untuk ‘membunuh diri kamu’ (فَاقْتُلُوا أَنفُسَكُمْ) dalam ayat di atas. Namun mereka bersepakat bahawa ayat ini tidak bermaksud Allah SWT memerintahkan agar setiap orang yang menyembah berhala membunuh diri masing-masing.

    Imam al-Qurtubi[1] dan Imam al-Alusi[2] pula menyebut beberapa pandangan tentang cara sebenar pembunuhan tersebut berlaku.

    Antaranya setelah kaum Bani Israel menerima perintah tersebut, mereka membentuk dua kumpulan, lalu mereka saling berbunuh-bunuhan, sehinggalah mereka diarahkan untuk berhenti. Maka golongan yang terkorban dianggap mati syahid, manakala yang masih hidup pula dianggap telah bertaubat.

    Diriwayatkan juga bahawa golongan yang tidak terlibat dalam penyembahan berhala itu diperintahkan untuk membunuh mereka yang melakukan dosa kesyirikan itu. Maka ayat itu bermaksud “relakanlah diri kamu untuk dibunuh. ” Pandangan ini dipilih sebagai pandangan yang terkuat menurut Imam al-Razi.[3]

    Selain itu, ada ulama yang tidak menyebut secara terperinci cara pembunuhan tersebut berlaku, namun menyatakannya sebagai hukuman hudud terhadap dosa syirik yang dilakukan. Kata Syeikh Majd Makki:

    ومن توبتكم أن تنفذوا الحد الذي أوجبه الله عليكم، بأن يقوم الذين لم يعبدوا العجل بقتل الذين عبدوه، في ساحة مشتركة

    Maksudnya: Antara cara kamu bertaubat adalah dengan melaksanakan hukuman hudud yang diwajibkan oleh Allah SWT ke atas kamu, iaitu hendaklah golongan yang tidak menyembah berhala itu membunuh mereka yang terlibat, di suatu ruang awam.[4]

    Beberapa ulama tafsir seperti al-Khazin, al-Wahidi, al-Baghawi, al-Maraghi dan Wahbah al-Zuhaily pula bersepakat dalam menggunakan frasa yang sama dalam menafsirkan perintah Allah tersebut:

    لِيَقْتُلَ البـَرِيءُ مِنْكُم المجْرِمَ

    Maksudnya: Golongan yang tidak terlibat dalam penyembahan berhala itu hendaklah membunuh golongan yang melakukan kesyirikan tersebut.[5]

    Setelah diteliti, sebenarnya terdapat ulama yang menukilkan pandangan bahawa ayat ini bermaksud mereka diperintahkan untuk membunuh diri mereka, tanpa menyebut nama ulama yang berpegang dengan pandangan demikian. Antaranya ialah al-Nasafi:

    {فَاقتُلوا أَنفُسَكُمْ} قيل هُو على الظاهر وهو البَخْعُ

    Maksudnya: {فاقتلوا أَنفُسَكُمْ} Ada pandangan yang menyatakan bahawa maksudnya difahami secara zahir ayat, iaitu membunuh diri.[6]

    Begitu juga dengan Syeikh Rashid Redha yang menyatakan bahawa lafaz tersebut berkemungkinan membawa maksud ‘golongan yang menyembah berhala itu hendaklah membunuh diri mereka’[7]. Syeikh Sayyid Tantawi [8]

    Namun kesemua mereka menukilkan pandangan tersebut dengan menggunakan lafaz yang mengisyaratkan bahawa pandangan itu sendiri tidak kuat dan lemah di sisi mereka (iaitu dengan menggunakan sighah al-tamridh dengan lafaz قِيلَ atau يحتمل).

    Kesimpulan

    Kesimpulannya, jumhur ulama tafsir berpendapat ayat surah al-Baqarah tersebut memberi maksud bahawa golongan yang tidak terlibat dalam penyembahan berhala diperintahkan untuk membunuh golongan yang melakukan dosa kesyirikan itu, dan itu ialah hukuman hudud ke atas mereka dan merupakan syarat supaya taubat mereka diterima.

    Terdapat juga sebilangan kecil ulama yang menukilkan pandangan bahawa ayat itu memerintahkan supaya golongan yang menyembah berhala itu untuk membunuh diri mereka sendiri. Namun pandangan ini ialah pandangan yang lemah.

    Wallahu A’lam.

    Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

    Rujukan :

    [1] Al-Jami‘ li Ahkam al-Quran oleh Abu Abdillah al-Qurtubi (1964) Kaherah: Dar al-Kutub al-Misriyyah, Tahqiq: Ahmad al-Barduni dan Ibrahim Atfish, Cetakan Kedua, 1/401

    وَأَجْمَعُوا عَلَى أَنَّهُ لَمْ يُؤْمَرْ كُلُّ وَاحِدٍ مِنْ عَبَدَةِ الْعِجْلِ بِأَنْ يَقْتُلَ نَفْسَهُ بِيَدِهِ قَالَ الزُّهْرِيُّ لَمَّا قِيلَ لَهُمْ” فَتُوبُوا إِلى بارِئِكُمْ فَاقْتُلُوا أَنْفُسَكُمْ” قَامُوا صَفَّيْنِ وَقَتَلَ بَعْضُهُمْ بَعْضًا حَتَّى قِيلَ لَهُمْ كُفُّوا فَكَانَ ذَلِكَ شَهَادَةً لِلْمَقْتُولِ وَتَوْبَةً لِلْحَيِّ عَلَى مَا تَقَدَّمَ وَقَالَ بَعْضُ الْمُفَسِّرِينَ أَرْسَلَ اللَّهُ عَلَيْهِمْ ظَلَامًا فَفَعَلُوا ذَلِكَ

    [2] Ruh al-Ma ‘ani fi Tafsir al-Quran al-‘Azim wa al-Sab‘i al-Mathani oleh Syihabuddin al-Alusi (1415H) Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, tahqiq: Ali Abdul Bari ‘Atiyyah, Cetakan Pertama, 1/261

    وظاهر الأمر أنهم مأمورون بأن يباشر كل قتل نفسه، وفي بعض الآثار أنهم أمروا أن يقتل بعضهم بعضا، فمعنى «اقتلوا أنفسكم» حينئذ، ليقتل بعضكم بعضا، كما في قوله تعالى: وَلا تَقْتُلُوا أَنْفُسَكُمْ [النساء: 29] وَلا تَلْمِزُوا أَنْفُسَكُمْ [الحجرات: 11] والمؤمنون كنفس واحدة، وروي أنه أمر من لم يعبد الْعِجْلَ أن يقتل من عبده، والمعنى عليه استسلموا أنفسكم للقتل، وسمي الاستسلام للقتل قتلا على سبيل المجاز

    [3] Mafatih al-Ghaib oleh Fakhruddin al-Razi (1420H) Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabi, Cetakan Ketiga, 3/517

    الْمُرَادُ من قوله: فَاقْتُلُوا أَنْفُسَكُمْ أَيِ اسْتَسْلِمُوا لِلْقَتْلِ، وَهَذَا الْوَجْهُ الثَّانِي أَقْرَبُ

    [4] Al-Mu‘in ‘ala Tadabbur al-Kitab al-Mubin oleh Majd Makki (2022) Dar Ibn Hazm, Cetakan Pertama hal. 8

    [5] Lubab al-Ta’wil fi Ma‘ani al-Tanzil oleh ‘Alaauddin al-Khazin (1415H) Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, Cetakan Pertama, 1/46; al-Wajiz fi Tafsir al-Kitab al-‘Aziz oleh Abu al-Hasan al-Wahidi al-Naisaburi (1415H) Damshik: Dar al-Qalam, Cetakan Pertama, hal. 105; Ma‘alim al-Tanzil fi Tafsir al-Quran oleh Abu Muhammad al-Baghawi (1997) Dar Tayyibah, tahqiq: Muhammmad Abdullah al-Nimr, Uthman Dhamiriyyah dan Sulaiman Muslim, Cetakan Keempat, 1/96; Tafsir al-Maraghi oleh Ahmad bin Mustafa al-Maraghi (1946) Syarikah Maktabah Mustafa al-Baba al-Halabi, Cetakan Pertama, 1/120 dan Al-Tafsir al-Munir oleh Wahbah al-Zuhaily (1991) Damshik: Dar al-Fikr, Cetakan Pertama, 1/160

    [6] Madarik al-Tanzil wa Haqaiq al-Ta’wil oleh Abu al-Barakat al-Nasafi (1998) Beirut: Dar al-Kalim al-Tayyib, tahqiq: Yusuf Ali Badiwi, Cetakan Pertama, 1/89

    [7] Tafsir al-Manar oleh Muhammad Rasyid Redha (1990) al-Hai’ah al-Misriyyah al-‘Ammah li al-Kitab, 1/265

    وَذَلِكَ بِأَنْ يَقْتُلَ بَعْضُكُمْ بَعْضًا، فَإِنَّ قَتْلَ الْمَرْءِ لِأَخِيهِ كَقَتْلِهِ لِنَفْسِهِ، وَيَحْتَمِلُ اللَّفْظُ أَنْ يَكُونَ مَعْنَاهُ لِيَبْخَعَ كُلُّ مَنْ عَبَدَ الْعِجْلَ نَفْسَهُ انْتِحَارًا

    [8] Al-Tafsir al-Wasit oleh Muhammad Sayyid Tantawi (1997) Kaherah: Dar Nahdhah Misr, Cetakan Pertama, 1/132

    وقيل: المراد أن يقتل كل من عبد العجل نفسه قتلا حقيقيا حتى يكفر عن ردته بعبادته لغير الله، وقد ورد أنهم فعلوا ذلك، وأن الله- تعالى- رفع عنهم القتل وعفا عمن بقي

    LEAVE A REPLY

    Please enter your comment!
    Please enter your name here

    TRENDING