More
    HomeIbadahSolat Terawih Atau Ceramah Ramadhan Selepas Isyak?

    Solat Terawih Atau Ceramah Ramadhan Selepas Isyak?

    Ikuti kami untuk info terkini

    Soalan : Assalamualaikum, mohon pandangan Sahibus Samahah Datuk berkenaan kedudukan yang mana lebih afdal untuk didahulukan iaitu solat terawih dan ceramah pada bulan Ramadhan selepas isyak. Hal ini menjadi pertikaian di tempat kami kerana ahli kariah hendak melakukan solat terawih sedangkan AJK masjid hendak mengadakan ceramah atau tazkirah Ramadhan khas terlebih dahulu?

    Ringkasan Jawapan

    Setiap amalan ibadat seperti puasa, solat, membaca al-Quran, berzikir dan perkara yang mendekatkan diri kepada Allah SWT adalah dihitung. Namun demikian, tiada keperluan untuk membezakan kedudukan amalan yang lebih afdal untuk dilakukan selepas solat isyak pada bulan Ramadhan di antara solat sunat tarawih dan tazkirah atau ceramah khas Ramadhan.

    Hal ini kerana kedua-dua amalan tersebut mempunyai fadilat dan kelebihan tersendiri. Kedua-dua amalan ibadat tersebut juga afdal dan amat digalakkan untuk menghidupkan malam-malam di bulan Ramadan.

    Huraian Jawapan

    Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat dan salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

    Secara asas, umat Islam digalakkan untuk memperbanyakkan ibadah pada bulan Ramadhan kerana pada bulan ini dibuka pintu-pintu syurga dan pintu neraka ditutup. Nabi SAW bersabda:

    إِذَا جَاءَ رَمَضَانُ فُتِّحَتْ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ وَغُلِّقَتْ أَبْوَابُ النَّارِ وَصُفِّدَتِ الشَّيَاطِينُ

    Maksudnya : Tatkala datang bulan Ramadhan, maka akan dibuka pintu-pintu syurga, akan ditutuplah pintu-pintu neraka dan syaitan-syaitan akan dibelenggu dengan rantai.

    Riwayat Muslim

    Imam Badr al-Din al-Aini mensyarahkan hadis tersebut di dalam kitabnya menyatakan bahawa maksud bagi terbukanya pintu syurga itu adalah kerana ketaatan yang banyak pada bulan Ramadhan. Begitu juga Allah SWT membuka pintu ibadah kepada umat Islam kerana ia merupakan jalan menuju ke syurga dengan mudah di dalam bulan Ramadhan dan amal perbuatan umat Islam mudah diterima.[1]

    Justeru, setiap amalan ibadat seperti puasa, solat, membaca al-Quran, berzikir dan perkara yang mendekatkan diri kepada Allah SWT adalah dihitung. Namun demikian, tiada keperluan untuk membezakan kedudukan amalan yang lebih afdal untuk dilakukan selepas solat isyak pada bulan Ramadhan di antara solat sunat tarawih dan tazkirah atau ceramah khas Ramadhan. Hal ini kerana kedua-dua amalan tersebut mempunyai fadilat dan kelebihan.

    Tazkirah atau ceramah adalah suatu ibadat menuntut ilmu yang bernilai dan tinggi di sisi Allah SWT. Hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda:

    مَنْ سَلَكَ طَرِيقًا يَلْتَمِسُ فِيهِ عِلْمًا سَهَّلَ اللَّهُ لَهُ طَرِيقًا إِلَى الجَنَّةِ

    Maksudnya : Siapa yang menempuh satu jalan untuk menuntut ilmu maka Allah SWT akan memudahkan baginya jalan untuk ke Syurga.

    Riwayat Muslim

    Hadis ini menceritakan akan kelebihan keluar menuntut ilmu dan sentiasa sibuk dengan ilmu syarii. Selain itu juga, maksud sabda Nabi SAW bahawa Tidaklah satu kumpulan berkumpul di dalam sebuah rumah di antara rumah-rumah Allah, membaca kitab Allah (al-Qur’an) dan mempelajarinya sesama mereka melainkan akan turun kepada mereka sakinah (ketenangan), diliputi ke atas mereka rahmat.[2]

    Manakala solat sunat tarawih adalah ibadah khusus untuk dilakukan pada bulan Ramadhan sahaja. Solat sunat tarawih merupakan qiamullail kerana dianggap sebagai membangunkan malam-malam pada bulan Ramadhan.[3] Al-Dimyati menukilkan di daripada kitab Imdad bahawa boleh menunaikan solat tarawih pada pertengahan malam.[4]

    Oleh yang demikian, tempoh untuk melaksanakan solat tarawih adalah panjang khususnya di Malaysia jika dilakukan pada pertengahan malam sehingga sebelum terbit fajar.[5] Hal ini menjelaskan bahawa tidak menjadi suatu kesalahan untuk mengadakan tazkirah atau ceramah khas Ramadhan terlebih dahulu selepas isyak kerana tidak sekalipun menghalang daripada mendirikan solat tarawih. Hal ini juga kerana solat tarawih boleh dilakukan usai daripada tazkirah.

    Malahan ia merupakan suatu perkara yang amat digalakkan untuk melaksanakan kedua-dua ibadat tersebut dan sebagai peluang untuk menggandakan amalan pada bulan Ramadhan yang penuh keberkatan dan mulia ini. Hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa Nabi SAW bersabda:

    مَنْ صامَ رمضانَ إيماناً واحتِساباً غُفِرَ لَه ما تقدَّمَ منْ ذَنبِه، ومَنْ قامَ رمضانَ إِيماناً واحتساباً غُفر له ما تقدَّمَ منْ ذنبِه، ومَن قامَ ليلةَ القدْرِ إِيماناً واحتساباً غُفِرَ له ما تقدَّمَ منْ ذنبِه

    Maksudnya: Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran serta keampunan, akan diampunkan buatnya dosa-dosa yang terdahulu, Sesiapa yang membangunkan bulan Ramadan (menghidupkan) dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran serta keampunan, akan diampunkan buatnya dosa-dosa yang terdahulu, Sesiapa yang membangunkan malam lailatul qadr (menghidupkan) dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran serta keampunan, akan diampunkan buatnya dosa-dosa yang terdahulu

    Hadis tersebut menjelaskan bahawa sesiapa yang menghidupkan malam-malamnya di malam bulan bulan Ramadhan dengan solat tarawih atau ibadat-ibadat lain daripada perkara-perkara ketaatan kepada Allah akan diberikan keampunan dan ganjaran.[6]

    Kesimpulan

    Konklusinya, setiap amalan ibadat seperti puasa, solat, membaca al-Quran, berzikir dan perkara yang mendekatkan diri kepada Allah SWT adalah dihitung. Namun demikian, tiada keperluan untuk membezakan kedudukan amalan yang lebih afdal untuk dilakukan selepas solat isyak pada bulan Ramadhan di antara solat sunat tarawih dan tazkirah atau ceramah khas Ramadhan.

    Hal ini kerana kedua-dua amalan tersebut mempunyai fadilat dan kelebihan tersendiri. Kedua-dua amalan ibadat tersebut juga afdal dan amat digalakkan untuk menghidupkan malam-malam di bulan Ramadhan.

    WallahuA’lam.

    Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

    Rujukan:

    [1] Badr al-Din al-Aini, Umdatul al-Qari Syarah Sahih al-Bukhari, Jld.10, Hlm.266

    وَذهب بَعضهم إِلَى أَن المُرَاد بِفَتْح أَبْوَاب الْجنَّة كَثْرَة الطَّاعَات فِي شهر رَمَضَان، فَإِنَّهَا موصلة إِلَى الْجنَّة، فكني بهَا عَن ذَلِك، وَيُقَال: المُرَاد بِهِ مَا فتح الله على الْعباد فِيهِ من الْأَعْمَال المستوجبة بهَا إِلَى الْجنَّة من الصّيام وَالصَّلَاة والتلاوة، وَأَن الطَّرِيق إِلَى الْجنَّة فِي رَمَضَان سهل، والأعمال فِيهِ أسْرع إِلَى الْقبُول.

    [2] Syahin Lashin, Fath al-Man’am Syarh Sahih Muslim, Jld.10, Hlm.252

    ومن سلك طريقا يلتمس فيه علما سهل الله له به طريقا إلى الجنة وما اجتمع قوم في بيت من بيوت الله يتلون كتاب الله ويتدارسونه بينهم إلا نزلت عليهم السكينة

    [3] Al-Zuhaili, al-Mu’tamad Fii al-Fiqh al-Syafi’, Damsyik: Dar al-Qalam, Jld.1, Hlm.397

    صلاة التراويح من السنن الراتبة,وهي قيام الليل في رمضان, وتسمى قيام الليل

    [4] Al-Dimyati, I’anah al-Talibin ‘ala Hilli Alfaz Fath al-Mu’in, Dar al-Fikr, Jld.1, Hlm.306

    وفي الإمداد: ووقتها المختار يدخل بربع الليل.

    [5] Zakaria al-Ansori, Asna al-Matolib, Dar al-Kutub al-Islami, Jld.1, Hlm.203

    (فَرْعٌ وَوَقْتُ الْوِتْرِ، وَالتَّرَاوِيحِ مِنْ بَعْدِ أَنْ يُصَلِّيَ الْعِشَاءَ) وَإِنْ جَمَعَهَا تَقْدِيمًا (إلَى الْفَجْرِ الثَّانِي)

    [6] Al-Tibi, Syarh al-Tibi ala Misykat al-Masabih, Jld.5, Hlm.1573

    ((إيماناً واحتساباً ((مظ)): يعني بالإيمان الاعتقاد بحقيقة فرضية صوم هذا الشهر، لا الخوف والاستحياء من الناس من غير اعتقاد بتعظيم هذا الشهر، والاحتساب طلب الثواب من الله الكريم، ((وقيام رمضان)) إحياء لياليه، أو بعضها من كل ليلة بصلاة التراويح، وغيرها من الطاعات.

    LEAVE A REPLY

    Please enter your comment!
    Please enter your name here

    TRENDING