More
    HomeIbadahSaranan Solat Jamak Bagi Petugas SPR

    Saranan Solat Jamak Bagi Petugas SPR

    Ikuti kami untuk info terkini

    Di antara rukhsah yang Allah berikan kepada umat ini adalah dibenarkan untuk menjamakkan di antara dua solat dalam keadaan-keadaan yang tertentu seperti musafir, hujan, sakit dan sebagainya.

    Ini berdasarkan kenyataan Allah SWT di dalam Al-Quran. Firman Allah SWT :

    وَمَا جَعَلَ عَلَيْكُمْ فِى ٱلدِّينِ مِنْ حَرَجٍ

    “…Dan Ia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama.”

    (Surah Al-Hajj : 78)

    Pada asasnya, di dalam mazhab Al-Syafi’i, menjamakkan di antara dua solat diharuskan atas tiga sebab (Minhaj Al-Tolibin Wa ‘Umdah Al-Muftin, 1/ 417-423). Iaitu :

    1. Musafir
    2. Hujan
    3. Ketika Hari Arafah

    Inilah pandangan yang muktamad di dalam mazhab Al-Syafi’i berkenaan sebab-sebab yang membolehkan untuk menjamakkan solat. Namun begitu, sebahagian daripada ulama bermazhab Al-Syafi’i dan sebahagian fuqaha mengharuskan untuk menjamakkan solat selain daripada sebab-sebab yang disebutkan dengan sebab ada hajat dan keperluan.

    Ini berdasarkan hadis riwayat Ibn Abbas yang berkata :

    صَلَّى رَسولُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عليه وسلَّمَ الظُّهْرَ وَالْعَصْرَ جَمِيعًا بالمَدِينَةِ، في غيرِ خَوْفٍ، وَلَا سَفَرٍ

    “Nabi SAW pernah solat Zohor dan Asar kesemuanya di Madinah tanpa ada rasa takut dan musafir. Bila ditanya kenapa baginda melakukan begitu, Ibn Abbas RA menjawab :

    أَرَادَ أَنْ لا يُحْرِجَ أَحَدًا مِن أُمَّتِهِ

    “Baginda tidak mahu menyusahkan seseorang daripada umatnya.”

    (Riwayat al-Imam Muslim), Riwayat Al-Tirmizi (187), Al-Nasai’i (1574)

    Salah seorang Anggota Fatwa Dar al-Ifta Mesir, Syekh Amr al-Wardhani mengatakan, menjamak solat tanpa uzur itu dibolehkan asalkan ada dalam keadaan darurat dan dengan syarat bahawa itu bukanlah kebiasaan.

    Beliau menggunakan dalil riwayat Ibnu Abbas di atas yang mana Rasulullah SAW pernah menjamak antara solat Zuhur dan solat Asar, serta solat Maghrib dan Isya’ di Madinah pada hari ketika tidak ada ketakutan dan tidak pula hujan.

    Syekh Wardhani menjelaskan, beberapa perawi hadis menyampaikan alasan mengapa Nabi SAW menjamak solat dan membenarkan perbuatan Nabi tersebut, seperti yang dikatakan Ibnu Abbas, “Supaya beliau SAW tidak mahu menyusahkan seseorang daripada umatnya..”

    Dalam hal ini Imam Nawawi juga berpendapat dibolehkan menjamak solat tanpa uzur musafir antaranya hujan lebat. Namun, seperti yang disebut oleh Syekh Wardhani, bahawa syaratnya ialah tidak menjadikannya sebagai kebiasaan.

    Katanya lagi “Gunakan rukhsoh ini (keringanan) bila memang diperlukan atau darurat. Misalnya kerana keadaan darurat dalam pekerjaan, menjaga nyawa atau keamanan negara, atau hal lain. Tetapi tidak boleh menggunakan rukhsoh ini jika dalam keadaan kembali normal.

    Sheikh Abdurrahman Al-Mubarakfuri menyebut sesiapa yang ada keuzuran maka diharuskan untuk dia menjamakkan solat. Adapun bagi mereka yang ada keuzuran akan tetapi tidak mahu menjamakkan solat sehingga meninggalkan solat maka dia berdosa tanpa syak lagi. (Tuhfah Al-Ahwazi Syarah Jami’ Al-Tirmizi, 2/205)

    Mengikut al Allamah Prof Dr. Yusuf al-Qaradhawi berkata di dalam Fatwa Mu’asarahnya :

    “Kadang-kala jika terdapat kesusahan untuk menunaikan setiap solat pada waktunya, maka solat secara jamak boleh dilakukan sebagai mengambil keringanan yang diperuntukkan dalam agama. Asalkan perkara ini tidak dijadikan kebiasaan.

    Sebaliknya perkara ini diharuskan secara sekali-sekala ketika berhadapan dengan sesuatu kesempitan atau kesukaran.

    Al Allamah Dr. Yusuf al-Qaradhawi memberikan contoh situasi yang dibenarkan jamak solat kerana kesusahan antaranya:

    1. Polis Trafik yang ditugaskan sebelum waktu Maghrib sehinggalah selepas waktu ‘Isyak. Dia boleh menjamakkan solat Maghrib dengan Isyak berdasarkan kemampuannya.
    2. Doktor yang merawat pesakit yang tidak boleh ditinggalkan. Dia boleh menjamakkan solat bersesuaian dengan kemampuannya.”

    Imam Al-Nawawi menukilkan pandangan sebahagian ulama bermazhab Al-Syafi’i seperti Al-Qadhi Husain, Abu Sulaiman Al-Khattabi, Al-Ruyani, Abu Qasim Al-Rafi’i dan lain-lain. Mereka menyatakan bahawa harus untuk menjamakkan solat kerana keadaan yang gawat ketakutan dan sakit. Boleh dilakukan sama ada secara taqdim dan ta’khir. Keluasan ini diberikan adalah kerana ingin memberikan keringanan kepada mereka-mereka yang terlibat atau ditimpa sebab-sebab tersebut. Bahkan keadaan seperti gawat dan takut adalah lebih utama daripada hujan. (Al-Majmu’ Syarh Al-Muhazzab, 4/263).

    Kesimpulannya, diharuskan jamak untuk mereka yang terlibat sebagai petugas SPR yang kesuntukan masa. Mengambil kira pandangan sebahagian fuqaha mazhab Al-Syafi’i dan juga pandangan fuqaha mazhab Hanbali yang menyebut akan keharusan jamak disebabkan ada keuzuran atau tugas yang penting.

    Namun begitu ada beberapa garis panduan berkaitan solat jamak yang perlu diikuti oleh para petugas SPR. Antaranya:

    1. Hendaklah waktu bertugas tersebut meliputi sekurang-kurangnya dua waktu solat yang jika tidak ada keharusan jamak akan menyebabkan terlepas salah satu waktu
    2. Digalak melakukan jamak suri terlebih dahulu jika berkesempatan
    3. Melakukan jamak taqdim jika waktu bertugas berpanjangan sehingga terkeluar kepada waktu solat kedua
    4. Melakukan jamak ta’khir jika waktu bertugas bermula sebelum waktu solat pertama dan berakhir sehingga masuk waktu solat kedua
    5. Hanya dibenarkan melakukan jamak tamam iaitu melakukannya secara sempurna tanpa perlu qasar. Ini kerana qasar iaitu memendekkan solat empat rakaat kepada dua rakaat hanya dilakukan ketika musafir.

    Ustaz Nik Nizam Nasir

    LEAVE A REPLY

    Please enter your comment!
    Please enter your name here

    TRENDING