More
    HomeAkhlakZikir Selepas Solat : Perlahan Atau Kuat?

    Zikir Selepas Solat : Perlahan Atau Kuat?

    Isu: Ada imam yang berzikir dengan suara yang kuat menggunakan pembesar suara selepas solat. Adakah ia menepati sunnah Nabi SAW?

    Jawapan:

    Ini merupakan perbahasan klasik. Kesimpulannya, ada ulama menganjurkan zikir dengan suara sedikit kuat dan ada ulama menganjurkan zikir perlahan.

    Tiada ulama yang menganjurkan zikir dengan suara yang kuat apa lagi dibantu pembesar suara sehingga mengganggu orang lain khususnya orang yang sedang mengerjakan solat; solat sunat atau masbuq.

    Imam Nawawi menjelaskan imam disunnahkan berzikir dan berdoa dengan suara yang perlahan selepas solat. Imam boleh menguatkan suara dengan tujuan mengajar makmum. Selepas makmum pandai kaedah berzikir, maka imam hendaklah berzikir perlahan semula. (Kitab al-Tahqiq)

    Imam al-Shafi`i sendiri menganjurkan imam dan makmum untuk berzikir selepas solat dengan suara yang perlahan kecuali jika bertujuan mengajar makmum. (Kitab al-Um)

    Menurut Imam al-Shafi`i, Nabi SAW hanya menguatkan suara ketika berzikir selepas solat untuk beberapa ketika sahaja. Itu pun dengan tujuan untuk mengajar.

    Menurut Sheikh Abdul Aziz al-Malibari, disunatkan memperlahankan suara ketika berzikir dan doa untuk individu, makmum dan juga imam jika tiada tujuan mengajar. Doa yang dibaca oleh imam tidak perlu diaminkan oleh makmum. (Fath al-Mu`in) Doa bersifat peribadi.

    Satu ketika, Nabi SAW pernah menegur para sahabat yang berzikir dengan suara yang kuat.

    أَيُّهَا النَّاسُ ارْبَعُوا علَى أَنْفُسِكُمْ، إنَّكُمْ ليسَ تَدْعُونَ أَصَمَّ وَلَا غَائِبًا، إنَّكُمْ تَدْعُونَ سَمِيعًا قَرِيبًا، وَهو معكُمْ

    “Wahai sahabat, berpada-padalah dengan dirimu. Sesungguhnya anda tidak menyeru Tuhan yang pekak atau yang tidak hadir. Sesungguhnya Tuhan yang anda seru itu Maha Mendengar dan dekat. Dia lebih dekat dengan anda dibandingkan leher haiwan tunggangan anda.”

    (Sahih al-Bukhari, no. hadith 2770)

    Dalam mengulas hadith ini, Imam Baihaqi dan lain-lain berhujah tentang kewajaran untuk berzikir dan berdoa selepas solat fardhu dilafazkan secara perlahan.

    Pendapat ini disokong oleh ramai ulama mazhab kita seperti Ibn Hajar al-Haitami dan al-Suyuti.

    Rumusan:

    1. Imam perlulah mengelakkan daripada terlalu meninggikan suara ketika berzikir dan berdoa. Kita perlu menghormati orang yang sedang mengerjakan solat, atau menghormati orang lain yang ada zikir tersendiri.
    2. Imam dibenarkan untuk menguatkan sedikit suara sama ada dengan tujuan mengajar atau tidak; kerana ada ulama menganjurkan agar suara sedikit dikuatkan.
    3. Perbuatan imam memimpin bacaan Surah al-Mulk dengan menggunakan pembesar suara sehingga mengganggu orang yang sedang mengerjakan solat sunat sewajarnya dihentikan.

    Boleh membeli buku saya yang berjudul Fiqh Imam Makmum.

    Prof Dr Basri Ibrahim Al-Azhari

    LEAVE A REPLY

    Please enter your comment!
    Please enter your name here

    TRENDING