More
    HomeAqidahHukum Berubat Dengan Kaedah "Menurun"

    Hukum Berubat Dengan Kaedah “Menurun”

    Ikuti kami untuk info terkini

    Soalan : Ibu saya sakit terkena “buatan” orang. Bolehkah saya membawanya berubat dengan bomoh yang menggunakan kaedah rawatan dengan cara ‘menurun’ ?
    Jawapan :
    Setiap penyakit ada ubatnya. Sebagai seorang anak, memang menjadi suatu kewajipan untuk membantu ibunya yang berada dalam kesusahan dan kesakitan. Cuma, apa yang perlu diberi perhatian ialah mempastikan agar cara dan kaedah rawatan yang digunakan itu tidak bercanggah  dengan hukum syarak.
    Antara amalan salah yang dilakukan oleh segelintir masyarakat Melayu Islam pada hari ini sehingga  melibatkan perbuatan syirik ialah dengan meminta bantuan bomoh yang menggunakan perantaraan  jin dan makhluk halus dalam perubatan.
    Larangan meminta bantuan, pertolongan dan perlindungan jin dalam sesuatu perkara sudah pun  jelas dinyatakan hukumnya di dalam al-Quran. Antaranya ialah firman Allah dalam surah al-Jin ayat  6 :

    وَأَنَّهُۥ كَانَ رِجَالٌ مِّنَ ٱلْإِنسِ يَعُوذُونَ بِرِجَالٍ مِّنَ ٱلْجِنِّ فَزَادُوهُمْ رَهَقًا

    Dan bahawa sesungguhnya adalah (amat salah perbuatan) beberapa orang dari manusia, menjaga dan melindungi dirinya dengan meminta pertolongan kepada ketua-ketua golongan jin, kerana dengan permintaan itu mereka menjadikan golongan jin bertambah sombong dan jahat.
    Sering-kali kekeliruan timbul dalam kalangan masyarakat apabila seseorang bomoh itu menyatakan bahawa yang mendampinginya untuk melakukan perubatan itu bukanlah jin tapi roh para wali  seumpama Syeikh Abdul Qadir Jailani dan sebagainya yang akan datang meresap dalam tubuh  bomoh tersebut ketika upacara perubatan dilakukan. Semua ini adalah suatu penipuan daripada jin  ke atas manusia. Hal ini kerana sesuatu yang pasti ialah alam roh tidak akan bersatu dengan alam  “syahadah” dalam kalangan manusia.
    Oleh itu, sesuatu yang mustahil “roh” akan datang bertemu manusia dalam keadaan sedar dan jaga.  Akan tetapi sebaliknya yang datang itu bukanlah roh, namun ia adalah jin dan syaitan!. Lalu sama  ada sedar atau pun tidak, seseorang itu telah melakukan syirik kepada Allah dengan meminta  bantuan dan perlindungan “jin” dalam menyelesaikan sesuatu perkara. Sehubungan dengan itu,  masyarakat Islam hendaklah sentiasa berhati-hati dan berwaspada dalam setiap tindakan dan  amalan agar tidak terjebak dalam syirik yang membinasakan ini.
    Namun begitu, tidak dinafikan bahawa terdapatnya “bomoh” atau pengamal perubatan Islam yang  melaksanakan perubatan semata-mata dengan ayat-ayat suci al-Quran dan tidak menggunakan  “perantaraan” sebagaimana yang dijelaskan. Oleh yang demikian, ia tidak mendatangkan syirik  kepada Allah. Justeru, sebelum berjumpa dengan mana-mana pengamal perubatan tradisional,  hendaklah terlebih dahulu dipastikan bahawa ia seorang yang berilmu serta tahu hukum-hakam  agama dengan baik.
    Justeru, sekiranya didapati bahawa pengamal perubatan itu boleh bertukar “suara”, atau  menggunakan kaedah “menurun” dan seumpamanya, maka hendaklah dijauhi daripadanya agar  terselamat daripada syirik. Janganlah terpedaya dengan seseorang yang boleh melakukan sesuatu  perkara “luar biasa” sehinggakan terus menganggap ia sebagai wali dan keramat. Ingatlah pesanan  Imam Syafei yang menyatakan : “Sekiranya engkau melihat pelaku bid’ah boleh terbang di angkasa, maka janganlah engkau tertipu dan terpedaya dengannya”

    LEAVE A REPLY

    Please enter your comment!
    Please enter your name here

    TRENDING