Khinzir/babi dikategorikan sebagai najis mughallazah (مُغَلَّظَةٌ) ialah najis jenis yang berat, iaitu anjing dan babi. Dalil menunjukkan najis ini jenis yang berat ialah ia tidak memadai membasuhnya dengan air sekali sahaja seperti najis-najis yang lain. Dalam hal ini, ia mestilah dibasuh dengan air sebanyak tujuh kali. Satu daripadanya dengan air tanah.
Hukum babi adalah diqiaskan pada hukum anjing sebagai najis mughallazah kerana babi lebih buruk keadaannya daripada anjing. Lihat: Mustafa al-Khin, Mustafa al-Bugha, Ali Syarbaji. Al-Fiqh al-Manhaji. Jilid 1. Halaman 40.
Ulamak tiada khilaf pada pengharaman makan babi/khinzir, tetapi bagaimana hukum basuhan kenajisannya?
Salah seorang tokoh tersohor dalam mazhab Syafie – Imam Nawawi RA, berbeza pendapat dengan Imam Syafie RA dlm permasalahan ini.
Berikut dipetik tulisan Imam al-Nawawi dalam al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab:
وَاعْلَمْ أَنَّ الرَّاجِحَ مِنْ حَيْثُ الدَّلِيلُ أَنَّهُ يَكْفِي غَسْلَةٌ وَاحِدَةٌ بِلَا تُرَابٍ وَبِهِ قَالَ أَكْثَرُ الْعُلَمَاءِ الَّذِينَ قَالُوا بِنَجَاسَةِ الْخِنْزِيرِ وَهَذَا هُوَ الْمُخْتَارُ لِأَنَّ الْأَصْلَ عَدَمُ الوجوب حتى يرد الشرع لاسيما فِي هَذِهِ الْمَسْأَلَةِ الْمَبْنِيَّةِ عَلَى التَّعَبُّدِ
Ketahuilah olehmu bahawa yang rajih (pendapat yang kuat) dari segi dalil bahawa (kenajisan khinzir) itu memadai sekali basuhan tanpa memerlukan tanah. Inilah pendapat yang dinyatakan oleh kebanyakan ulama yang memperkatakan tentang kenajisan khinzir. Inilah pendapat yang terpilih. Ini kerana asalnya tidak wajib sehingga ada bukti yang syarak nyatakan. Apatah lagi masalah ini dibina atas ta’abbud (mematuhi arahan syarak semata).
[2/586, Beirut: Dar al-Fikr]
Dalam Syarh Soheh Muslim, Imam al-Nawawi menyebut:
وَذَهَبَ أَكْثَرُ الْعُلَمَاءِ إِلَى أَنَّ الْخِنْزِيرَ لَا يَفْتَقِرُ إِلَى غَسْلِهِ سَبْعًا وَهُوَ قَوْلُ الشَّافِعِيِّ وَهُوَ قَوِيٌّ فِي الدَّلِيلِ
Kebanyakan ulama berpendapat bahawa khinzir tidak memerlukan tujuh kali basuhan seperti pendapat Imam al-Syafie. (pendapat tidak perlu tujuh kali basuh) Ia pendapat yang kuat dari segi dalil[3/185, Beirut: Dar Ihya al-Turath al-‘Arabi]
ٍKata Sadr al-Din Muhammad bin ‘Abd al-Rahman (seorang tokoh dalam mazhab al-Syafie, meninggal 780H):
“Khinzir hukumnya seperti anjing. Dibasuh apa yang ternajis disebabkannya sebanyak tujuh kali. Inilah pendapat yang paling asah dalam Mazhab Syafie. Imam al-Nawawi berkata : Yang lebih tepat dari segi dalil memadai membasuh kesan khinzir sebanyak sekali tanpa tanah. Inilah pendapat kebanyakan ulama dan inilah pendapat yang diterima pakai. Ini kerana asal sesuatu perkara tidak wajib melainkan adanya dalil syarak”.
(Sadr al-Din Muhammad bin ‘Abd al-Rahman al-Syafi’i,
Rahmah al-Ummah fi Ikhtilaf al-Aimmah, m.s 9, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah)
Adakah boleh gantikan tanah dengan sabun?
Dar Al-Ifta’ Al-Misriyyah dalam menjawab soalan berkenaan hukum dan kaifiat menyucikan bekas yang dijilat anjing berkata pada penghujung jawapan: ‘’Dimustahabkan untuk menggunakan tanah pada basuhan pertama. Ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW:
أُولَاهُنَّ بِالتُّرَابِ
Maksudnya: (Basuhan) pertamanya adalah dengan tanah.
Riwayat Muslim
Dan dibolehkan untuk mengganti tanah dengan sesuatu yang boleh mengambil tempatnya pada zaman ini dengan benda-benda moden yang dapat menyucikan. Ini kerana yang dimuktamadkan adalah taharah (suci) secara mutlak. Rujuk www.dar-alifta.org.eg , fatwa no. 3799
Keputusan akhir fatwa berkaitan isu ini menyebut:
“Dan pakaian itu apabila dicampakkan ke dalam air yang suci dan ia dibasuh sehingga hilang kesan-kesan najis darinya, maka ia mensucikan keseluruhannya daripada najis-najis anjing dan selainnya. Dengan syarat basuhan untuk najis anjing itu berulang sebanyak tujuh kali, dan basuhan yang pertama adalah dengan tanah atau apa-apa yang menggantikan tempatnya seperti sabun dan selainnya”
Fatawa al-Lajnah al-Da’imah (4/196)