Isu : Ada orang yang suka menampak-nampakkan sifat warak dengan bercakap perlahan-lahan, juga berjalan perlahan-lahan.
Jawapan :
Boleh rujuk karya saya di Karya Buku Prof Dr. Basri Ibrahim Al-Azhari
Antara bidaah ialah menunjukkan lemah-lembut dalam percakapan dan cara berjalan untuk dilihat sebagai orang kuat ibadah dan orang warak. Walhal Islam mengajar sebaliknya. Kita sewajarnya menuruti sunnah Nabi SAW dan sahabat, juga salafus soleh. Apabila Nabi SAW berjalan, baginda berjalan dengan mantap dan tegap seolah-olah turun dari bukit.
“Apabila Rasulullah SAW berjalan-jalan, seolah-olah baginda sedang turun dari bukit.”
(Sunan Abi Dawud, no. hadith 4864)
Al-Suyuti menjelaskan, cara jalan Nabi SAW ini menonjolkan sisi kekuatan baginda bukannya takabbur.
Menurut Ibn al-Anbari, Nabi SAW condong ketika berjalan sebagaimana dahan pohon condong apabila ditiup angin. Laju bukannya perlahan-lenggang.
Dilaporkan Umar RA pernah melihat seorang lelaki yang menampakkan warak ketika berjalan. Umar RA memukulnya (sebagai teguran bukan menyakitkan) dengan tongkat kecil beliau seraya berkata,
“Jangan matikan agama kita, nanti Allah akan matikan kamu”.
Abu al-Darda’ RA memberikan nasihat agar kita berlindung kepada Allah Taala daripada khusyuk nifaq. Maksud khusyuk nifaq ialah, “Anda melihat jasad yang khusyuk sedangkan dia bukanlah orang yang begitu”. (Kitab al-Zuhd oleh Imam Ahmad)
Sufyan al-Thauri menyatakan akan muncul sekelompok orang yang mempamerkan rasa khusyuk, walhal sebenarnya mereka bagaikan serigala-serigala yang ganas. Matlamat mereka hanyalah harta dan kedudukan. (Al-Ba‘ith ‘ala Ingkar al-Bida‘ wa al-Hawadith oleh Abu Shamah)
Ibn al-Jauzi menjelaskan kita tidak wajar seseorang terlalu menunjukkan sifat khusyuk, menangis dan menundukkan kepala ketika bertemu orang ramai. Ia bersedia untuk bersalaman dan agar tangannya dicium. Ibrahim al-Nakha‘i sendiri sangat benci apabila orang meminta beliau berdoa (secara khusus) semacam beliau mempunyai kedudukan yang tinggi di sisi Allah Taala.
Umar RA pernah melihat seorang lelaki berjalan dalam keadaan menundukkan kepala, beliau lalu berkata, “Wahai tuan, angkatlah kepala anda. Sesungguhnya khusuk itu tidak menambahkan apa yang ada dalam hati.”
“Sesiapa yang menzahirkan kepada orang ramai khusyuk yang melebihi apa yang ada dalam hatinya, sesungguhnya ia menzahirkan nifaq atas nifaq.” (Talbis Iblis oleh Ibn al-Jauzi)
Kesimpulan :
- Tiada guna menunjukkan rasa khusyuk dalam keadaan kita sendiri mengetahui kelemahan dan kekurangan diri kita. Berlaku jujurlah.
- Ramai orang yang menunjuk-nunjuk sifat warak dan soleh menerusi pakaian, percakapan dan cara berjalan. Ini semua perbuatan mengada-ngada dan berlebihan.
- Ramai ulama seperti Imam Ahmad tidak pernah memperlihatkan tanda-tanda ibadah. Mereka sangat warak namun tidak mempamerkannya. Kita pula sangat tidak warak, namun menunjuk-nunjuk warak.
Rujukan :
Bidaahkah Amalanku? Karya Basri Ibrahim. Dapatkan di Karya Buku Prof Dr. Basri Ibrahim Al-Azhari