More
    HomeAqidahMeminta Pertolongan Daripada Orang Mati

    Meminta Pertolongan Daripada Orang Mati

    Isu : Ada segolongan orang yang suka meminta bantuan daripada orang yang sudah meninggal dunia, khususnya kalangan orang soleh. Apabila wujud kumpulan menegur, maka kumpulan itu digelar Wahabi.

    Jawapan :

    Ada 2 isu di sini:-

    1. Adakah kita dibolehkan memohon pertolongan daripada orang yang sudah meninggal dunia?
    2. Adakah Wahabi yang menentang amalan ini, sedangkan ulama lain membenarkan?

    Pastinya kita tidak dibenarkan memohon pertolongan daripada orang yang sudah meninggal dunia. Allah Taala berfirman,

    ٱدۡعُونِيٓ أَسۡتَجِبۡ لَكُمۡۚ

    “Berdoalah kepada-Ku, nescaya aku kabulkan untukmu.”

    (Ghafir:60)

    Pihak yang menentang amalan ini tidak wajar digelar Wahabi. Ini kerana, larangan berbuat demikian jelas terdapat dalam al-Quran dan sunnah SAW. Malah ulama-ulama sufi juga membantah amalan ini.

    Sekiranya kita meminta pertolongan atau istighathah (الاسْتِغَاثَةُ) daripada orang yang ada kemampuan iaitu orang yang masih hidup, hukumnya harus. Orang mati, tiada kemampuan.

    Menurut Sheikh Ahmad bin Ibrahim al-Najdi di dalam al-Rad ‘ala Shubuhat al-Mustaghithin bi Ghairillah, Allah Taala menghukum orang yang menyeru sesuatu yang tidak mampu memperkenankan doa mereka sebagai sesat.

    Di dalam Fi Sabil al-Islam, Sheikh Muhammad Amin al-Faidi menjelaskan, tokoh-tokoh tasawuf sendiri menolak amalan istighthah (memohon pertolongan) daripada orang yang sudah meninggal dunia.

    • Istighathah mendekati syirik. Ini pendapat al-Alusi.
    • Orang yang melakukannya dikira berdosa dan wajib meninggalkannya. Ini pendapat Sheikh Abdul Karim al-Mudarris.
    • Istighathah dengan orang yang sudah meninggal merupakan tanda adab yang buruk. Ini pendapat Sheikh Mulla Ramadhan.
    • Amalan istighathah wajar dicela.

    Ibn Taimiyyah di dalam Ziyarah al-Qubur wa al-Istinjad bi al-Maqbur menjelaskan, kita tidak dibolehkan untuk meminta orang yang sudah meninggal dunia, “Berdoalah untuk kami” atau “Pohonlah kepada Tuhan untuk kami”.

    Tiada sebarang hadith, tindakan sahabat dan ulama-ulama besar yang menganjurkan amalan mengarut ini.

    Bagi al-Qaradhawi di dalam Fusulun fi al-‘Aqidah Bain al-Salaf wa al-Khalaf, berdoa menggunakan perantaraan orang yang sudah mati merupakan antara bidaah dan syirik besar.

    Sheikh Hasan Ayyub di dalam Tabsit al-‘Aqa’id al-Islamiyyah turut mengkritik amalan ini lantaran boleh membawa kepada syirik.

    Masih panjang kupasan saya dalam isu ini yang telah saya tumpahkan di dalam karya saya yang diterbitkan oleh PTS dengan judul Wahabi dan Pelabelan Wahabi; Analisis Terhadap 22 Ciri dan Amalan yang Dikaitkan dengan Wahabi.

    Boleh dapatkan karya setebal hampir 470 halaman ini di https://yup.la/drbasri

    Prof. Dr. Basri Ibrahim Al-Azhari

    LEAVE A REPLY

    Please enter your comment!
    Please enter your name here

    TRENDING