Sebut sahaja nama Imam Ibnu Kathier, ramai dalam kalangan kita sinonim dengan namanya. Masakan tidak, beliau begitu sinonim dengan Kitab Tafsir al-Quran al-Karim atau lebih dikenali sebagai Tafsir Ibnu Kathier. Naskhah agung itu begitu popular di setiap penjuru dunia termasuk di Malaysia.
Bukan sahaja ilmu tafsir, cendekiawan Islam yang sangat dihormati itu turut menguasai ilmu hadis, sejarah dan fiqh.
Sebenarnya terdapat dua orang ulama yang masyhur dengan nama Ibnu Kathier.
- Pertama ialah Ibn Kathier al-Makkiy; salah seorang ahli qiraat terkenal yang meninggal dunia pada tahun 120H.
- Kedua ialah Ibn Kathier ad-Dimasyqi seorang yang dikenali dengan ahli tafsir dan sejarah yang meninggal pada tahun 774H.
Ibn Kathier al-Makkiy (120H)
Ibn Kathier al-Makkiy adalah salah seorang daripada Ahli Qira’at Sab’ah yang mutawatir. Beliau adalah Abdullah bin Kathier bin Umar bin Abdullah bin Zadan al-Makkiy. Beberapa riwayat mengatakan bahawa dia dikenali sebagai Ibn Kathier al-Dari, dinisbahkan kepada Bani al-Dar. Beberapa riwayat lain mengatakan kata al-Dari dinisbahkan kepada suatu tempat di Bahrain.
Beliau juga tergolong dalam golongan Tabi’in. Dilahirkan tahun 45H di Mekah dan wafat di sana pada tahun itu 120H. Sebagai generasi pertama tabi’in yang hidup di Mekah, Imam Ibn Kathier bertemu dengan beberapa orang sahabat antaranya ialah Abdullah bin Zubair, Abu Ayyub al-Ansari, Anas bin Malik, Mujahid bin Jabar, dan Darbas Maula Ibnu Abbas.
Beliau juga dikatakan pernah belajar Al-Quran dari beberapa orang tabi’in a’liy, antaranya: Abdullah bin al-Saib al-Makhzumi, Mujahid bin Jabar al- Makki, Darbas pembantu kepada Ibn Abbas. Ketiga guru Imam Ibn Kathier ini mempunyai Riwayat sanad yang disambung terus pada sahabat.
Ibn Kathier ad-Dimasyqi (774 H)
Ulama kedua yang menggunakan nama Ibn Kathier ialah Ismail bin Umar bin Kathier bin Dhowwa al-Bashri ad-Dimasyqi Abu al-Fida Imaduddin. Beliau adalah seorang ulama ahli tafsir, ahli sejarah dan hafiz, lahir pada tahun 701H di Syam dan meninggal di Damsyik pada 774H.
Antara karya beliau yang terkenal ialah
- Tafsir ibn Kathir
- Al Bidayah wa-Nihayah atau Tarikh ibn Kathir
- Al-Sira Al-Nabawiyya (Ibn Kathir)
- Al-Baa’ith al-Hatheeth
- Tabaqaat as-Syafi’iah
- Talkhis al-Istighatha
- Kisah-kisah Nabi
- At-Takmeel Ma’rifati Ath-Thiqat Wal-Majaheel
- Jami’ Al-Masaneed Was-Sunan Al-Hadi Li-Aqwam Sunan
- Tabaqat As-Syafi’i yyah
Ibn Kathier sempat belajar dengan beberapa tokoh ulama yang hebat, antaranya ialah : Syeikh Burhanuddin Ibrahim al-Fazari, Isa bin Mut’im, Ibn Ashakir, Ibn Syairazi, Ishaq bin Yahya bin al- Amidi, Ibn Zarrad, al-Hafiz adz-Dzahabi dan Ibnu Taimiyah.
Selain itu, dia juga belajar kepada Syaikh Jamaluddin Yusuf bin Zaki al-Mizzi, salah seorang ahli hadis di Syam. Al-Mizzi Ini kemudian mengahwinkan anak perempuan beliau dengannya.
Di akhir usianya, beliau menjadi buta. Beliau meninggal dunia pada 774H bersamaan dengan 1373M di Syria.