More
    HomeIbadahHukum Haiwan Korban Cacat Setelah Dibeli

    Hukum Haiwan Korban Cacat Setelah Dibeli

    Ikuti kami untuk info terkini

    Antara soalan biasa yang terjadi bila mana datangnya musim korban ialah apakah hukum haiwan korban yang cacat setelah dibeli?

    Untuk makluman semua, jika haiwan korban dibeli dalam keadaan sempurna atau bebas dari segala kecacatan, dan setelah dibeli maka terjadinya kecacatan maka haiwan ini boleh diteruskan untuk dijadikan ibadat korban.

    Contohnya ketika kita membeli lembu itu sempurna, setelah hendak diturunkan dari atas lori, ia jatuh dan mengakibatkan patah kaki, atau contoh yang lainnya semasa hendak melakukan penyembelihan, ia terjatuh ke dalam longkang mengakibatkan kecacatan, maka ianya sah dibuat korban.

    Ini disebabkan kerana yang dimaksudkan dengan kecacatan yang menyebabkan tidak sah sesuatu haiwan itu dikorbankan adalah kecacatan sebelum ia dikorbankan (عيب قديم) bukannya kecacatan baru (عيب طارئ).

    Imam al-Baihaqi telah meriwayatkan dari Ibnu Zubair RA bahawa ia diberi hadiah unta yang buta sebelah, maka ia berkata:

    إن كان أصابها بعد ما اشتريتموها فأمضوها ، وإن كان أصابها قبل أن تشتروها فأبدلوها

    Maksudnya: “Jika cacat tersebut terjadi setelah kamu membelinya maka teruskan untuk menyembelihnya, dan jika cacat tersebut terjadi sebelum kamu membelinya maka gantilah dengan haiwan yang lain”

    Dalam hadis yang lain Imam Ahmad dan AlBaihaqi meriwayatkan dari Said Al-khudri, dia berkata:

    اشْتَرَيْتُ كَبْشًا أُضَحِّي بِهِ فَعَدَا الذِّئْبُ فَأَخَذَ الْأَلْيَةَ قَالَ فَسَأَلْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ ضَحِّ بِهِ

    Maksudnya: “Aku membeli seekor kambing untuk aku jadikan korban, tetapi seekor serigala melukainya dengan taringnya, maka aku pun bertanya kepada Nabi SAW, dan beliau bersabda: “Berkorbanlah dengannya.”

    Dalam hal ini An-Nawawi ada mengatakan:

    لَوْ قَالَ: جَعَلْتُ هَذِهِ الشَّاةَ ضَحِيَّةً، أَوْ نَذَرَ التَّضْحِيَةَ بِشَاةٍ مُعَيَّنَةٍ، فَحَدَثَ بِهَا قَبْلَ وَقْتِ التَّضْحِيَةِ عَيْبٌ يُمْنَعُ ابْتِدَاءُ التَّضْحِيَةِ، لَمْ يَلْزَمْهُ شَيْءٌ بِسَبَبِهِ كَتَلَفِهَا. وَلَا تَنْفَكُّ هِيَ عَنْ حُكْمِ الْأُضْحِيَّةِ، بَلْ تُجْزِئُهُ عَنِ التَّضْحِيَةِ، وَيَذْبَحُهَا فِي وَقْتِهَا (روضة الطالبين وعمدة المفتين (3/ 216)

    Maksudnya: “Jika dia mengatakan, ‘Aku menjadikan kambing ini sebagai korban’ atau dia bernazar untuk berkorban dengan seekor kambing tertentu lalu kemudian terjadi sesuatu pada kambing tersebut sebelum waktu penyembelihan, yang menyebabkan kecacatan, maka dia tidak punya kewajiban apapun kerana kecacatan tersebut sebagaimana jika kambing itu mati. Kambing tersebut juga tidak lepas dari hukum korban, bahkan ianya sah sebagai korban dan dia boleh menyembelihnya di waktu korban” (Roudhotut Tholibin)

    Ibnu Qudamah di dalam al-Mughninya juga ada mengatakan:

    ” إذا أوجب أضحية صحيحة سليمة من العيوب , ثم حدث بها عيب يمنع الإجزاء , ذبحها , وأجزأته . روي هذا عن عطاء والحسن والنخعي والزهري والثوري ومالك والشافعي وإسحاق ” انتهى .

    Maksudnya: “Jika haiwan korban sudah siap untuk disembelih dan bebas dari cacat, lalu cacat terjadi dikemudian hari yang mengakibatkan hilang syarat korban, maka ia tetap boleh menyembelihnya, kerana ia masih dikira haiwan korban”.

    Saya suka baca pandangan Syeikh Ibnu Utsaimin yang diulasnya dalam kitab “Risalah Udhhiyah” mengatakan:

    “Jika haiwan korban tersebut menjadi cacat yang menyebabkannya tidak boleh dijadikan korban, maka ada dua kemungkinan:

    Pertama : Bahawa cacat tersebut terjadi kerana disebabkan kelalaian orang yang mahu berkorban, maka ia harus menggantinya dengan haiwan lain, yang sama atau yang lebih baik dari itu; kerana dia menjadi asbab punca kecacatan, dan ia wajib menggantinya.

    Kedua : Kecacatan itu berlaku bukan sebab disengajakan atau asbab kelalaian orang yang hendak berkorban, maka ia tetap boleh menyembelihnya dan hukumnya sah dijadikan korban; kerana haiwan korban itu amanah dan menjadi cacat tanpa disengajakan atau atau kelalaiannya.

    Kesimpulannya, ibadat korban adalah satu ibadat yang sangat dipandang tinggi di dalam agama kita. Bila disebut binatang korban, maka ia mestilah di antara yang terbaik kita sembahkan kerana sembelihan yang dilakukan ini adalah untuk Allah. Sama-samalah kita mencari keredhaannya mudah-mudahan ibadat korban yang kita lakukan itu mendapat ganjaran daripada Allah.

    syarat sah ternakan

    Ustaz Nik Nizam Nasir

    LEAVE A REPLY

    Please enter your comment!
    Please enter your name here

    TRENDING