Isu: Ada ilmuwan mengatakan, Allah Taala menghidupkan semula ibu bapa Nabi SAW dengan tujuan untuk mengimani baginda. Sejauh manakah kebenaran kisah ini?
Jawapan :
- Wallah a‘lam. Banyak kisah palsu dan dusta tersebar dalam dunia ceramah. Disebabkan itulah ulama membezakan antara ilmuwan dengan penceramah semata-mata. Saya ada menulis karya mengkaji isu-isu seperti ini,
- ✏️ 72 Kisah Para Nabi yang Tidak Boleh Dijadikan Hujah terbitan Karya Bestari, Karangkraf.
- ✏️ Terjemahan karya Prof Ibrahim Sha‘wat yang berjudul Kebatilan Dalam Sejarang yang Perlu Dihapuskan terbitan Jahabersa.
- ✏️ Boleh juga rujuk karya berjudul Kisah-kisah Tidak Sahih di Meja Penceramah dan 40 Sirah Popular yang Diragui terbitan PTS
- Kisah ini tidak boleh dijadikan hujjah keimanan ibu bapa Nabi SAW, lantaran menurut kajian Ibn al-Jauzi, ia berdasarkan sebuah hadith maudhu’ atau palsu.
- Ibn al-Jauzi menjelaskan, orang yang membawakan kisah ini ialah orang yang kurang kefahaman dan tidak mempunyai latar belakang ilmu hadith yang baik.
- Menurut Abu al-Fadhl bin Nasir, hadith yang menceritakan kedua ibu bapa Nabi SAW dihidupkan semula dan mereka mengisytiharkan masuk Islam adalah kisah palsu.
- Imam al-Zahabi menyatakan mudah-mudahan Allah Taala membalas dengan keburukan ke atas orang yang mengemukakan kisah ini.
- Ibn Kathir pula menyatakan hadith ini sebuah hadith yang sangat mungkar (mungkar jiddan).
- Selain mereka, antara ulama yang menganggap kisah ini palsu ialah Ibn Dahiyah, al-Daraqutni, Ibn Hajr, Ibn ‘Asakir, al-Suhaili, al-Qurtubi, al-Muhib al-Tabari, Ibrahim al-Halabi, Ibn Taimiyyah, ‘Azim Abadi, dan Mulla ‘Ali al-Qari.
- Sekiranya kedua-dua ibu bapa Nabi SAW dihidupkan semula, pasti ia akan menjadi satu perkara yang amat diberi perhatian dan menggempar bumi Mekah.
- Walau bagaimanapun, majoriti ulama berpendapat ibu bapa Nabi Muhammad SAW selamat daripada azab neraka bukan dengan sebab kisah tersebut. Tetapi atas alasan kedua-dua mereka ahli fatrah (tidak sempat mendengar seruan keimanan).
Wallah a‘lam.