Di dalam mazhab Syafie sebaik-baik haiwan korban adalah unta, kemudian seekor lembu (tanpa dibuat 7 bahagian), kemudian kambing dan seangkatan dengannya (kibas dan biri-biri), kemudian barulah korban seekor lembu yang dibahagi 7.
Kalau kita perhatikan di tempat kita, kebanyakkan kita lebih suka berkorban dengan mengambil salah satu dari 7 bahagian seekor lembu. Ini disebabkan kerana ada dikalangan yang kita tidak suka makan kambing terutama bagi orang yang berpenyakit darah tinggi.
Dalam masa kita berkorban, ia bukan dinilai dari sudut apakah daging yang kita boleh makan atau tidak, tapi yang harus kita nilainya adalah apa yang kita nak sembahkan pada Allah pada hari korban/udhiah. Bab nak makan, bila bila masa kita boleh beli daging di kedai, tapi biarlah untuk udhiah kita persembahkan yang terbaik dan yang termampu kita buat.
Keduanya kita suka menganggarkan dengan satu bahagian lembu (1/7) yang dibayar contohnya dalam sekitar RM 600, kita boleh dapat lebih kurang 25-30 kilogram daging lembu sedangkan kalau kita menyembelih seekor kambing yang lebih kurang sama harganya (dengan seekor lembu), kita hanya mendapat lebih kurang 18 kilogram daging kambing.
Sebenarnya di dalam agama kita, yang afdhol kita sembelih untuk udhiah ialah seekor haiwan yang tidak dikongsi dan keadaan kita di Malaysia; kibas, kambing atau biri biri lebih sesuai mengikut kemampuan rakyat marhaen.
Kalau kita perhatikan banyak hadis juga yang menunjukkan Rasulullah SAW menyembelih kambing (termasuklah kibas dan biri-biri) untuk udhiah/korban.
Dalam satu hadis diriwayatkan dari Abu Hurairah RA, beliau berkata, bahawa aku pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda:
نِعْمَتِ الْأُضْحِيَّةُ الْجَذَعُ مِنْ الضَّأْنِ
Maksudnya : Sebaik baik binatang untuk dibuat korban/udhiah ialah biri biri yang dalam usia Jaza’.
Riwayat Tirmizi
Dalam hadis yang lain juga ada diriwayatkan dari Anas bin Malik bahawa:
عن أنس بن مالك رضي الله عنه أن النبي صلى الله عليه وسلم كان يضحي بكبشين أملحين أقرنين ويسمي ويكبر – متفق عليه
Maksudnya : Rasulullah SAW berkorban dengan dua ekor kibas yang keduanya bertanduk, dan menyembelih dengan menyebut nama Allah dan bertakbir.
Begitu juga hadis dari Abu Sa’id Al-Khudri bahawa:
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يُضَحِّى بِكَبْشٍ أَقْرَنَ فَحِيلٍ يَنْظُرُ فِى سَوَادٍ وَيَأْكُلُ فِى سَوَادٍ وَيَمْشِى فِى سَوَادٍ
Maksudnya : “Rasulullah SAW berkorban dengan kibas bertanduk jantan yang terbaik, sekitar matanya hitam, mulutnya hitam dan kaki-kakinya hitam.”
Riwayat Abu Daud dan dan Tirmizi.
Kalau mengikut Imam Malik pula, beliau berkata:
وقال مالك : الأفضل الجذع من الضأن ، ثم البقرة ، ثم البدنة ؛ لأن النبي صلى الله عليه وسلم ضحى بكبشين ، وهو صلى الله عليه وسلم لا يفعل إلا الأفضل
Maksudnya: Korban yang paling baik/afdhol adalah biri biri yang berumur 8-9 bulan, kemudian lembu, kemudian unta, kerana Rasulullah SAW berkorban dengan dua ekor kibas, dan beliau tidak akan melakukan sesuatu kecuali sesuatu tersebut adalah yang lebih utama.
Kesimpulannya bekorbanlah mengikut kemampuan kita, dan sebaik baiknya kita mengorbankan seekor haiwan. Kalau tidak mampu, barulah kita memilih untuk mengambil 1/7 daripada bahagian seekor lembu. Dalam falsafah ibadah bukan kuantiti yang Allah pandang, tapi yang dinilai ialah kualiti sesuatu perkara.
Akhukum Fillah
Ustaz Nik Nizam Nasir