More
    HomeSyariatSalah Faham Tentang Kandungan Sighah Taklik

    Salah Faham Tentang Kandungan Sighah Taklik

    Ikuti kami untuk info terkini

    Dua minggu lepas, ada seorang perempuan datang jumpa saya, katanya dia hendak berkahwin dengan pasangan barunya.

    Masalah sekarang pada status perkahwinan, rupanya dia masih isteri orang. Menurut ceritanya, dia sudah ditinggalkan suaminya (warga asing) lebih kurang 4 tahun yang lepas. Jadi sekarang dia sudah ada calon yang baru untuk dikahwininya.

    Saya katakan padanya yang dia harus memohon perceraian taklik di mahkamah terlebih dulu. Setelah habis iddah barulah dia (si isteri) boleh berkahwin dengan bakal suaminya yang ada sekarang.

    Tapi dia membantah dengan mengatakan bukankah dalam sighah taklik ada menyatakan kalau suami meninggalkan isteri melebihi 4 bulan dan tidak memberi nafkah yang wajib kepadanya maka cerai akan jatuh secara automatik?

    Lalu ditunjukkan sijil sighah taklik kepada saya.

    Saya katakan inilah salah faham kebanyakkan masyarakat awam yang tidak faham maksud kandungan sighah taklik tersebut. Perceraian akan berlaku setelah si pengadu (isteri sebagai plaintif) membawa kes ini ke Mahkamah Syariah melalui jalan cerai taklik dan mesti diputuskan oleh mahkamah.

    Andai kata kalau kes ini tidak dibawa ke mahkamah walaupun 20 tahun, maka dia tetap menjadi isteri si pulan bin si pulan walaupun ditinggalkan melebihi 20 tahun.

    Ramai yang menyangka jika suami tidak memberi nafkah yang wajib maka talak akan jatuh dengan sendirinya. Kes ini pernah berlaku kepada saya di satu daerah beberapa tahun yang lepas. Si Isteri membawa bakal suami untuk berkahwin dengan bakal suami sebab dia menyangka dirinya telah bebas diceraikan kerana suami telah meninggalkannya melebihi setahun.

    Yang lebih mengejutkan ialah pada hari semalam, saya ditelefon oleh abang ipar si perempuan tersebut dengan mengatakan adik iparnya telah selesai berkahwin di Thailand.

    Saya katakan mana boleh buat begitu, sebab dia masih dikira isteri orang dan perkahwinan ini adalah tidak sah di sisi syarak.

    Alasan si perempuan tersebut, prosedur banyak sangat dan kena ambik masa yang lama untuk berkahwin lagi.

    Perlu diingatkan, mana-mana perkahwinan di sebelah Thai harus disahkan di Mahkamah Syariah di Malaysia. Kadang-kadang kita menyangka, kita telah selamat berkahwin di negara jiran, tapi belum tentu perkahwinan kita sah di sisi syarak.

    Maka nasihat saya berhati-hatilah dalam urusan nikah kahwin. Banyak mana perkahwinan yang telah dimufaraqahkan kerana tidak mengikut prosedur yang betul mengikut syarak.

    Kesimpulannya mana-mana perkahwinan masih belum terungkai selagi mana tidak diputuskan oleh Hakim Mahkamah Syarie walaupun suaminya telah meninggalkannya melebihi 4 bulan atau lebih. Sebaiknya rujuklah pada org yang betul kerana kita takut perkahwinan kita ini dikhuatiri tidak sah mengikut syarak.

    Wallahu a’lam

    Ustaz Nik Nizam Nasir

    LEAVE A REPLY

    Please enter your comment!
    Please enter your name here

    TRENDING