More
    HomeAqidahMemanggil Roh Masuk Dalam Tubuh

    Memanggil Roh Masuk Dalam Tubuh

    Isu : Dalam sehari dua ni, ada satu isu yang mana seorang bomoh boleh memanggil roh seseorang ke dalam tubuhnya. Isu ni bukan satu benda yang baru, sebab sudah sekian lama ianya bertapak dikalangan perbomohan dan persilatan. Persoalannya benarkan roh boleh masuk ke dalam tubuh seseorang?

    Jawapan :

    Sayyid Qutb berkata : Apabila mereka bertanya Rasulullah SAW mengenai roh, maka Allah menjawab bahawa roh itu adalah perkara ghaib dan ianya adalah urusan Allah. Hanya ilmu Allah sahaja yang mengetahuinya dan tiada sesiapa pun yang mengetahui selain Allah. Fi Zilal al-Quran, 10/261).

    Firman Allah SWT :

    وَيَسْأَلُونَكَ عَنِ الرُّوحِ ۖ قُلِ الرُّوحُ مِنْ أَمْرِ رَبِّي وَمَا أُوتِيتُم مِّنَ الْعِلْمِ إِلَّا قَلِيلًا

    Maksudnya: “Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh. Katakan: Roh itu daripada perkara urusan Tuhanku dan kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja.”

    (Surah al-Isra’: 85)

    Roh orang yang mati tidak akan kembali, bahkan takkan kembali ke dunia. Andai kata kalau roh orang mati pun tidak boleh kembali ke dunia bagaimana mungkin roh yang hidup boleh masuk ke diri seseorang.

    Terdapat satu hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad di dalam Musnadnya bahawa Jabir RA berkata :

    قَالَ لِي رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: ” يَا جَابِرُ، أَمَا عَلِمْتَ أَنَّ اللهَ عَزَّ وَجَلَّ أَحْيَا أَبَاكَ، فَقَالَ لَهُ: تَمَنَّ عَلَيَّ، فَقَالَ: أُرَدُّ إِلَى الدُّنْيَا، فَأُقْتَلُ مَرَّةً أُخْرَى، فَقَالَ: إِنِّي قَضَيْتُ، أَنَّهُمْ إِلَيْهَا لَا يُرْجَعُونَ

    Maksudnya: Telah berkata kepadaku Rasulullah ﷺ: Wahai Jabir! Adakah kamu tidak mengetahui bahawa Allah ‘azza wa jal telah menghidupkan ayahmu dan berfirman kepadanya: “Mohonlah kepada-Ku”. Lantas ayahmu berkata: “Kembalikanlah diriku ke dunia hingga aku terbunuh (dalam jihad fi sabilillah) sekali lagi”. Maka Allah berfirman: “Aku telah memutuskan bahawa mereka (yang telah mati) tidak akan kembali lagi ke dunia.”

    Riwayat Ahmad (14881)

    Seseorang yang telah meninggal, dia akan ditempatkan di alam barzakh sementara tibanya hari kiamat. Abu Sakhr mengatakan al-barzakh adalah kubur, bukan di dunia, bukan di akhirat. Mereka menetap di dalamnya sehingga hari dibangkitkan.

    Dalilnya Allah SWT berfirman :

    وَمِن وَرَائِهِم بَرْزَخٌ إِلَىٰ يَوْمِ يُبْعَثُونَ

    Maksudnya: Sedang di hadapan mereka ada alam barzakh (yang mereka tinggal tetap padanya) hingga hari mereka dibangkitkan semula (pada hari kiamat).

    Surah al-Mukminun (100)

    Berdasarkan penjelasan di atas, adalah tidak boleh sama sekali bagi seorang manusia itu menguasai (mengawal) roh orang mati atau menghadirkannya (seperti menurun dan sebagainya) dan bercakap-cakap dengannya.

    Mengikut fatwa oleh Syeikh Mutawalli al-Sya’rawi berhubung amalan tahdir al-arwah (mendatangkan roh ke dalam tubuh), beliau menyatakan bahawa ianya tidak mempunyai asas daripada al-Qur’an dan al-Sunnah serta satu pembohongan semata-mata. (al-Fatawa, m. 19)

    Dalilnya firman Allah SWT,

    وَقَيَّضْنَا لَهُمْ قُرَنَاءَ فَزَيَّنُوا لَهُمْ مَا بَيْنَ أَيْدِيهِمْ وَمَا خَلْفَهُمْ وَحَقَّ عَلَيْهِمُ الْقَوْلُ فِي أُمَمٍ قَدْ خَلَتْ مِنْ قَبْلِهِمْ مِنَ الْجِنِّ وَالْإِنْسِ إِنَّهُمْ كَانُوا خَاسِرِينَ

    Maksudnya: Dan Kami adakan untuk mereka teman-teman rapat (dari jin dan manusia), lalu teman-teman itu memperhiaskan kepada mereka (fahaman-fahaman sesat) mengenai perkara-perkara dunia yang ada di hadapan mereka, serta perkara-perkara akhirat yang ada di belakang mereka; dan (dengan sebab itu) tetaplah hukuman (azab) atas mereka bersama-sama dengan umat umat (yang sesat) dari jin dan manusia yang terdahulu daripada mereka. Sesungguhnya mereka semuanya adalah golongan yang rugi (bawaan hidupnya).

    (Surah Fussilat: 25)

    Amalan menghadirkan roh ke dalam jasad seseorang ini adalah merupakan salah satu bentuk syirik kepada Allah SWT. Amalan ini sangatlah bersalahan dengan syarak, berdasarkan dalil ayat al-Qur’an yang telah diberikan di atas. Mesyuarat Panel Kajian Akidah ke 25/2003 juga telah mengambil keputusan bahawa mengamalkan Tahdir Arwah adalah haram. Adapun yang masuk ke tubuh seseorang dan mengaku ianya roh si polan itu berkemungkinan ianya adalah jin, qarin atau pun lakonan si bomoh.

    Oleh itu sama-samalah kita tidak bersubahat dan menghindari amalan menghadirkan roh masuk ke dalam tubuh seseorang kerana ianya benar-benar boleh merosakkan akidah seseorang.

    Ustaz Nik Nizam Nasir

    LEAVE A REPLY

    Please enter your comment!
    Please enter your name here

    TRENDING