Soalan : Apakah hukum kita menunaikan “puasa enam” selain daripada bulan Syawal?
Jawapan :
Imam Muslim telah meriwayatkan dalam sohehnya (1164) dari Abu Ayyub Al Anshori RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالٍ كَانَ كَصِيَامِ الدَّهْرِ
Ertinya: “Barang siapa yg berpuasa di bulan Ramadhan kemudian diikuti enam hari di bulan Syawal maka sama dengan berpuasa selama satu tahun”
Hadis di atas menunjukkan bahawa pahala tersebut hanya diperuntukkan hanya bagi seseorang yang berpuasa 6 hari di bulan Syawal.
Para ulama berbeza pendapat mengenai jika puasa enam hari tersebut dilakukan selain bulan Syawal kerana disebabkan beberapa halangan atau kerana sebab lain, adakah dikira mendapat ganjaran seperti hadis di atas?
Pendapat Pertama
Sebahagian ulama Malikiyah dan Hanabilah berpendapat bahawa keutamaan puasa 6 hari di bulan Syawal tersebut hanya dikhaskan pada orang yang melaksanakannya pada bulan Syawal dan di bulan selainnya. Pemahaman hadis di atas yang menyebut bulan Syawal itu hanya untuk memudahkan manusia sahaja; kerana berpuasa selepas bulan Ramadhan akan lebih mudah bila tibanya Syawal.
Al ‘Adwi mengatakan dlm Syarah Al Khorsyi (2/234):
وإنما قال الشارع : ( من شوال ) للتخفيف باعتبار الصوم ، لا تخصيص حكمها بذلك الوقت ، فلا جرم أن فعلها في عشر ذي الحجة مع ما روي في فضل الصيام فيه أحسن ؛ لحصول المقصود مع حيازة فضل الأيام المذكورة , بل فعلها في ذي القعدة حسن أيضا , والحاصل : أن كل ما بعد زمنه كثر ثوابه لشدة المشقة ” انتهى .
Maksudnya : “Bahawa Rasulullah SAW menyebutkan “pada bulan Syawal” adalah bertujuan untuk meringankan pelaksanaan puasanya, bukan sebagai “pengkhususan hukum” bagi melaksanakannya pada waktu tersebut. Maka tidak menjadi masalah jika ia dilaksanakan pada bulan selainnya seperti pada 10 awal Zulhijjah sejajar dengan riwayat yang menyatakan bahawa puasa pada hari-hari tersebut lebih utama, tujuannya terlaksana disertai dengan keutamaan 10 hari awal bulan Zulhijjah, bahkan boleh juga melaksanakannya pada bulan Zulkaedah. Kesimpulannya adalah bahawa sesuatu yang dilakukan setelah lewat masanya maka banyaklah pahalanya; kerana tingkatan kesusahannya semakin berat”
Manakala di dalam kitab Tahdzib Furuuq Al Qarafi karya Muhammad bin Ali bin Husain iaitu sebagai mufti Malikiyah di Makkah satu ketika dahulu dinyatakan (2/191):
عن ابن العربي المالكي أن قوله صلى الله عليه وسلم : (من شوال) “على جهة التمثيل ، والمراد : أن صيام رمضان بعشرة أشهر ، وصيام ستة أيام بشهرين ، وذلك المذهب [يعني مذهب الإمام مالك] ، فلو كانت من غير شوال لكان الحكم فيها كذلك ، قال : وهذا من بديع النظر فاعلموه” انتهى .
Ertinya: Ibnul ‘Arabi Al Maliki berpendapat mengenai sabda Nabi SAW; yang dimaksudkan “pada bulan Syawal” tersebut sebenarnya hanya merupakan sebagai contoh saja, dalam erti kata lain bahawa puasa Ramadhan itu sama dengan 10 bulan, dan manakala puasa 6 hari pada bulan Syawal itu adalah sama dengan 2 bulan. Itulah pandangan mazhab Imam Malik yang mengatakan jika selain di bulan Syawal maka hukumnya sama dengan perkara tersebut.
Ibnu Muflih berkata dalam Al Furu’ (3/108):
” ويتوجه احتمال : تحصل الفضيلة بصومها في غير شوال , وفاقا لبعض العلماء , ذكره القرطبي , لأن فضيلتها كون الحسنة بعشر أمثالها , كما في خبر ثوبان , ويكون تقييده بشوال لسهولة الصوم لاعتياده رخصة , والرخصة أولى” انتهى.
Ertinya: “Ada beberapa kemungkinan, puasanya tetap mendapatkan keutamaan pada selain bulan Syawal, sesuai dengan pendapat sebahagian ulama, sebagaimana disebutkan oleh Al Qurthubi; kerana keutamaannya tersebut dilipatgandakan sepuluh kali, sebagaimana menurut hadis Tsauban, bahawa keterikatannya dengan bulan Syawal hanyalah untuk memudahkan pelaksanaannya sahaja, kerana ia merupakan satu rukhsah dan mengambil rukhsah itu adalah lebih utama”.
Pengarang buku Al Inshaf menukilnya dan berkata:
وهذا ضعيف مخالف للحديث , وإنما ألحق بفضيلة رمضان لكونه حريمه , لا لكون الحسنة بعشر أمثالها ; ولأن الصوم فيه يساوي رمضان في فضيلة الواجب ” انتهى من “الإنصاف” (3/344(
“Pendapat yg mengatakan demikian itu adalah lemah; kerana bertentangan dengan hadis, penyebab dikaitkannya dengan dengan keutamaan bulan Ramadhan kerana Syawal sebagai harinya (yang berdekatan) bukan kerana kebaikan itu dilipatgandakan 10 kali, dan kerana puasa pada bulan Syawal itu sepadan dengan Ramadhan dalam masalah keutamaan kewajiban”. (Al Inshaf: 3/334)
Pendapat Kedua
Sebagian ulama Syafi’iyyah berpendapat, bagi siapa saja yang terlambat untuk berpuasa 6 hari pada bulan Syawal maka ia boleh menggantinya pada bulan Zulkaedah. Akan tetapi pahalanya lebih sedikit dari pada mereka yang berpuasa pada bulan Syawal, jadi barang siapa yang berpuasa Ramadhan lalu diikuti dengan 6 hari pada bulan Syawal maka sama dengan berpuasa wajib selama satu tahun, berbeza dengan orang yang berpuasa Ramadhan lalu diikuti 6 hari pada bulan selain Syawal, maka dia mendapatkan pahala puasa Ramadhan (yang wajib) dan pahala puasa Syawal (sebagai puasa sunnah).
Ibnu Hajar Al Makky berkata pada Tuhfatul Muhtaj (3/465):
” من صامها مع رمضان كل سنة تكون كصيام الدهر فرضا بلا مضاعفة ، ومن صام ستةً غيرها كذلك تكون كصيامه نفلا بلا مضاعفة” انتهى
“Barang siapa yg melaksanakannya (6 hari di bulan Syawal) bersama Ramadhan setiap tahun maka sama dengan puasa wajib selama satu tahun tanpa gandaan pahala, dan barang siapa yang berpuasa 6 hari pada selain Syawal, maka sama dengan puasa sunnat selama satu tahun berlipat gandaan pahala”.
Pendapat Ketiga
Tidak mendapatkan keutamaannya kecuali dengan berpuasa 6 hari pada bulan Syawal, ini merupakan pendapat Hanabilah.
Disebutkan dalam Kasyful Qana’ (2/338):
ولا تحصل الفضيلة بصيامها أي : الستة أيام في غير شوال ، لظاهر الأخبار” انتهى .
Ertinya: “Tidak mendapatkan keutamaan puasa 6 hari di bulan Syawal, jika dilaksanakan di luar bulan Syawal, berdasarkan matan beberapa hadis”.
Akan tetapi diharapkan bagi seseorang yang berpuasa pada sebahagiannya dan belum mencukupinya, disebabkan ada alasan syar’i tetap akan mendapatkan pahala dan keutamaannya.
Kesimpulan :
Berkenaan puasa sunat 6 hari selain bulan Syawal, sebahagian ulama membolehkannya sama seperti ketika dilakukan di bulan Syawal.
Sebahagian mereka ada yang berpendapat, sesiapa yang melakukannya tetap mendapat keutamaannya namun ganjaran (pahalanya) adalah kurang daripada mereka yang melakukannya di bulan Syawal. Sebahagian mereka yang mengharapkan tetap mendapatkan pahala bagi seseorang yang puasa tidak lengkap 6 hari di bulan syawal, kerana Allah itu Maha Pemurah lagi Maha Bijaksana.
Walau bagaimanapun adalah digalakkan kita menunaikannya penuh di bulan Syawal.
Wallahu A’lam.