Rutab ialah buah kurma basah yang telah masak sebelum menjadi tamar kering, sifatnya lembut dan manis. Adapun tamar ialah buah kurma yang sudah kering. (al-Mu’jam al-Wasit 1/88).
Diriwayatkan daripada Anas RA katanya :
عن أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ رضي الله عنه قال : كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُفْطِرُ عَلَى رُطَبَاتٍ قَبْلَ أَنْ يُصَلِّيَ فَإِنْ لَمْ تَكُنْ رُطَبَاتٌ فَعَلَى تَمَرَاتٍ فَإِنْ لَمْ تَكُنْ حَسَا حَسَوَاتٍ مِنْ مَاءٍ .
Maksudnya: Bahawa Rasulullah SAW berbuka dengan rutob sebelum bersolat, sekiranya tiada rutab maka dengan beberapa biji tamar, dan sekiranya tiada tamar maka baginda minum beberapa teguk air.
(Riwayat Ahmad 12265, Abu Daud 2356)
Inilah tertib yang dilakukan oleh baginda ketika berbuka. Pertamanya ialah rutab, jika tiada rutob maka Rasulullah akan makan tamar dan jika tiada tamar barulah Baginda SAW minum air.
Berkenaan perbahasan hadis ini Syeikh al-Mubarakfuri dalam kitabnya Tuhfatul Ahwazi mengatakan : “Hadis ini menjadi dalil disunatkan berbuka puasa dengan rutab, sekiranya tiada maka dengan tamar, dan sekiranya tiada maka memadai dengan air”.
Persoalannya adakah sunat dahulukan air zam zam dari rutob atau kurma?
السنة بمكة تقديم ماء زمزم على التمر أو خلطه به فمردود بأنه خلاف الاتباع وبأنه -صلى الله عليه وسلم- صام عام الفتح أياما كثيرة ولم ينقل عنه أنه خالف عادته التي هي تقديم التمر على الماء ولو كان لنقل ، انتهى
Maksudnya: Adapun pendapat yang menyatakan di Mekah, disunatkan didahulukan air zam-zam sebelum kurma, atau mencampurkan kurma (tamar) dengan air zam-zam adalah ditolak. Ini kerana ia menyanggahi sunnah. Diriwayatkan bahawa Nabi telah berpuasa di Mekah beberapa hari pada tahun pembukaan kota Mekah( Fathul Makkah), namun tidak pernah diriwayatkan baginda menyalahi adat kebiasaannya iaitu mendahulukan tamar sebelum air zam zam. (Tuhfah al-Ahwazi, 3/311)
Begitu juga disebutkan dalam kitab Ithaful Anam bi Ahkami asShiyam, Syeikh Ali Al-Qari berkata ;
انه خلاف الاتباع وبانه صلى الله عليه وسلم صام عام الفتح اياما كثيرة بمكة ولم ينقل انه خالف عاته التي هي تقديم التمر على الماء ولو كان لنقل
Maksudnya: Mendahulukan air Zamzam daripada kurma adalah menyalahi tuntunan Nabi SAW. Ini disebabkan kerana beberapa riwayat yang Nabi SAW pernah berbuka puasa beberapa hari selama Fathu Mekkah di Mekah, namun tidak pernah diceritakan bahawa beliau menyalahi kebiasaannya dalam berbuka, iaitu mendahulukan kurma daripada air.
Ini jelas menunjukkan walaupun air zam zam itu penuh barakah, tetapi rutob dan kurma tetap diutamakan.