Puasa yang disyariatkan adalah untuk menahan diri daripada perkara yang membatalkan puasa bermula daripada terbit fajar sadiq hingga tenggelam matahari. Puasa tidak berakhir dengan petanda azan oleh muazzin. Firman Allah SWT :
وَكُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّى يَتَبَيَّنَ لَكُمُ الْخَيْطُ الْأَبْيَضُ مِنَ الْخَيْطِ الْأَسْوَدِ مِنَ الْفَجْرِ ثُمَّ أَتِمُّوا الصِّيَامَ إِلَى اللَّيْلِ
Maksudnya : “…dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam (kegelapan malam), iaitu waktu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (maghrib).”
(Surah al-Baqarah: 187)
Permasalahan tersalah berbuka adalah menjadi satu topik khilaf dikalangan Ulama’. Dalam hal ini, Imam Nawawi menjelaskan :
وَلَوْ أَكَلَ ظَانًّا غُرُوبَ الشَّمْسِ، فَبَانَتْ طَالِعَةً، أَوْ ظَنَّ أَنَّ الْفَجْرَ لَمْ يَطْلُعْ، فَبَانَ طَالِعًا، أَفْطَرَ عَلَى الصَّحِيحِ الْمَنْصُوصِ، وَبِهِ قَطَعَ الْجُمْهُورُ.
Maksudnya : “Sekiranya, seseorang makan kerana menyangka tenggelamnya matahari, ternyata belum tenggelam atau menyangka fajar belum timbul, ternyata telah timbul, dikira batal puasanya atas nas yang sohih dan ianya diputuskan oleh jumhur Ulama’.” (Raudhah al-Talibin, 2/363).
Begitu juga hukum yang sama iaitu batal puasa bagi yang menyangka tenggelam matahari, sedangkan hakikatnya belum tenggelam. (Mughni al-Muhtaj, 2/161).
Justeru orang yang berpuasa wajib menggantikan puasa yang tersalah pada hari tersebut walaupun kesilapan itu berpunca dari Muazzin Masjid, azan radio atau sebagainya kerana puasanya pada hari itu dikira tidak sempurna sedangkan syarat sohih berpuasa ialah menahan dari sebarang perkara yang membatalkan puasa dari terbit fajar sehingga terbenamnya matahari.
Kesalahan yang berlaku boleh menggugurkan dosa, namun ianya tidak sama sekali menggugurkan qadha’.