Solat Terawih harus dilakukan secara duduk sekali pun seseorang itu sihat dan tanpa keuzuran (yakni ia mampu berdiri). Ini adalah satu rukhsah yang diberikan oleh Allah untuk hamba-hambaNya.
Adapun solat fardhu, tidak harus dilakukan sambil duduk kecuali bagi orang yang uzur (tidak mampu berdiri). Dalilnya sebagaimana diriwayatkan daripada Ibn Umar R.Anhuma :
كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُصَلِّي فِي السَّفَرِ عَلَى رَاحِلَتِهِ، حَيْثُ تَوَجَّهَتْ بِهِ يُومِئُ إِيمَاءً صَلاَةَ اللَّيْلِ، إِلَّا الفَرَائِضَ وَيُوتِرُ عَلَى رَاحِلَتِهِ
Maksudnya: “Rasulullah SAW pernah bersolat ketika musafir di atas tunggangannya. Ke mana arah pun tunggangannya itu menghadap, baginda melakukan isyarat untuk solat malam. Baginda tidak melakukan demikian dalam solat fardu. Baginda juga bersolat witir atas tunggangannya”.
(Riwayat al-Bukhari 1000)
Walau bagaimana sekalipun pahalanya tidaklah sama sebagaimana bagi sesiapa yang melakukannya dengan bediri. Diriwayatkan dari Imran bin Husain RA bahawa : Aku bertanyakan Nabi saw tentang seorang lelaki yang solat sunat dalam keadaan duduk maka Nabi SAW menjawab :
مَنْ صَلَّى قَائِمًا فَهُوَ أَفْضَلُ، وَمَنْ صَلَّى قَاعِدًا فَلَهُ نِصْفُ أَجْرِ القَائِمِ، وَمَنْ صَلَّى نَائِمًا فَلَهُ نِصْفُ أَجْرِ القَاعِدِ
Maksudnya: “Sesiapa yang solat berdiri maka ialah yang afdhal dan siapa yang solat dalam keadaan duduk maka baginya separuh pahala solat berdiri. Dan siapa yang solat berbaring maka baginya separuh pahala solat duduk”.
(Riwayat al-Bukhari 1116)