Soalan : Semasa saya membayar zakat, saya tidak mengakad lafaz zakat, adakah zakat saya diterima oleh Allah?
Jawapan :
Mengikut Mazhab Imam Syafi’e, pengeluar zakat tidak diwajibkan melafaz akan tetapi mereka wajib berniat di dalam hati. Dalam masalah ini, Imam Nawawi berpendapat sedekah sama hukumnya dengan hadiah dan ia tidak memerlukan lafaz ijab dan qabul.
Cukup sekadar penyerahan dan penerimaan barang dan pendapat ini merupakan pendapat yang sohih di dalam mazhab Imam Syafi’e serta telah dinaqalkan oleh fuqaha’ mazhab muta’akhirin. (Raudah al-Thalibin,5/365-366)
Begitu juga Prof Dr. Wahbah Zuhaili mengatakan bahawa antara syarat sah pemberian zakat ialah memadai dengan berniat bagi menunaikan kewajipannya. (al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, 3/1796).
Ketiadaan lafaz aqad dari pembayar juga tidak memberi apa-apa kesan terhadap sahnya pembayaran zakat tersebut kerana aqad di dalam pembayaran zakat adalah perkara sunat sahaja.