Bolehkah Fidyah diberikan dalam bentuk selain makanan asasi seperti memberikan bantuan makanan kepada orang yang memerlukan di musim wabak COVID berbentuk gula, kicap dan sebagainya?
Fidyah adalah kadar tertentu dari makanan asasi yang dikeluarkan sebagai satu denda ke atas seseorang Islam yang telah baligh kerana meninggalkan puasa wajib atas sebab-sebab tertentu atau pun sengaja melewatkan puasa ganti (qada) pada bulan Ramadhan.
Hukum membayar fidyah adalah diwajibkan ke atas individu yang melakukan perkara yang dikenakan fidyah. Firman Allah SWT :
فَمَن كَانَ مِنكُم مَّرِيضًا أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِّنْ أَيَّامٍ أُخَرَ ۚ وَعَلَى الَّذِينَ يُطِيقُونَهُ فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِينٍ
Maksudnya : “maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain; dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin”.
(Surah al-Baqarah : 184)
Berapakah kadar Fidyah?
Ramai yang salah faham berkenaan dengan kadar fidyah. Ada di antara kita yang menyamakan kadar fidyah dengan kadar zakat fitrah.
Kadar bayaran fidyah sebenarnya berubah mengikut harga yang ditetapkan oleh pemerintah di sesuatu tempat. Pengiraan kadar fidyah berdasarkan kadar harga beras (makanan asasi penduduk).
Menurut Mazhab Syafie dan Ahmad, kadar fidyah bagi sehari puasa yang ditinggalkan ialah satu mudd (satu cupak) iaitu lebih kurang ¼ gantang atau menyamai 650 gram beras.
Namun begitu Imam Hanafi mengharuskan secupak makanan itu dinilai dengan harga tertentu lalu dibayar kepada fakir miskin.
Di Malaysia, harga secupak beras hendaklah dinilai dengan harga beras yang biasa dimakan oleh rakyat negara ini.
Kepada siapa wajib diberikan fidyah?
Fidyah hendaklah diberikan kepada orang miskin sebagaimana yang telah dinyatakan pada ayat di atas. Satu fidyah harus diberikan kepada seorang miskin, namun jika ianya banyak, ia boleh diberi kepada seorang penerima atau dibahagikan kepada fakir miskin yang lain.
Perlu diingatkan bahawa fidyah tidak boleh dibahagikan selain makanan asasi atau wang. Contohnya fidyah tidak boleh dikeluarkan dengan membeli kain, pakaian bukan makanan asasi dan sebagainya.
Bagaimana cara membayar fidyah?
Cara membayar fidyah boleh dilakukan dengan dua keadaan.
Pertama : Memasak atau membuat makanan, kemudian memanggil orang-orang miskin sejumlah hari yang dia tidak berpuasa. Dalilnya kita boleh lihat seperti yang dibuat oleh sahabat nabi iaitu Anas bin Malik ketika beliau tua. Dikatakan Anas bin Malik ketika beliau lemah dan tidak mampu untuk berpuasa pada satu tahun, maka beliau membuatkan satu piring besar dari tsarid (roti). Kemudian beliau memanggil tiga puluh orang miskin, dan menyantuni mereka makan sehingga kenyang. (Riwayat alBaihaqi).
Kedua : Memberikan orang miskin berupa makanan yang belum dimasak. Hal ini adalah sepertimana yang kebiasaan yang telah kita amalkan di Malaysia.
Kesimpulan
Fidyah hanya boleh dikeluarkan dalam bentuk makanan asasi atau wang. Kepada NGO yang membantu menghulurkan bantuan, anda perlu membezakan wang yang diterima dan hendaklah jelas bagi membezakan sama ada ianya wang fidyah, zakat atau sedekah. Bagi wang sedekah kita boleh memberikan bantuan mengikut apa keperluan mangsa seperti pampers, susu, gula dan sebagainya. Akan tetapi kalau penyumbang itu hendak mengeluarkan dengan niat zakat atau fidyah, ianya harus diberikan hanya dalam bentuk wang atau makanan asasi sahaja.
Keduanya, kepada penyumbang yang hendak mengeluarkan zakat atau fidyah, adalah lebih baik anda berikan kepada badan yang berautoriti, contohnya kalau di Kelantan adalah di MAIK.
Wallahua’lam