More
    HomeAkhlakJangan Memarahi Anak Yang Datang Ke Masjid

    Jangan Memarahi Anak Yang Datang Ke Masjid

    Ikuti kami untuk info terkini

    Jangan memarahi anak-anak yang datang ke masjid. Tegurilah mereka dengan penuh hikmat dan sabar!!!

    Anak adalah anugerah dan juga amanah. Lebih dari itu, anak adalah pelaburan dunia akhirat ibu bapa. Rasulullah SAW telah mengkhabarkan tiga jenis sedekah jariyah (sedekah yang terus mengalir). Salah satunya adalah anak yang soleh.

    Sudah tentu menjadi impian dan harapan setiap ibu bapa agar dapat mendidik anak-anak menjadi generasi yang soleh dan solehah. Kini, detik Ramadhan kali ini boleh dijadikan peluang untuk mendidik anak-anak menjadi anak yang soleh. Salah satu caranya ialah membiasakan mereka datang ke masjid untuk belajar solat dan belajar membaca Al-Quran.

    Namun, adalah sesuatu yang amat malang sekiranya ketika ini masih ramai jemaah atau pentadbir masjid yang tidak sabar menangani anak-anak. Mereka khuatir tabiat kanak-kanak yang bising itu mengganggu kekhusyukan mereka yang beribadat di masjid, maka kita akan dapati mereka memarahi serta menghalau kanak kanak ini keluar dari masjid.

    Dr. Yusuf al-Qaradhawi berkata : Institusi masjid juga boleh mengajar kita erti persamaan. Persamaan manakah yang lebih terserlah berbanding persamaan kaum Muslimin di dalam masjid? Orang tua duduk di samping anak-anak kecil, orang kaya di samping orang yang miskin, menteri di samping buruh, pemimpin di sebelah rakyat dan ternyata kesemuanya tidak ada perbezaan di antara mereka. (Masjid Parlimen Umat (Hlm. 30).

    Sebenarnya Islam melarang memarahi kanak-kanak di masjid. Terdapat banyak kesan buruk yang akan dialami oleh kanak-kanak apabila orang dewasa melakukan perkara ini. Bukan sahaja semasa kecil, malah kesannya akan dirasai sehingga mereka dewasa.

    Kalau kita tengok di zaman Rasululllah, anak anak kecil memang sering dibawa ke Masjid sebagai satu tarbiyah awal.

    Diriwayatkan daripada Anas bin Malik RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda :

    إِنِّي لَأَدْخُلُ الصَّلَاةَ أُرِيدُ إِطَالَتَهَا فَأَسْمَعُ بُكَاءَ الصَّبِيِّ فَأُخَفِّفُ

    Maksudnya : “Sesungguhnya aku masuk ke dalam solat dan aku hendak memanjangkannya. Kemudian aku mendengar suara tangisan kanak-kanak maka aku ringkaskan (solat)”.

    Riwayat al-Bukhari (666) & Muslim (723)

    Syeikh Abdullah Nasih Ulwan di dalam kitabnya yang masyhur Tarbiyah al-Aulad telah menyebutkan tiga institusi penting untuk kanak-kanak iaitu :

    1. Rumah: Iaitu tempat pembangunan fizikal, adab dan akhlak bagi kanak-kanak.
    2. Masjid: Selaku tempat pembangunan kerohanian bagi kanak-kanak.
    3. Sekolah: Yang merupakan tempat pembangunan akal fikiran, adab serta pemikiran kanak-kanak.

    Sebagai jemaah biasa di masjid, kadangkala kita tidak mampu untuk berhikmah. Malah, sikap bijak adalah lambang kematangan serta teladan Nabi Muhammad.

    Kita yang sering memarahi anak-anak di masjid ketika sibuk, mungkin terlupa apa yang telah dicontohkan oleh Nabi Muhammad SAW. Beliau pernah turun dari mimbar untuk mendekati cucunya yang sedang berlari di kawasan masjid kemudian menggendongnya dan kembali menyambung khutbah.

    Dalam satu hadis lain pula diceritakan bahawa ketika Nabi sujud dalam solat, Hasan dan Husain bermain di belakang Nabi. Maka ada sahabat yang ingin menghalang Hasan dan Husin, maka Nabi memberi isyarat untuk membiarkannya. Setelah selesai solat, Rasulullah mengangkat kedua cucunya di pangkuannya (Riwayat Ibnu Khuzaimah).

    Kemarahan kita semakin memuncak apabila kita melihat celoteh anak-anak dan gelak tawa kecil mereka seolah-olah menjadi punca terlerainya untuk memperolehi kekhusyukkan di dalam solat. Akibatnya, kita segera menyalahkan anak-anak dan cuba memarahi bahkan ada yang ambil peluang untuk memukul mereka sama ada dengan memulas telinga dan sebagainya. Mungkin kita lupa bahawa kemarahan yang kita lepaskan mempunyai peluang yang sangat tinggi untuk mengeluarkan anak-anak dari masjid.

    Ingatlah pada suatu hari kelak, ketika kita sudah meninggal, siapa yang akan menggantikan kita solat berjemaah di masjid andai jika bukan generasi anak-anak ini? Mereka akhirnya akan membesar dan menggantikan kita, namun apa jadinya jika suatu hari nanti mereka berat hati untuk ke masjid kerana trauma kemarahan yang biasa kita lemparkan tanpa sedikit pun niat untuk memberi nasihat.

    Menjadi saranan buat ibu bapa, hendaklah mereka memainkan peranan penting dengan memerhatikan tingkah laku anak-anak mereka di dalam masjid, mendidik dan mengingatkan anak-anak mereka akan tingginya kehormatan dan kedudukan masjid di dalam Islam, serta memahamkan anak-anak mereka akan fungsi atau peranan masjid itu sebagaimana yang telah difirmankan oleh Allah di dalam al-Quran:

    فِي بُيُوتٍ أَذِنَ ٱللَّهُ أَن تُرۡفَعَ وَيُذۡكَرَ فِيهَا ٱسۡمُهُۥ يُسَبِّحُ لَهُۥ فِيهَا بِٱلۡغُدُوِّ وَٱلۡأٓصَالِ

    Maksudnya : “Pada rumah-rumah (masjid-masjid) yang Allah telah mengizinkan supaya diangkat dan disebutkan nama-Nya di dalamnya. Di situ juga tempat Allah SWT disucikan pada waktu pagi dan petang”

    (Surah al-Nur : 36)

    Pihak masjid pula harus mengawasi kanak-kanak dengan tatasusila dan akhlak yang baik seperti tidak menengking, tidak memarahi, mengasari serta tidak memukul kanak-kanak. Sebaliknya pamerkanlah akhlak yang baik serta tunjuk ajar supaya terjalin binaan kasih sayang di antara ibu bapa, pihak masjid serta kanak-kanak itu sendiri. In sha Allah, pada suatu hari nanti merekalah peganti generasi kita untuk memakmurkan masjid.

    Ustaz Nik Nizam Nasir

    LEAVE A REPLY

    Please enter your comment!
    Please enter your name here

    TRENDING