More
    HomeHadisHukum Berkaitan Melihat Nabi Secara Yaqazah

    Hukum Berkaitan Melihat Nabi Secara Yaqazah

    Ikuti kami untuk info terkini

    Istilah yaqazah merujuk kepada perbuatan seseorang yang melihat Nabi SAW dalam keadaan jaga. Asal perbahasan yaqazah ini bermula dari satu hadis :

    قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : من رآني في المنام فسيراني في اليقظة

    “Sesiapa yang melihat daku dalam mimpi maka dia akan melihat daku dalam keadaan jaga”.

    Para ulama bersepakat bahawa harus melihat Nabi SAW dalam mimpi. Maka jika ada insan mendakwa bahawa beliau bermimpi bertemu atau melihat baginda SAW, kita yakin ia harus berlaku. Cuma dakwaan insan tersebut mungkin benar dan mungkin sekadar pembohongan sahaja.

    Dalam isu melihat Nabi SAW secara jaga atau bukan dalam mimpi, nampaknya ada perbezaan pendapat dalam kalangan ijtihad para ulama. Ada pendapat ulama yang mengharuskan dan ada pendapat ulama yang menolak.

    Ulama ada membahas bahawa adanya kemungkinan melihat Baginda SAW dalam keadaan jaga.

    Bagi Ulama yang menafikan yaqazah mereka menganggap bahawa hadis di atas sebenarnya mungkin merupakan bentuk khabar gembira bagi seseorang yang melihat Baginda SAW dalam mimpi, maka ia akan melihatnya di syurga dan bukan bererti dia akan melihat Baginda dalam keadaan jaga di dunia.

    قال الحافظ ابن حجر رحمه الله : وشذ بعض الصالحين فزعم أنها تقع – يعني الرؤية – بعيني الرأس حقيقة . “

    فتح الباري ” ( 12 / 384 ) .

    “Al Hafiz Ibnu Hajar Rahimahullah berkata : ‘Sebahagian orang-orang soleh, melakukan kesalahan dengan menganggap bahawa melihat Rasulullah SAW dengan mata kepala itu pernah terjadi'”.

    (Fathul Baari: 12/384)

    وقال النووي رحمه الله في معنى قول النبي صلى الله عليه وسلم : (فسيراني في اليقظة) : فيه أقوال
    أحدها : أن يراد به أهل عصره ، ومعناه : أن من رآه في النوم ولم يكن هاجر يوفقه الله للهجرة ورؤيته صلى الله عليه وسلم في اليقظة عياناً .
    وثانيها : أنه يرى تصديق تلك الرؤيا في اليقظة في الدار الآخرة ؛ لأنه يراه في الآخرة جميع أمته .
    وثالثها : أنه يراه في الآخرة رؤية خاصة في القرب منه وحصول شفاعته ، ونحو ذلك . “

    ( شرح مسلم ” ( 15 / 26

    Imam Nawawi Rahimahullah pula berkata berkaitan dengan makna hadis Nabi SAW –> .”Maka ia akan melihatku dalam keadaan jaga”, ada bebarapa pendapat antaranya :

    1. Yang dimaksudkan itu adalah generasi pada zaman Baginda SAW, ertinya; bahawa barang siapa yang melihat beliau dalam mimpi dan belum berhijrah, maka Allah akan memberi taufiq kepadanya untuk yang boleh berhijrah dan melihat Rasulullah SAW dengan sedar dan dengan mata kepala.
    2. Yang dimaksudkan dengan melihat Baginda SAW dalam keadaan jaga sebenarnya adalah di akhirat; kerana semua umatnya akan melihat beliau di akhirat nanti.
    3. Yang dimaksud adalah nanti di akhirat dengan penglihatan secara khusus kerana dekat dengan beliau dan mendapatkan syafa’at beliau.

    (Syarh Muslim: 15/26)

    Apa yang disebutkan Imam Nawawi pada pendapat pertama tidak bertentangan dengan pendapat oleh Ibnu Hajar; kerana Imam Nawawi menyebutkan bahawa yang dimaksud adalah mereka yang berada pada masa hidup Baginda SAW, dan pendapat al Hafiz Ibnu Hajar adalah mereka yang mendakwa melihat Rasul dengan sedar setelah Baginda wafat.

    Abul Abbas al Qurthubi berkata sebagai bentuk penolakan beliau bagi sesiapa saja yang mengaku melihat/bermimpi beliau SAW dengan jaga:

    وقال أبو العباس القرطبي – ردّاً على من قال برؤيته صلى الله عليه وسلم يقظة
    وهذا يدرك فساده بأوائل العقول ، ويلزم عليه أن لا يراه أحد إلا على صورته التي مات عليها ، وأن يراه رائيان في آن واحد في مكانين ، وأن يحيا الآن ويخرج من قبره ويمشي في الأسواق ويخاطب الناس ويخاطبوه ، ويلزم من ذلك أن يخلو قبره من جسده ولا يبقى في قبره منه شيء ، فيزار مجرد القبر ويسلم على غائب ؛ لأنه جائز أن يرى في الليل والنهار مع اتصال الأوقات على حقيقته في غير قبره .

    نقله عنه الحافظ ابن حجر في ” فتح الباري ” ( 12 / 384)

    “Ini sungguh sangat rumit yang boleh diterima oleh akal yang sihat. Kalau pun ianya benar terjadi, maka seharusnya yang mereka lihat adalah bentuk yang sama dengan Rasulullah SAW ketika meninggal dunia. Atau juga tidak mungkin ada dua orang yang melihat/bermimpi pada waktu yang bersamaan, atau ada orang yang menganggap bahawa beliau sekarang masih hidup, yang boleh keluar dari kubur, berjalan di pasar menyapa manusia dan mereka yang boleh menyapa Baginda.
    Jika hal itu benar benar terjadi maknanya jasad Baginda SAW tidak ada di kuburnya, maka bagaimana mungkin peziarah yang memberi salam di hadapan maqam baginda yang tidak ada isinya !?; ”.

    (Dinukil oleh al Hafiz Ibnu Hajar dalam ‘Fathul Baari’: 12/384)

    Kemudian andai kata jika semuanya itu terjadi, maka seseorang yang bermimpi melihat beliau dengan JAGA (jasad dan ruhnya) bererti ia akan termasuk golongan para sahabat Rasul, dan ini bermakna gelaran sahabat juga akan berlanjutan hingga sampai hari kiamat !?

    وقد ذكر الحافظ ابن حجر العسقلاني أن ابن أبى جمرة نقل عن جماعة من المتصوفة ” أنهم رأوا النبي صلى الله عليه وسلم في المنام ثم رأوه بعد ذلك في اليقظة وسألوه عن أشياء كانوا منها متخوفين فأرشدهم إلى طريق تفريجها فجاء الأمر كذلك ” ! ثم تعقب الحافظ ذلك بقوله :
    ” وهذا مشكل جدّاً ، ولو حمل على ظاهره : لكان هؤلاء صحابة ، ولأمكن بقاء الصحبة إلى يوم القيامة ، ويعكِّر عليه أن جمعاً جمّاً رأوه في المنام ثم لم يذكر واحد منهم أنه رآه في اليقظة ، وخبر الصادق لا يتخلف .

    ( فتح الباري ( 12 / 385

    Al Hafiz Ibnu Hajar al ‘Asqalani menyebutkan bahawa Ibnu Abi Jamrah menukil dari kalangan Sufi: “Bahawa mereka bermimpi bertemu Rasulullah SAW, kemudian mereka melihat beliau setelah bangun tidur dan dalam keadaan jaga, dan mereka bertanya tentang sesuatu yang sebelumnya mereka merasa takut karena masalahnya belum jelas, maka beliau memberi petunjuk dan jalan keluar dari setiap masalah tersebut”. Lalu al Hafiz berkata : “Kalau ini terjadi, maka permasalahannya menjadi sangat rumit, kalau dibawa ke makna zahir, bererti mereka adalah sahabat Baginda SAW; gelaran sahabat Rasul akan berlanjut sampai pada hari kiamat !?, ini juga sangat susah untuk diterima, begitu juga ketika sekumpulan orang yang melihat baginda SAW dalam mimpinya, lalu salah seorang dari mereka mengaku tidak melihat beliau dalam keadaan sedar. Berita seseorang yang jujur tidak boleh diabaikan.

    (Fathul Baari: 12/385)

    Mengenai hujah al-Imam as-Sayuti rhm, katanya, untuk menguatkan pendapat seorang yang hampir dengan Allah dapat bertemu Nabi SAW dalam keadaan jaga, mereka menyebut-nyebut sebuah buku karangan Imam al-Sayuti yang membenarkan hal itu. Pendapat ini dapat ditolak dengan dua perkara :

    Berkenaan buku yang dikatakan sebagai karya al-Sayuti itu perlu diteliti kembali keasliannya. Apakah ia benar-benar tulisan al-Sayuti ataupun bukan? Sebab reputasi ilmiah serta kredibiliti al-Sayuti yang begitu tinggi, khususnya di kalangan mazhab syafi’i, telah disalahgunakan oleh sebahagian orang dengan menulis buku dan menyandarkan kepada al-Sayuti, padahal beliau tidak pernah melakukan hal itu. Tambahan pula dalam kitab-kitab al-Sayuti yang lain, yang diyakini keasliannya sebagai tulisan beliau.

    Apabila dakwaan bertemu dengan Rasulullah SAW dalam keadaan jaga itu dibenarkan, maka suatu saat akan ada lagi orang yang mengaku bertemu dengan nabi SAW dalam keadaan jaga, dan Nabi SAW memberinya wirid-wirid tertentu agar diamalkan dan disebarkan kepada orang lain. Kalau ini terjadi, maka akan kacaulah agama Islam. Bila-bila ada sahaja orang yang mengaku demikian.

    Kesimpulannya :

    Perlu diingatkan bahawa dalam satu hadis soheh riwayat syaikhain Rasulullah SAW bersabda:

    عن أبي هريرة عن النبي صلى الله عليه وسلم قال : ومن رآني في المنام فقد رآني فإن الشيطان لا يتمثل في صورتي ومن كذب علي متعمدا فليتبوأ مقعده من النار

    “Barang siapa yang melihatku dalam tidur maka dia telah melihatku, sesungguhnya Syaitan tidak boleh menyerupaiku dan barangsiapa yang berdusta atasku (yakni atas namaku) dengan sengaja, maka hendaklah ia mengambil tempat duduknya (yakni tempat tinggalnya) di neraka”.

    (Hadits soheh dikeluarkan oleh Imam Bukhari (1/36) dan Muslim (1/8) dll)

    Dalam isu melihat Nabi SAW secara jaga atau bukan dalam mimpi, nampaknya ada perbezaan pendapat dalam kalangan ijtihad para ulama. Ada pendapat ulama yang mengharuskan dan ada pendapat ulama yang menolak.

    Hadis bahawa seseorang akan melihat Nabi SAW secara yaqazah mempunyai beberapa tafsiran. Bagi golongan ulama yang menerima yaqazah, mereka berhujah dengan zahir hadis ini.

    Manakala, bagi golongan ulama yang menolak yaqazah, mereka berhujah bahawa maksud hadis ini adalah untuk insan yang hidup pada zaman Nabi SAW.

    Ada juga yang berhujah bahawa yaqazah ini berlaku di akhirat nanti.

    Dalam hal ini, kita berlapang dada menerima perbezaan pendapat. Cuma kita tidak dapat memastikan kesahihan dakwaan seseorang bermimpi berjumpa dengan Nabi SAW atau melihat secara jaga. Mungkin juga diperlihatkan oleh Allah SWT kepada seseorang.

    Kita tidak perlu menuduh orang sebagai sesat hanya kerana menerima yaqazah atau menolak yaqazah. Yaqazah tidak membuktikan apa-apa kehebatan bagi seseorang. Al-Quran tidak memberi fokus kepada yaqazah.

    Begitu juga riwayat hadis tidak memberi fokus kepada yaqazah. Jika kita yakin kita mendapat yaqazah, simpanlah ia sebagai satu kenangan dan pembakar semangat untuk terus berjuang dan berdakwah, bukan menjual cerita kita.

    Ustaz Nik Nizam Nasir

    LEAVE A REPLY

    Please enter your comment!
    Please enter your name here

    TRENDING