Musim sekarang ni orang sibuk membincangkan hukum pasal berdebat. Persoalanannya apakah hukum debat di dalam agama Islam? Bolehkah nak debat ni?
Perdebatan ada kalanya diharuskan dan ada kalanya patut dihindari.
Imam Syafi’i pernah berkata:
مَا نَاظَرْتُ أَحَدًا إِلا عَلَى النَّصِيحَةِ
“Tidaklah aku berdebat dengan seseorang melainkan dalam rangka memberi nasihat”.
Perdebatan antara orang-orang yang soleh dalam sesuatu masalah adalah diharuskan, contohnya seperti Nabi Adam yang berdialog/atau berdebat dengan Nabi Musa.
Diriwayatkan dalam satu hadis :
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ ، عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : احْتَجَّ آدَمُ وَمُوسَى عليهما السَّلَامُ عِنْدَ رَبِّهِمَا، فَحَجَّ آدَمُ مُوسَى، قالَ مُوسَى: أَنْتَ آدَمُ الذي خَلَقَكَ اللَّهُ بِيَدِهِ وَنَفَخَ فِيكَ مِن رُوحِهِ، وَأَسْجَدَ لكَ مَلَائِكَتَهُ، وَأَسْكَنَكَ في جَنَّتِهِ، ثُمَّ أَهْبَطْتَ النَّاسَ بِخَطِيئَتِكَ إلى الأرْضِ، فَقالَ آدَمُ: أَنْتَ مُوسَى الذي اصْطَفَاكَ اللَّهُ بِرِسَالَتِهِ وَبِكَلَامِهِ وَأَعْطَاكَ الألْوَاحَ فِيهَا تِبْيَانُ كُلِّ شيءٍ وَقَرَّبَكَ نَجِيًّا، فَبِكَمْ وَجَدْتَ اللَّهَ كَتَبَ التَّوْرَاةَ قَبْلَ أَنْ أُخْلَقَ، قالَ مُوسَى: بِأَرْبَعِينَ عَامًا، قالَ آدَمُ: فَهلْ وَجَدْتَ فِيهَا وَعَصَى آدَمُ رَبَّهُ فَغَوَى، قالَ: نَعَمْ، قالَ: أَفَتَلُومُنِي علَى أَنْ عَمِلْتُ عَمَلًا كَتَبَهُ اللَّهُ عَلَيَّ أَنْ أَعْمَلَهُ قَبْلَ أَنْ يَخْلُقَنِي بِأَرْبَعِينَ سَنَةً؟ قالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عليه وَسَلَّمَ: فَحَجَّ آدَمُ مُوسَى.
Imam Bukhari dan Imam Muslim meriwayatkan dalam kitab Sahih masing-masing bahawa Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda; “Nabi Adam dan Nabi Musa berdebat di sisi Tuhan mereka dan Nabi Adam mengalahkan hujah Nabi Musa. Dalam perdebatan itu, Musa berkata; ‘Kamu adalah Adam yang diciptakan oleh Allah dengan tanganNya. Dia meniupkan rohNya padamu, dia memerintahkan malaikat sujud kepadamu, dan Dia mengizinkan kamu tinggal di syurgaNya. Kemudian, oleh kerana kesalahan kamu, kamu menyebabkan manusia diturunkan ke bumi.’
Nabi Adam menjawab; ‘Kamu adalah Musa yang dipilih oleh Allah dengan risalah dan kalamNya. Dia memberi kamu lauh [kepingan kayu atau batu] yang mengandungi penjelasan tentang setiap perkara. Dia telah mendekatkan kamu kepadaNya sewaktu kamu bermunajat kepadaNya. Berapa lama kamu mendapatkan Allah telah menulis Taurat sebelum aku diciptakan? ‘ Musa menjawab, ‘Empat puluh tahun.’
Adam bertanya, ‘Adakah di sana tertulis, وَعَصٰٓى اٰدَمُ رَبَّهٗ فَغَوٰى ۖ
Maksudnya: Dan derhakalah Adam kepada Allah dan sesatlah dia.’ (Surah Thaha; ayat 121)? ‘Musa menjawab, ‘ Ya. ‘ Adam berkata; ‘Adakah kamu menyalahkan hanya kerana aku melakukan sesuatu yang telah ditulis oleh Allah atas ku empat puluh tahun sebelum Dia menciptakan daku?’ Rasulullah SAW bersabda; “Adam mematahkan hujah Musa.” Ini adalah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim.
Manakala dalam riwayat Imam Bukhari dinyatakan bahawa,
“Nabi Adam dan Nabi Musa saling beradu hujah. Nabi Musa berkata kepada Nabi Adam; ‘Kamu Adam yang dikeluarkan dari syurga kerana kesalahan kamu.’ Nabi Adam menjawab; ‘Kamu Musa yang telah dipilih oleh Allah dengan risalah dan kalamNya, kemudian kamu menyalahkan hanya kerana aku melakukan sesuatu yang telah ditakdirkan atas ku sebelum aku diciptakan.’ Rasulullah SAW bersabda; “‘Dengan itu, Adam mengalahkan hujah Nabi Musa.’ ” Rasulullah SAW mengulangi ayat ini sebanyak dua kali.
Kesimpulannya:
Dalam berdebat ni yang paling penting kita jaga adab dan etikanya. Antaranya :
- Ketika berdebat, diwajibkan atas peserta untuk tunduk kepada kebenaran, jika sudah jelas dalam sesuatu masalah yang samar, seperti Nabi Musa yang akur pada hujah Nabi Adam.
- Pelaku dialog sebaiknya mengenal pasti kelebihan lawan dialognya. Contohnya Nabi Adam dan Nabi Musa masing-masing menyebutkan keunggulan lawannya dan kelebihan yang diberikan oleh Allah kepadanya.
Kalau nak kira tu banyak lagi adab dan etikanya. Tapi kita kira bersambunglah..