Pagi tadi saya menerima satu soalan berkenaan puasa 10 muharram.
Soalan : Assalamualaikum tuan, maaf menganggu di pagi hari. Saya nak tanya satu soalan berkenaan dengan puasa, soalannya bolehkah saya nak berpuasa 10 Muharram tanpa saya berpuasa tasua? Terima kasih tuan.
Jawapan :
Pertamanya terima kasih kepada yang sudi bertanya.
Hukum puasa 9 Muharram atau kita kenali sebagai Tasu’a itu hanya sunat sahaja. Dalilnya sebagaimana diriwayatkan daripada Ibn Abbas R.Anhuma bahawa Nabi SAW bersabda :
صُومُوا يَوْمَ عَاشُورَاءَ، وَخَالِفُوا فِيهِ الْيَهُودَ، صُومُوا قَبْلَهُ يَوْمًا، أَوْ بَعْدَهُ يَوْمًا
Maksudnya: Berpuasalah kalian pada hari ‘Asyura dan berbezalah dengan golongan Yahudi. Berpuasalah sehari sebelumnya ataupun sehari selepasnya.
Riwayat Ahmad
Dalam hal ini Ibnu Hajar Al-Haitami mengatakan: “Tidak menjadi satu masaalah bagi orang yang hendak melaksanakan Puasa Asyura, tanpa diiringi puasa sebelum atau selepasnya.” (Tuhfatul Muhtaj, 14/80).
Dalam hadis yang lain ada diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda :
فَإِذَا كَانَ الْعَامُ الْمُقْبِلُ – إِنْ شَاءَ اللَّهُ – صُمْنَا الْيَوْمَ التَّاسِعَ
Maksudnya: Apabila datangnya tahun hadapan Insha Allah kita akan berpuasa pada hari yang ke sembilan.
Riwayat Muslim
Hadis ini menunjukkan galakkan sunat kita mukhalafah/menyalahi kaum yahudi yang mana Nabi SAW menyuruh kita berpuasa sehari lagi sebelum atas selepas puasa asyura.
Kesimpulan
Ulama membahaskan bahawa berpuasa hari asyura (10 Muharram) ini ada 3 cara.
Pertama : Hanya berpuasa sehari di hari Asyura iaitu pada 10 Muharram.
Kedua : Berpuasa sehari sebelum atau selepasnya. Maknanya sama ada berpuasa hari ke-9 dan ke-10 atau hari ke-10 dan ke-11.
Ketiga : Berpuasa kesemuanya iaitu pada 9, 10 dan 11 Muharram.
Akhir sekali marilah sama sama kita berusaha mencapai keredhaannya, agar dengan usaha inilah Allah dapat mengampunkan dosa dosa kita yang tinggi menggunung.