Akhir-akhir ini banyak kes bunuh diri terjadi di negeri kita. Walau bagaimana pun kita jangan cepat menghukum kepada setiap kes bunuh diri tanpa memahami situasi sebenarnya.
Ada yang sengaja bunuh diri kerana kemurungan, penyakit mental dan sebagainya.
Di dalam satu hadis, Rasulullah SAW bersabda, maksudnya:
“Sesiapa yang membunuh dirinya dengan benda tajam, maka benda tajam itu akan dipegangnya untuk menikam perutnya di neraka Jahanam. Hal itu akan berlangsung selama-lamanya. Sesiapa yang meminum racun sehingga mati, maka ia akan meminumnya di dalam neraka Jahanam selama-lamanya. Sesiapa yang menjatuhkan diri dari gunung semata-mata untuk membunuh diri, maka ia akan menjatuhkan dirinya ke dalam neraka Jahanam selama-lamanya.”
Huraian Hadith:
- Suatu topik yang sedang hangat terjadi dalam masyarakat hari ini ialah kejadian BUNUH DIRI. Dilaporkan bahawa puncanya adalah disebabkan kurangnya tahap didikan dan beratnya beban yang ditanggung oleh si pelaku.
- Di dalam Islam perbuatan membunuh diri adalah termasuk dalam dosa besar dan dilarang keras. Hal ini kerana manusia adalah makhluk yang dimuliakan oleh Allah dan diutamakan melebihi makhluk-makhluk ciptaan-Nya yang lain.
- Orang yang membunuh diri adalah orang yang lari dari tanggungjawab kemanusiaannya. Lebih parah daripada itu perbuatan tersebut menunjukkan kurangnya kepercayaan seseorang itu terhadap takdir Allah SWT sedangkan Islam mengajarkan umatnya tentang kepentingan sabar dan tawakkal serta melarang daripada sifat berputus asa dan sebagainya.
- Orang yang beriman tidak boleh membunuh dirinya sendiri dengan sebarang alasan kerana Allah SWT pernah berfirman yang maksudnya:
“Dan janganlah kamu membunuh dirimu; sesungguhnya Allah adalah Maha Penyayang kepadamu.”
(Surah an-Nisaa: 29)
HUKUM BUNUH DIRI? ADAKAH TERKELUAR DARI AGAMA ISLAM?
Daripada Thabit bin Dhohak R.A. (ثابت بن الضحاك), sabda Nabi SAW :
مَنْ قَتَلَ نَفْسَهُ بِشَيْءٍ فِيْ الدُّنْيَا عُذِّبَ بِهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ
“Sesiapa yang membunuh dirinya dengan sesuatu benda di dunia, dia akan diazabkan dengan benda tersebut di hari kiamat.”
(HR al-Bukhari dan Muslim)
- Adakah wajib sembahyang di atas mayat yang membunuh diri? Jawapan : Wajib.
- Apa hukum seseorang Islam membunuh diri? Jawapan : Hukumnya fasik
- Wajibkah kita mandikan, kafankan dan sembahyangkan serta ditanam secara Islam? Jawapan : Ya, wajib
- Bolehkah @ tidak ia ditanam di perkuburan orang-orang Islam? Jawapan : Ditanam di perkuburan orang-orang Islam
Kita tidak menghukumkan orang yang bunuh diri sebagai murtad, kerana Nabi SAW tidak melarang para sahabat dari menyembahyangkan jenazah orang yang membunuh diri. Namun baginda sendiri tidak menyembahyangkan jenazah orang tersebut sebagai pengajaran bagi orang lain. Maka menjadi sunnah kepada para ulama dan orang yang dipandang mulia, tidak menyembahyangkan jenazah orang yang mati membunuh diri sebagai mengikut perbuatan Nabi SAW dan sebagai pengajaran kepada orang lain.
Daripada Jabir bin Samurah (جابر بن سمرة) R.A. katanya:
أُتِيَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِرَجُلٍ قَتَلَ نَفْسَهُ بِمَشَاقِصَ فَلَمْ يُصَلِّ عَلَيْهِ
“Didatangkan kepada Nabi SAW jenazah seorang lelaki yang membunuh diri dengan anak panah, lalu baginda tidak menyembahyangkan untuknya.”
(Riwayat Muslim)
Al-Imam al-Nawawi di dalam Syarah Sahih Muslim ketika mensyarahkan hadith ini menyebut:
“Hadith ini menjadi dalil bagi ulama yang berpendapat tidak disembahyangkan jenazah orang yang membunuh diri disebabkan maksiat yang dia lakukan, inilah mazhab ‘Umar ibn ‘Abdul ‘Aziz dan al-Auza’ie. Manakal al-Hasan, al-Nakha’ie, Qatadah, Malik, Abu Hanifah, al-Syafi’ie dan kebanyakan ulama berpendapat: Disembahyangkan ke atas jenazah orang yang membunuh diri. (Jumhur) kebanyakan ulama ini menjawab tentang hadith ini yang baginda tidak menyembahyangkannya sebagai melarang manusia dari melakukan perbuatan yang sama (membunuh diri), namun jenazah itu disembahyangkan oleh para sahabat…”
Adapun mengenai teks hadith yang menyatakan orang yang membunuh diri itu kekal selama-lamanya di dalam neraka, para ulama menyatakan, ia ditujukan kepada orang yang menghalalkan perbuatan membunuh diri tersebut, atau maksudnya boleh difahami dengan memanjangkan tempoh azab ke atasnya di dalam neraka.