Untuk makluman semua, sebenarnya dah banyak fatwa mufti-mufti di Malaysia yang membahaskan mengenai solat Hadiah atau Teman.
Kalau kita perhatikan Fatwa Mufti Wilayah, beliau berpendapat bahawa solat hadiah ini merupakan sejenis solat yang tidak jelas akan kesabitannya berdasarkan nas-nas syarak. Ini kerana, asal sesuatu ibadah itu adalah tawaqquf.
الأَصْلُ فِي العِبَادَةِ التَّوَقُّف
“Asal bagi ibadah adalah terhenti (iaitu terhenti kepada al-Qur’an dan al-Sunnah sahaja).”
Bagi yang mengharuskan solat ini pula, mereka mengambil hujah dari kitab Nihayah az Zain karangan Syeikh Nawawi al Bantan. Di dalam kitab tersebut dinyatakan :
وَمِنْه صَلَاة رَكْعَتَيْنِ للأنس فِي الْقَبْر رُوِيَ عَن النَّبِي صلى الله عَلَيْهِ وَسلم أَنه قَالَ لَا يَأْتِي على الْمَيِّت أَشد من اللَّيْلَة الأولى فارحموا بِالصَّدَقَةِ من يَمُوت فَمن لم يجد فَليصل رَكْعَتَيْنِ يقْرَأ فيهمَا أَي فِي كل رَكْعَة مِنْهُمَا فَاتِحَة الْكتاب مرّة وَآيَة الْكُرْسِيّ مرّة و التكاثر مرّة والْإِخْلَاص عشر مَرَّات وَيَقُول بعد السَّلَام …..
“Di antaranya (solat sunat) iaitu solat dua rakaat untuk manusia yang telah meninggal dunia. Diriwayatkan daripada Nabi SAW bahawa Baginda SAW pernah bersabda: “Pada malam pertama mayat itu dikebumikan maka keadaan mayat akan berada di dalam keluh-kesah. Oleh itu, kasihanilah kamu dengan mengurangkan keluh-kesah mayat itu dengan bersedekah. Jika tidak mampu bersedekah, maka solatlah dua rakaat dan bacalah pada setiap rakaat satu kali surah al-Fatihah, satu kali surah al-Takathur, satu kali ayat kursi dan 10 kali surah al-Ikhlas lalu hendaklah dia berdoa sesudah memberi salam dengan berdoa : “Wahai tuhanku, aku solat akan ini solat dan Engkau tahu barang yang aku kehendak. Wahai Tuhanku bangkitkan pahalanya kepada kubur sianu anak sianu.”
Sebenarnya kalau dinilai berkenaan hadis tersebut, ia dibawa ke dalam kitab tanpa membawa sanad hadis. Hadis ini dikatakan tidak diketahui akan asalnya dan sebahagian ulama menilainya sebagai palsu. Namun begitu, di sisi jumhur ulama terdapat amalan lain yang diizinkan oleh syarak bagi tujuan yang sama iaitu dengan menghadiahkan pahala solat-solat sunat yang disyariatkan seperti solat sunat Dhuha, solat sunat Rawatib, solat sunat Witir dan sebagainya kepada orang yang telah meninggal dunia. (Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, 3/426).
Hal ini juga kita boleh dapati dalam fatwa dari Negeri Pulau Pinang yang mengatakan : Jawatankuasa berpendapat tidak ada satu sembahyang yang dinamakan sembahyang hadiah kepada mayat, apa yang difahamkan daripada hadith ialah sembahyang sunat mutlak seperti mana yang terdapat di dalam Kitab Nihayatuz-Zain (m/s 107) (rujuk melalui e-fatwa.gov.my).
Begitu juga bila ditanya soalan yang sama kepada Mufti Johor berkenaan solat ini beliau mengatakan : Tidak sah solatnya kerana tidak ada terdapat hadis berkenaannya Hadis daripada Nabi SAW dan kerana sembahyang itu ibadah badaniyyah dan tidak mungkin mengatakan boleh memperbuatnya ganti orang lain melainkan dengan ada dalil, padahal tidak ada dalil yang mengharuskan berbuat demikian.
Kesimpulannya :
Kalau dirujuk di dalam kitab muktabar dan hadis-hadis, solat sunat hadiah ini tidak dijumpai perbahasan kitab mereka. Justeru, hadis tersebut tidak boleh dijadikan dalil bagi solat sunat hadiah ini kerana setiap ibadah perlu terbina dengan dalil. Sama-samalah kita bekerjasama sama ada dikalangan orang agama dan orang awam untuk membanteras solat teman atau hadiah ini.
Wallahua’lam.