Isu menjual makanan pada waktu tengahari pada bulan Ramadhan adalah isu kontemporari yang wujud akibat kegiatan sebahagian orang Islam yang tidak segan silu enggan untuk berpuasa dalam bulan Ramadhan tanpa keuzuran dan kadang-kadang dilakukan secara terbuka. Sewaktu umat Islam melaksanakan Rukun Islam keempat ini dengan penuh keimanan dan mengharap pahala dari sisi Allah SWT, ada dalam kalangan peniaga yang tidak sensitif membiarkan orang-orang yang tidak berpuasa ini untuk membeli dari mereka.
Dalam hal ini, Rasulullah SAW juga telah memberi satu ancaman yang keras terhadap orang yang sengaja berbuka puasa pada siang hari di bulan Ramadhan dengan sabda baginda:
من أَفطرَ يوماً من رَمضَانَ من غَيرِ رُخصةٍ ولا مرضٍ لَمْ يَقضِ عنه صومُ الدَّهرِ كلِّهِ وإِنْ صامَهُ
“Sesiapa yang berbuka puasa sehari di bulan Ramadhan tanpa ada rukhsah (kelonggaran) yang diizinkan Allah untuknya, andai dia berpuasa sepanjang masa sekalipun tidak akan berupaya membayarnya sekalipun ia melakukannya”
(Riwayat Abu Daud)
Seorang muslim yang menjual makanan kepada orang yang meninggalkan puasa dengan sengaja tanpa ada sebarang keuzuran di siang hari Ramadhan maka ia turut berdosa kerana dikira bersubahat membantu orang lain melakukan dosa. Jika membantu orang lain melakukan ketaatan diberi pahala, maka membantu orang lain berbuat dosa akan diberi balasan dosa oleh Allah.
Kaedah fiqh ada menyatakan :
الإِعَانَةُ عَلَى المَعْصِيَةِ مَعْصِيَةٌ
“Menolong atas perlakuan maksiat ialah maksiat.”
(Ihya’ Ulumiddin (2/144)
Hukum ini juga boleh dikiaskan kepada hukum delivery (penghantar makanan melalui Grab atau FoodPanda), gerai yang dibuka di waktu pagi atau mana mana kedai runcit. Sekiranya dia tidak mengetahui pesanan makanan tersebut diminta oleh orang yang berpuasa ataupun tidak, dia boleh sahaja menghantar makanan tersebut kepadanya. Ini kerana, terdapat beberapa kemungkinan seperti wanita yang dalam keadaan uzur syar’ie, orang yang sakit, anak kecil dan seumpamanya. Manakala sekiranya seseorang itu mengetahui bahawa pesanan atau pembelian tersebut adalah dari orang yang tidak berpuasa dengan sengaja tanpa sebarang keuzuran, maka dia tidak boleh menjual atau menghantar makanan tersebut kepadanya.
Perbuatan jual beli tersebut juga adalah dikira sebagai satu dosa maksiat kerana tolong menolong dalam melakukan maksiat adalah dikira berdosa. Maka para fuqaha mengatakan menjual makanan, penghantar makanan dan sebagainya di siang Ramadhan adalah haram disisi agama.
Walau bagaimanapun hukum penjualan ini dikecualikan kepada anak kecil, wanita haid dan individu-individu yang mendapat uzur syarie.