Sehari dua ni heboh terdengar di hujung telinga saya ada doktor yang sudah tidak mahu membuat pembedahan kerana takutkan kaffarah. Mungkin itu satu gurauan kerana ingin menjadi seorang mukmin yang baik.
Terdapat tiga jenis membunuh dari sudut niat pelaku iaitu:
- القتل عمدا : القتل العمد هو قصد الفعل والشّخص بما يقتل قطعاً أو غالباً
Membunuh dengan sengaja bermaksud melakukan sesuatu perbuatan yang boleh membunuh diri beserta niat. Contohnya seperti ia terjun dari bangunan yang tinggi. - القتل شبه العمد : القتل شبه العمد هو قصد الفعل والشّخص بما لا يقتل غالباً.
Membunuh dengan syibih atau hampir sengaja bermaksud melakukan sesuatu perbuatan tanpa niat membunuh dengan mengunakan alat yang kebiasaannya tidak munasabah boleh membunuh tetapi ia menyebabkan kematian. Contohnya seperti memukul seseorang dengan kayu yang kecil. - القتل خطأ : ما وقع دون قصد الفعل والشّخص ، أو دون قصد أحدهما
Membunuh dengan tidak sengaja bermaksud tidak berniat melakukan perbuatan yang boleh membunuh diri atau pembunuhan yang tersilap. Contohnya seperti seseorang menggali lubang, akhirnya disebabkan kecuaiannya orang terjatuh lalu menyebabkan kematian.
Mengenai Isu membunuh tidak sengaja Allah berfirman :
وَمَا كَانَ لِمُؤْمِنٍ أَن يَقْتُلَ مُؤْمِنًا إِلَّا خَطَـًۭٔا ۚ وَمَن قَتَلَ مُؤْمِنًا خَطَـًۭٔا فَتَحْرِيرُ رَقَبَةٍۢ مُّؤْمِنَةٍۢ وَدِيَةٌۭ مُّسَلَّمَةٌ إِلَىٰٓ أَهْلِهِۦٓ إِلَّآ أَن يَصَّدَّقُوا۟ ۚ فَإِن كَانَ مِن قَوْمٍ عَدُوٍّۢ لَّكُمْ وَهُوَ مُؤْمِنٌۭ فَتَحْرِيرُ رَقَبَةٍۢ مُّؤْمِنَةٍۢ ۖ وَإِن كَانَ مِن قَوْمٍۭ بَيْنَكُمْ وَبَيْنَهُم مِّيثَـٰقٌۭ فَدِيَةٌۭ مُّسَلَّمَةٌ إِلَىٰٓ أَهْلِهِۦ وَتَحْرِيرُ رَقَبَةٍۢ مُّؤْمِنَةٍۢ ۖ فَمَن لَّمْ يَجِدْ فَصِيَامُ شَهْرَيْنِ مُتَتَابِعَيْنِ تَوْبَةًۭ مِّنَ ٱللَّهِ ۗ وَكَانَ ٱللَّهُ عَلِيمًا حَكِيمًۭا ٩٢
“Dan tidak harus sama sekali bagi seseorang mukmin membunuh seorang mukmin yang lain, kecuali dengan tidak sengaja. Dan sesiapa yang membunuh seorang mukmin dengan tidak sengaja, maka (wajiblah ia membayar kaffarah) dengan memerdekakan seorang hamba yang beriman serta membayar “diah” (denda ganti nyawa) yang diserahkan kepada ahlinya (keluarga si mati), kecuali jika mereka sedekahkan (memaafkannya). Tetapi jika ia (yang terbunuh dengan tidak sengaja) dari kaum (kafir) yang memusuhi kamu, sedang ia sendiri beriman, maka (wajiblah si pembunuh membayar kaffarah sahaja dengan) memerdekakan seorang hamba yang beriman. Dan jika ia (orang yang terbunuh dengan tidak sengaja itu) dari kaum (kafir) yang ada ikatan perjanjian setia di antara kamu dengan mereka, maka wajiblah membayar “diah” (denda ganti nyawa) kepada keluarganya serta memerdekakan seorang hamba yang beriman. Dalam pada itu, sesiapa yang tidak dapat (mencari hamba yang akan dimerdekakannya), maka hendaklah ia berpuasa dua bulan berturut-turut; (hukum yang tersebut) datangnya dari Allah untuk menerima taubat (membersihkan diri kamu). Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.”
(Surah An-Nisa : 92)
Di dalam ayat tersebut menjelaskan bagi orang mukmin yang tidak sengaja terjadinya kematian atau pembunuhan maka syariat telah meletakkan hukum kaffarah kepada mereka yang melakukan perbuatan tersebut dan ia tidak akan gugur sehingga ditunaikan kewajipan tersebut.
Antara kaffarah membunuh tidak sengaja ini ialah :
- Memerdekakan seorang hamba yang mukmin
- Sememangnya sistem hamba ini memang sudah tiada lagi di dunia ini maka hukumannya boleh berpindah kepada berpuasa 2 bulan berturut-turut. Pendapat inilah yang dibawa oleh jumhur ulamak. Walau bagaimanapun terdapat pendapat lemah di dalam mazhab syafie yang menyatakan boleh bersedekah kepada 60 fakir miskin makanan asasi harian tempatan.
Pendapat ini saya rasa lebih sesuai dengan keadaan zaman kita di mana orang Islam sangat sukar untuk melakukan puasa 2 bulan berturut-turut. Akan tetapi sekiranya dia boleh berbuat demikian (yakni puasa 2 bulan berturut-turut ) maka ia lebih afdal serta bertepatan dengan Al-Quran.
* Wajib ditentukan di dalam niat bahawa puasa itu untuk kaffarah.
Berkenaan persoalan seorang doktor bedah atau seorang pemandu yang boleh disabitkan kesalahan ini, perbuatan ini boleh berlaku dalam beberapa situasi iaitu :
Sekiranya seseorang doktor bedah itu cuai menjalankan tugasnya, contohnya dia tersalah memotong arteri yang menyebabkan pendarahan, akhirnya pesakit itu mati maka dia dikategorikan membunuh tidak sengaja dan ke atasnya kaffarah. Sama juga kalau diletakkan atas pemandu. Kalau kemalangan itu disebabkan kecuainnya seperti disebabkan bermain WhatsApp atau melebihi had laju barulah kita boleh letakkan ini pada kes kecuaiannya.
Akan tetapi sekiranya seseorang doktor itu tersalah ijtihad, dan tiada niat untuk membunuh atau bukan kerana kecuaian dirinya yang mengakibatkan pesakitnya itu mati, atau tubuhnya terlalu lemah disebabkan asbab-asbab lain, maka dia tidak dianggap membunuh pesakit sekiranya berlaku kematian. Hal ini bertepatan dengan kaedah:
الأمور بمقاصدها
“Setiap perkara dan perbuatan itu dinilai berdasarkan niat”
Oleh itu, kita hendaklah sentiasa berhati-hati dalam menjalankan apa-apa tugas yang diberikan di samping janganlah meletakkan diri kita dan orang sekeliling di dalam sebarang kebinasaan.
Firman Allah SWT:
وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ وَأَحْسِنُوا
“Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan; dan baikilah (dengan sebaik-baiknya segala usaha dan) perbuatan kamu”
(Surah al-Baqarah: 195)
Pendapat ini hanyalah pendapat peribadi saya yang tidak lepas dari salah dan silap.