Sememangnya saya tidak mahu huraikan hal ini secara panjang lebar kerana sudah banyak asatizah kita menghuraikannya, akan tetapi disebabkan ramai yang bertanya maka saya cuba ringkaskannya semampu yang mungkin.
Sembahyang sunat Tarawih ditunaikan seperti solat sunat biasa, iaitu dua rakaat satu salam, kemudiannya diulangi lagi sehingga genap rakaat yang dikehendaki.
Hukum menunaikan solat tarawih hanyalah sunat muakkad sahaja. Sekiranya seorang muslim meninggalkannya, dia tidaklah dianggap sebagai berdosa tetapi ia akan menjadi dosa sekiranya kita menjadikan bilangan rakaatnya sebagai bahan untuk perselisih pendapat dan pertelagahan sesama muslim dan mewujudkan persengketaan di dalam masjid dan sebagainya.
Di Malaysia, umumnya kita melihat ada surau dan masjid yang mendirikan sembahyang sunat Tarawih sebanyak 20 rakaat (sebagaimana pendapat jumhur), tetapi ada juga yang hanya menunaikan sekadar 8 rakaat sahaja.
Permasalahan mengenai bilangan rakaat ini menjadi isu hangat dikalangan umat islam khususnya di tempat kita sehingga melahirkan pendapat yang ekstrim. Kumpulan pertama, mereka yang mengingkari rakaat tarawih yang lebih dari sebelas rakaat dan membid’ahkan pelakunya manakala kumpulan kedua, mereka yang mengingkari orang yang hanya menunaikan sebelas rakaat dan mengatakan: “Mereka telah menyalahi ijma’”.
Dalam hal ini, saya berpendapat bahawa Rasulullah SAW tidak pernah menetapkan bilangan yang tertentu pada solat tarawih. Begitu juga tidak terdapat dalil yang qat’ei yang menunjukkan ke atas bilangan rakaat yang dikerjakan oleh Rasulullah SAW kerana terdapat pelbagai riwayat yang berbeza mengenai bilangan rakaat solat tarawih.
Di dalam kitab Tuhfatul Ahwazi, Syeikh alMabarakfuri mengatakan bahawa terdapat mereka mengerjakan solat tarawih lebih daripada dua puluh rakaat. Sebagai contoh Imam Tirmizi mengatakan 41 rakaat beserta witir, al Aini di dalam umdatul qari mengatakan 36 rakaat, Nafi’ 39 rakaat, Zararah bin Aufa 34 rakaat, Saied bin Jibrien 24 rakaat, dan 11 rakaat bedasarkan hadis Aishah. (Tuhfah al Ahwazi 3/437).
Maka sebaiknya bagi menyelesaikan kemelut rakaat solat tarawih, Imam dinasihatkan menunaikan solat Tarawih menurut kesesuaian makmum. Makmum pula sangat digalakkan untuk mengikut imam sehingga selesai solat bagi memperolehi kelebihan sebagaimana yang disebut di dalam hadis:
مَنْ قَامَ مَعَ الإِمَامِ حَتَّى يَنْصَرِفَ كُتِبَ لَهُ قِيَامُ لَيْلَةٍ
“Siapa yang menunaikan solat bersama imam sehingga selesai, dicatit untuknya pahala seperti menghidupkan sepanjang malam dengan beribadah.”
(Riwayat al-Tirmizi 806)