More
    HomeIbadahAdakah Saya Dikecualikan Membayar Zakat Fitrah?

    Adakah Saya Dikecualikan Membayar Zakat Fitrah?

    Ikuti kami untuk info terkini

    Soalan : Assalamualaikum ustaz, saya ni antara orang yang menerima zakat dari Majlis agama. Adakah saya dikecualikan membayar zakat fitrah?

    Jawapan :

    Salah satu yang terdapat dalam rukun Islam yang 5 adalah menunaikan zakat. Zakat bertujuan untuk membantu asnaf, masalahnya adakah penerima zakat itu sendiri diwajibkan untuk membayar zakat fitrah?

    Zakat fitrah diwajibkan ke atas semua individu sama ada lelaki atau wanita, kecil atau dewasa, merdeka atau hamba, miskin atau kaya, orang bandar atau pedalaman mengikut syarat yang telah ditetapkan.

    Di dalam satu hadis dari Ikrimah bahawa :

    عَنْ عِكْرِمَةَ عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ فَرَضَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- زَكَاةَ الْفِطْرِ طُهْرَةً لِلصَّائِمِ مِنَ اللَّغْوِ وَالرَّفَثِ وَطُعْمَةً لِلْمَسَاكِينِ مَنْ أَدَّاهَا قَبْلَ الصَّلاَةِ فَهِىَ زَكَاةٌ مَقْبُولَةٌ وَمَنْ أَدَّاهَا بَعْدَ الصَّلاَةِ فَهِىَ صَدَقَةٌ مِنَ الصَّدَقَاتِ

    “Rasulullah mewajibkan zakat fitrah sebagai penyuci orang yang berpuasa dari perbuatan yang menggugurkan pahala puasa serta dari perbuatan dan ucapan yang buruk, juga sebagai makanan bagi orang miskin. Barangsiapa yang menunaikannya sebelum solat, maka zakatnya diterima. Barangsiapa yang menunaikannya setelah solat maka ia dinilai sebagai sedekah biasa.”

    (Riwayat Abu Daud)

    Hadis di atas menunjukkan bahawa antara syarat wajib mengeluarkan zakat fitrah ialah:

    1. Beragama Islam
    2. Mampu untuk menunaikannya

    Ulama telah berselisih pendapat mengenai ukuran “mampu” yang diwajibkan mengeluarkan zakat. Jumhur ulama (Malikiyah, Syafi’iyah dan Hanabilah) memberikan batasan, bahawa jika seseorang memiliki sisa makanan untuk diri dan keluarganya pada malam hari raya dan keesokan paginya maka dia wajib membayar zakat fitrah, kerana dalam Islam, walaupun dia penerima zakat, akan tetapi dia dikira orang yang mampu mengeluarkan zakat fitrah.

    Di dalam satu hadis Nabi SAW bersabda:

    سَأَلَ وَعِنْدَهُ مَا يُغْنِيهِ فَإِنَّمَا يَسْتَكْثِرُ مِنَ النَّارِ » فَقَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ وَمَا يُغْنِيهِ قَالَ « أَنْ يَكُونَ لَهُ شِبَعُ يَوْمٍ وَلَيْلَةٍ أَوْ لَيْلَةٍ وَيَوْمٍ رواه أبو دادود

    “Barang siapa yang meminta, sementara dia memiliki sesuatu yang mencukupinya, maka dia telah mengumpulkan bara api neraka (yang akan membakar dirinya).” Para sahabat bertanya, “Ya Rasulullah, apa ukuran sesuatu yang mencukupinya (sehingga tidak boleh meminta)?” Baginda SAW menjawab, “Dia memiliki sesuatu yang mengenyangkan untuk (dirinya dan keluarganya) selama sehari semalam.”

    (Riwayat Abu Daud)

    Imam Ahmad ditanya, “Apakah orang miskin wajib mengeluarkan zakat fitrah?” Beliau menjawab,

    إِذَا كَانَ عِنْدَهُ قُوتُ يَوْمِهِ فَمَا فَضُلَ عَنْهُ لِيُؤَدِّي

    “Jika dia memiliki bahan makanan yang cukup untuk satu hari maka sisanya ditunaikan untuk zakat.”

    Beliau ditanya lagi, “Jika dia tidak memiliki apa pun?” Imam Ahmad menjawab, “Dia tidak wajib membayar zakat apa pun.” (Al-Masail Imam Ahmad).

    Dalam hal ini juga Ibnu Qudamah mengatakan, “Zakat fitrah tidak wajib dikeluarkan kecuali dengan dua syarat. Salah satunya, dia memiliki sisa makanan untuk diri dan keluarganya pada malam dan siang hari raya sebanyak satu sha’. kerana nafkah untuk peribadi itu lebih penting, sehingga wajib untuk didahulukan, berdasarkan sabda Nabi SAW,

    ‘Mulai dari dirimu dan orang yang kamu tanggung nafkahnya.’

    (Riwayat Tirmizi)

    Kemudian Ibnu Qudamah dengan lebih lanjut menjelaskan mengenai seseorang yang mempunyai harta, namun masih mempunyai hutang. Beliau mengatakan bahawa, seseorang itu perlu melunaskan hutangnya terlebih dahulu (jika diminta atau telah tamat tempoh perjanjian) kerana ia merupakan hak terhadap manusia yang wajib dilunaskan.

    Namun, jika hutangnya masih mempunyai tempoh atau belum dituntut, maka wajib ke atasnya membuat pembayaran zakat terlebih dahulu.” (Al-Mughni).

    Kesimpulannya :

    Perlu diingatkan bahawa tidak semestinya seseorang itu menerima zakat, ia dikecualikan untuk mengeluarkan zakat fitrah.

    Dalam erti kata lain, ada orang yang berhak menerima zakat akan tetapi dia juga berkewajiban mengeluarkan zakat fitrah. Ini disebabkan kerana dia memiliki simpanan beras, lebih dari yang dia perlukan, baik beras itu berasal dari simpanan sendiri, atau beras yang disimpan hasil dari orang yang telah memberikan zakat kepadanya.

    Ustaz Nik Nizam Nasir

    LEAVE A REPLY

    Please enter your comment!
    Please enter your name here

    TRENDING