More
    HomeSyariatBilangan Talak Dia, 3 Atau 1?

    Bilangan Talak Dia, 3 Atau 1?

    Ikuti kami untuk info terkini

    Salam ustaz, saya ada masalah berkenaan cerai. Seorang wanita telah bercerai dua kali. Lepas tu wanita tu nikah dengan lelaki lain dan bercerai lagi. Kemudian dia nikah pula dengan lelaki pertama. Lepas tu dia bercerai lagi. Masalahnya macam mana dengan bilangan talak dia, 3 atau 1?

    Jawapan :

    Menurut Imam Syafi’e, apabila seseorang wanita yang telah diceraikan sekali atau dua kali talak Bain Sughra, kemudiannya berkahwin dengan lelaki lain sebelum diceraikan dalam perkahwinan yang baru, lalu ingin merujuk semula dengan bekas suami pertamanya; jumlah talak yang dibenarkan pada mereka akan dikira baki pada kali pertama perkahwinan mereka berdua.

    Majoriti pandangan menyokong bahawa jumlah talak yang jatuh pada pasangan suami isteri yang berkahwin semula selepas melalui talak dan isteri menikahi lelaki lain, adalah baki daripada perkahwinan pertama mereka. Ini berdasarkan athar yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA bahawa Umar al-Khattab RA telah berkata:

    أيُّما امرأةٍ طلَّقَها زوجُها طلقةً أو طلقتينِ ثمَّ تزوَّجَت غيرَهُ فماتَ أو طلَّقَها ثمَّ تزوَّجَها الأوَّلُ فإنَّها عندَهُ على ما بقِيَ من طلاقِهِ لَها

    Maksudnya: “Sekiranya seorang wanita diceraikan suaminya dengan talak satu atau talak dua, kemudian wanita itu berkahwin dengan lelaki yang lain, kemudian lelaki ( suami baru) yang baru dikahwini mati atau diceraikan lalu wanita itu kembali menikahi suami yang pertama, maka wanita itu di sisi lelaki itu (boleh ditalak) dengan apa yang berbaki dari talaknya kepada wanita tersebut.”

    (Riwayat Imam Syafi’e dalam Musnadnya (no.1276))

    Berdasarkan riwayat di atas, Imam Syafi’e berpendapat bahawa sekiranya suami menceraikan isterinya dengan talak satu, atau dua, kemudian wanita tersebut bernikah pula dengan lelaki lain, dan melakukan persetubuhan kemudian, diceraikan pula lelaki yang kedua. Lalu, wanita tersebut bernikah dengan suami yang pertama, maka suami yang pertama hanya memiliki baki daripada talak yang dilafazkan sebelum ini ke atas wanita tersebut. Begitu juga, sekiranya wanita itu tidak bernikah dengan lelaki lain, dan tidak disetubuh oleh suami yang lain, bilangan talak dikira daripada baki kecuali jika ditalak tiga.

    Beliau mengatakan bahawa terdapat perbezaan mengapa bilangan talak diambil daripada baki sekiranya talak satu atau dua, manakala mendapat bilangan penuh sekiranya talak tiga.

    Hal ini berdasarkan dua firman Allah SWT:

    الطَّلَاقُ مَرَّتَانِ ۖ فَإِمْسَاكٌ بِمَعْرُوفٍ أَوْ تَسْرِيحٌ بِإِحْسَانٍ ۗ

    Maksudnya: Talak (yang boleh dirujuk kembali itu hanya) dua kali. Sesudah itu bolehlah ia (rujuk dan) memegang terus (isterinya itu) dengan cara yang sepatutnya atau melepaskan (menceraikannya) dengan cara yang baik.

    (Surah al-Baqarah : 229)

    FirmanNya lagi:

    فَإِن طَلَّقَهَا فَلَا تَحِلُّ لَهُ مِن بَعْدُ حَتَّىٰ تَنكِحَ زَوْجًا غَيْرَهُ ۗ

    Maksudnya: Sesudah (diceraikan dua kali), itu jika diceraikan pula (bagi kali yang ketiga) maka perempuan itu tidak halal lagi baginya sesudah itu, sehingga ia berkahwin dengan suami yang lain.

    (Surah al-Baqarah: 230)

    Imam Syafi’e mengatakan bahawa firman Allah SWT di atas menjelaskan terdapat perbezaan di antara talak satu atau dua dengan talak tiga. Hal ini kerana, wanita yang ditalak dengan talak satu dan dua, boleh dirujuk semula. Berbeza dengan keadaan sekiranya ditalak dengan talak tiga, haram ke atas lelaki tersebut untuk menikahi semula wanita tersebut sehinggalah wanita tersebut bernikah dengan lelaki lain terlebih dahulu.

    Selagi mana wanita yang ditalak dengan talak tiga oleh suaminya tidak berkahwin dengan orang lain, maka kekal hukum haram ke atas lelaki tersebut untuk menikahinya.

    Inilah yang membezakan antara talak satu atau dua dengan talak tiga. Tidak boleh diqiaskan perkara yang sudah jelas pengharaman dengan yang tidak diharamkan, kerana talak satu dan dua tidak diharamkan untuk lelaki tersebut untuk kembali kepada isterinya. (al-Umm 369).

    Begitu juga kalau dilihat Imam al-Baijuri mengatakan:

    لو طلق كل من الحر والعبد دون ما يملكه ثم راجع أو جدد عادت له بما بقي من الطلاق وإن اتصلت بأزواج

    Maksudnya: “Sekiranya orang yang merdeka ( bebas) atau hamba menjatuhkan talak kurang dari tiga (sama ada satu atau dua) kemudian merujuk kembali atau memperbaharui akad, maka (pasangan ini) hanya berbaki daripada talak-talak meskipun wanita itu berkahwin dengan lelaki-lelaki lain.

    (Hasyiah al-Baijuri (2/271)

    Walau bagaimanapun, ada juga pendapat dari mazhab Hanafi yang menyebut bahawa bilangan talak dibenarkan akan bermula semula daripada keadaan ‘kosong’ pada perkahwinan semula mereka berdua.

    Berkata Imam Ala’uddin al-Kasani daripada mazhab Hanafi:

    هَلْ يَهْدِمُ مَا كَانَ فِي مِلْكِ الزَّوْجِ الْأَوَّلِ مِنْ الطَّلَاقِ لَا خِلَافَ فِي أَنَّهُ يَهْدِمُ الثَّلَاثَ، وَهَلْ يَهْدِمُ مَا دُونَ الثَّلَاثِ قَالَ أَبُو حَنِيفَةَ وَأَبُو يُوسُفَ يَهْدِمُ وَقَالَ مُحَمَّدٌ لَا يَهْدِمُ وَبِهِ أَخَذَ الشَّافِعِيُّ

    Maksudnya: “Adakah terhapus bilangan talak yang dimiliki oleh suami yang pertama? Tiada khilaf bahawa jika berlaku pada talak tiga akan terhapus; namun adakah terhapus bagi talak di bawah tiga? Berkata Abu Hanifah dan Abu Yusuf: Terhapus. Berkata Muhammad (Ibnu Hasan al-Syaibani): Tidak terhapus. Inilah pendapat yang diambil oleh al-Syafi’e.”

    (al-Bada’i` al-Sona’i` (3/189))

    Ustaz Nik Nizam Nasir

    LEAVE A REPLY

    Please enter your comment!
    Please enter your name here

    TRENDING