Masih ramai yang tidak menunaikan solat Jumaat dengan alasan PKPB. Setelah melalui beberapa proses dalam menghadapi ujian COVID19, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) telah membenarkan solat Jumaat dan fardhu dilaksanakan di masjid di negeri ini mengikuti prosedur yang ditetapkan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Walau bagaimanapun masih ramai yang tidak datang untuk solat Jumaat dengan alasan PKPB. Sepatutnya kita harus cuba datang dahulu ke masjid untuk berusaha menunaikan solat Jumaat.
Ingatlah bahawa hukum menunaikan solat Jumaat adalah wajib dan jika ditinggalkan walaupun sekali adalah HARAM, BERDOSA BESAR! Hukum haram ini berlaku sekiranya ditinggalkan tanpa keuzuran syar’ie.
Firman Allah Taala:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلاةِ مِنْ يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَى ذِكْرِ اللَّهِ
“Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang jumaat)”
(Surah al-Jumu’ah : 9)
Sembahyang Jumaat merupakan khususiat (keistimewaan bagi umat Nabi SAW). Ia merupakan ibadat yang sangat agung dan mempunyai fadhilat yang banyak.
Antaranya ialah sebagai penghapus dosa dalam setiap minggu. Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
الصَّلَوَاتُ الْخَمْسُ، وَالْجُمْعَةُ إِلَى الْجُمْعَةِ، وَرَمَضَانُ إِلَى رَمَضَانَ، مُكَفِّرَاتٌ مَا بَيْنَهُنَّ إِذَا اجْتَنَبَ الْكَبَائِرَ
“Solat fardhu lima waktu, (sembahyang) Jumaat hingga ke Jumaat (seterusnya), Ramadhan hingga Ramadhan seterusnya adalah semuanya ini penebus dosa di antara keduanya selama mana tidak dilakukan dosa-dosa besar.”
Riwayat Muslim (209)
Ancaman Pada Mereka Yang Sengaja Meninggalkan Solat Jumaat
Ancaman Rasulullah SAW terhadap mereka yang sengaja meninggalkan solat Jumaat perlu diberi perhatian. Abu al-Ja`d meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ تَرَكَ الجُمُعَةَ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ تَهَاوُنًا بِهَا طَبَعَ اللَّهُ عَلَى قَلْبِهِ
“Barangsiapa yang meninggalkan solat Jumaat tiga kali kerana meringan-ringankannya, Allah akan mengunci hatinya.”
Riwayat al-Tirmizi (500)
Beliau menyatakan hadis ini hadis hasan. Oleh itu, sesiapa yang meninggalkan sembahyang Jumaat tanpa berusaha untuk pergi ke masjid hukumnya adalah berdosa besar, apatah lagi jika meninggalkannya tiga kali berturut-turut, hatinya akan dicapkan oleh Allah sebagai hati orang munafiq.
Abu al-Ja‘di al-Dhamriy RA meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda:
مَنْ تَرَكَ الْجُمُعَةَ ثَلاَثًا طَبَعَ اللهُ عَلَى قَلْبِهِ وَجَعَلَ قَلْبَهُ فَهُوَ قَلْبُ الْمُنَافِقِ
“Sesiapa yang meninggalkan Jumaat tiga kali nescaya Allah akan mencap hatinya, dan (Allah) menjadikan hatinya itu seperti hati orang munafiq.”
Riwayat al-Tirmizi (500), al-Nasa’ie (8813) dan Ibn Khuzaimah (1858)
Dalam riwayat Ibnu Khuzaimah dan Ibnu Hibban, bermaksud: “sesiapa yang meninggalkan solat Jumaat sebanyak tiga kali maka ia adalah munafiq.”
Abu Bakar Al Munziri berkata : para ahli ilmu telah ijma bahawa solat Jumaat wajib ke atas orang merdeka yang baligh yang tidak punya keuzuran.
Ibnul Arabiyy berkata solat jumaat adalah fardhu dengan ijma umat Islam.
Ibnu Qudamah berkata telah ijma umat Islam atas kewajipan solat Jumaat.
Syaikh Ibnu Hajar Al Haitami mengatakan hukum meninggalkan solat jumaat, tanpa uzur, adalah dosa besar walaupun ia telah menunaikan solat zohor.
Ini diperkuatkan oleh bahawa melakukan solat jumaat dalam jamaah adalah fardhu ain ke atas lelaki yang tidak ada keuzuran, yang sabit dengan ijma’. Bahkan hukumnya adalah diketahui dengan dharurah, maka sesiapa yang menganggap halal (harus) meninggalkannya sedangkan ia tinggal bersama orang-orang Islam, jadi kafir, kerana ia telah diijma’kan dan diketahui dengan mudah (dharurah).
Andai kalau berkata seseorang Islam: Saya solat Zohor tetapi tidak solat Jumaat, atau menafikan kewajipan solat Jumaat, maka ia boleh dihukum bunuh, pada pendapat yang paling sahih. Ini disebabkan kerana ianya sama dengan meninggalkan solat.
Imam Syafie juga pernah mengatakan solat Jumaat adalah solat asing bersendirian, dan bukannya adalah ganti solat Zohor, maka oleh itu hukum meninggalkan solat Jumaat adalah dosa besar. (Az Zawajir, jilid 1, halaman 250).
Di bawah Enakmen 4 Tahun 1994, Enakmen Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan 1994, di bawah Seksyen 104, Tidak sembahyang Jumaat ada dinyatakan : Seseorang lelaki yang akil baligh yang tidak menunaikan sembahyang Jumaat di dalam mukim masjidnya tiga kali berturut-turut dengan tiada keuzuran syari’e dan dengan tiada sebab-sebab yang munasabah adalah bersalah atas suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, dikenakan denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau penjara selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.