Pertama, menjatuhkan perceraian ketika isteri dalam tempoh suci, yang mana selama suci tidak ada hubungan antara keduanya. Ini disebabkan kerana jika perceraian itu dijatuhkan ketika haid atau selama masa suci ketika persetubuhan telah berlaku, maka akan menjadikan masa iddah wanita lebih lama, sehingga dapat menjadi lebih membebankan bagi wanita.
Diriwayatkan bahawa:
عَنْ ابْنِ عُمَرَ أَنَّهُ طَلَّقَ امْرَأَتَهُ وَهِيَ حَائِضٌ فَذَكَرَ ذَلِكَ عُمَرُ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ مُرْهُ فَلْيُرَاجِعْهَا ثُمَّ لِيُطَلِّقْهَا طَاهِرًا أَوْ حَامِلًا
“Dari Ibnu Umar RA bahawa dia pernah menceraikan isterinya dalam keadaan haid, kemudian Umar bin Khatthab RA menceritakan kejadian tersebut kepada Nabi. Lantas beliau pun berkata kepada Umar bin Khatthab RA, ‘Perintahkanlah kepada dia (Ibnu Umar RA) supaya dia kembali kepada isterinya, kemudian talaklah dia dalam keadaan dia suci atau hamil’.”
(Riwayat Muslim 1471)
Adapun kepentingan perintah Nabi untuk sabar menunggu dua masa suci setelah merujuk isterinya, ialah bertujuan dari kembali rujuk dan bukan bertujuan untuk mentalaknya kembali. Ia juga memberi peluang untuk kita berfikir dan mencegah diri dari bercerai.
Kedua, memberi peluang untuk menjatuhkan satu talak dan tidak mengumpulkan tiga talak dalam satu perkataan. Sebenarnya dengan perceraian seseorang dapat menyampaikan apa yang dimaksudkan, iaitu perceraian.
Di samping itu, dapat juga diambil faedah untuk merujuk setelah selesainya tempoh iddah, jika suami merasa kasihan dengan perceraian yang telah dijatuhkannya, dan isteri bersedia menerimanya.
Berbeza keaadannya apabila dijatuhkan tiga talak sekaligus, selain dapat lebih menyakiti hati perempuan, ia juga memerlukan proses yang lebih lama untuk dapat merujuknya.
Ketiga, bersikap lemah lembut dalam menolak perceraian dan menyampaikan alasan. Tidak dengan cara yang kasar dan kejam, sehingga boleh melukai perasaan isteri.
Selanjutnya, Imam al-Ghazali menambahkan bahawa suami harus memberikan hadiah atas perpisahan (penceraian) kepada isterinya, sebagai balasan atas kesakitan yang ditanggung oleh isteri akibat perceraian.
Perpisahan dengan orang yang dikasihi adalah perkara yang sangat menyinggung perasaan.
Sehingga selayaknya, seorang lelaki yang baik, memberi sedikit habuan kepada mereka yang pernah memberikan sumbangan kepadanya dan menemani hari-harinya yang lalu.
Keempat, tidak membuka rahsia isteri setelah keduanya berpisah. Hal ini juga berlaku ketika keduanya masih berada dalam ikatan pernikahan. Kita tentu dapat memahami bahwasanya menceritakan rahsia pasangan–terlebih menceritakan aibnya–, merupakan sebuah pengkhianatan di antara dua insan yang sudah saling berjanji. Adab ini sejajar dengan sabda Nabi Muhammad SAW:
عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ: إِنَّ شَرَّ النَّاسِ عِنْدَ اللَّهِ مَنْزِلَةً يَوْمَ الْقِيَامَةِ: الرَّجُلُ يُفْضِي إِلَى امْرَأَتِهِ، وتُفْضِي إِلَيْهِ، ثم يَنْشُرُ سِرَّهَ
“Sesungguhnya seburuk-buruk manusia di sisi Allah di hari kiamat adalah seorang lelaki yang menyetubuhi isterinya, kemudian dia menceritakan kisah perhubungannya (diatas katil)”
(Riwayat Muslim 1437)
Di samping itu, ketika ditanya mengenai alasan perceraian, Imam al-Ghazali menekankan bahawa mustahil orang alim menyebarkan alasan tersebut.
Imam al-Maraghi menyebut dalam Tafsir-nya (1/488) terhadap maksud “menceraikan dengan cara yang baik” : “Sewajarnya si suami tidak menceritakan keburukan dan kehormatan diri bekas isterinya kepada orang lain, sehingga orang lain menjauhi (bekas isteri), jika dia mahu berkahwin lagi dengan lelaki lain. Sikap menceritakan keburukan bekas isteri merupakan satu kesilapan besar dalam ikatan yang pernah berlaku di antara mereka berdua.