Semalam saya ada melihat seorang sahabat yang mana seusai imam memberi salam dia terus bangun untuk solat sunat. Mungkin sahabat ini dalam bahasa kelantannya lorat untuk pergi dalam sesuatu urusan. Persoalannya apakah hukum menunaikan solat sunat selepas solat fardhu?
Sebenarnya terdapat beberapa dalil yang menyuruh kita memisahkan antara solat fardhu dan juga solat sunat. Maknanya kita tidak digalakkan untuk terus mendirikan solat sunat seusai kita memberi salam solat fardhu.
Dalam hal ini diriwayatkan dari Nafi bin Jubair, bahawa beliau pernah solat Jumaat bersama Muawiyah bin Abi Sufyan RA. Setelah salam, Nafi bin Jubair langsung melaksanakan solat sunat. Setelah selesai solat, Muawiyah mengingatkan:
“لَا تَعُدْ لِمَا صَنَعْتَ، إِذَا صَلَّيْتَ الْجُمُعَةَ، فَلَا تَصِلْهَا بِصَلَاةٍ حَتَّى تَكَلَّمَ، أَوْ تَخْرُجَ، فَإِنَّ نَبِيَّ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَمَرَ بِذَلِكَ، أَنْ “لَا تُوصَلَ صَلَاةٌ بِصَلَاةٍ حَتَّى يَتَكَلَّمَ أَوْ يَخْرُجَ
Maksudnya: Janganlah kamu ulangi perbuatan tadi. Jika kamu selesai solat Jumaat, jangan disambung dengan solat yang lainnya, sehingga kamu berbicara atau keluar dari masjid. Ini disebabkan kerana Nabi SAW menyuruh berbuat demikian sebagaimana sabdanya: “Jangan kamu terus menyambung solat wajib dengan solat sunat, sehingga kamu berbicara atau keluar.”
(Riwayat Muslim & Abu Daud)
Hadis ini menunjukkan bahawa yang dimaksudkan dengan berbicara adalah merangkumi berzikir setelah solat dan sebagainya. Paling kurang seseorang itu hendaklah beralih atau berpindah tempat ketika hendak melakukan solat sunat setelah solat fardhu adalah agar tidak termasuk menyambung solat wajib dengan solat sunat.
Imam An-Nawawi dalam mengulas hikmah mengapa digalakkan untuk seseorang itu beralih kedudukan ke tempat yang lain untuk mendirikan solat sunat menyatakan :
قال أصحابنا فَإِنْ لَمْ يَرْجِعْ إلَى بَيْتِهِ وَأَرَادَ التَّنَفُّلَ فِي الْمَسْجِدِ يُسْتَحَبُّ أَنْ يَنْتَقِلَ عَنْ مَوْضِعِهِ قَلِيلًا لِتَكْثِيرِ مَوَاضِعِ سُجُودِهِ فَإِنْ لَمْ يَنْتَقِلْ إلَى مَوْضِعٍ آخَرَ فَيَنْبَغِي أَنْ يَفْصِلَ بَيْنَ الْفَرِيضَةِ وَالنَّافِلَةِ بِكَلَامِ إنْسَانٍ
Maksudnya : Sekiranya seseorang itu tidak pulang ke rumahnya dan hendak menunaikan solat sunat di masjid, maka disunatkan kepadanya untuk beralih sedikit dari tempatnya (yang telah dilakukan solat padanya sebelum ini) untuk memperbanyakkan tempat sujudnya. Sekiranya seseorang itu tidak beralih ke tempat yang lain, maka dia dituntut untuk memisahkan solat fardhu dengan solat sunat dengan perkataan kepada manusia.
Al-Majmu’ Syarah al-Muhazzab, Al-Nawawi (3/491)
Hal ini juga dikuatkan dengan keterangan sahabat, dari Atha’ bahwa Ibnu Abbas, Ibnu Zubair, Abu said, dan Ibnu Umar RAnhum mengatakan:
لَا يَتَطَوَّعُ حَتَّى يَتَحَوَّلَ مِنْ مَكَانِهِ الَّذِي صَلَّى فِيهِ الْفَرِيضَةَ
Maksudnya: “Hendaknya tidak melakukan solat sunah, sehinggalah berpindah dari tempat yang digunakan untuk solat fardhu.”
(Riwayat Ibnu Abi Syaibah)
Kesimpulannya bahawa jika seseorang itu terus bangun mengerjakan solat sunat sesudah solat fardhu hukumnya adalah makruh sahaja (bukanlah haram).
Sebaiknya, seseorang itu hendaklah berpindah di mana dia berada ke tempat lain bagi menunaikan solat sunat atau dia bercakap dengan orang lain atau dia berzikir atau dia melaksanakan solat sunat di rumahnya seperti yang disebut melalui beberapa hadis Nabi yang lain. Diriwayatkan oleh Zaid bin Tsabit RA beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda :
فَإِنَّ أَفْضَلَ صَلاَةِ الْمَرْءِ فِي بَيْتِهِ، إِلاَّ الصَّلاَةَ الْمَكْتُوبَةَ
Maksudnya : Seafdhal atau sebaik baik solat seseorang itu adalah di rumahnya melainkan solat fardhu.
Riwayat Bukhari