Pada umumnya, berdehem dilakukan oleh seseorang untuk membersihkan kerongkong manakala bersendawa pulak biasanya terjadi akibat dari kekenyangan. Di dalam kitab fiqh, sendawa disebut dengan al-jusya’ manakala berdehem disebut dengan tanahnuh.
Persoalannya apakah hukum berdehem dan bersendawa ketika solat, apakah solatnya batal?
Mengenai hukum bersendawa dalam solat, kebanyakan para ulama menyamakan hukumnya dengan hukum berdehem dalam solat. Disebutkan dalam kitab Al-Fawakih Al-Dani bahawa;
وَيَنْبَغِي أَنَّ الْجُشَاءَ وَالتَّنَخُّمَ كَالتَّنَحْنُحِ فِي أَحْكَامِهِ
Adapun mengenai hukum berdehem dalam solat, maka para ulama berbeza pendapat :
Pertama : Jika seseorang berdehem atau sendawa sampai mengeluarkan suara dua huruf, maka solatnya batal. Sebaliknya, jika tidak sampai mengeluarkan suara dua huruf, maka solatnya tidak batal. Ini adalah pendapat yang paling sohih dan diikuti oleh kebanyakan ulama.
Kedua : Berdehem tidak membatalkan solat meskipun sampai mengeluarkan suara dua huruf. Ini adalah pendapat Imam Al-Rafii.
Ketiga : Jika seseorang berdehem dan mulutnya tertutup, maka solatnya tidak batal, sama ada dia mengeluarkan suara dua huruf atau tidak. Namun jika berdehem dengan membuka mulut sehingga mengeluarkan suara dua huruf, maka solatnya batal.
Jika tidak sampai mengeluarkan suara dua huruf, maka solatnya tidak batal. Ini adalah pendapat Imam Al-Mutawalli.
Penjelasan di atas telah disebutkan oleh Imam Nawawi dalam kitab Al-Majmu’ bahawa;
وأما التنحنح فحاصل المنقول فيه ثلاثة أوجه الصحيح الذى قطع به المصنف والاكثرون ان بان منه حرفان بطلت صلاته والا فلا والثانى لا تبطل وان بان حرفان قال الرافعي وحكى هذا عن نص الشافعي والثالث ان كان فمه مطبقا لم تبطل مطلقا والا فان بان حرفان بطلت والا فلا وبهذا قطع المتولي
Maksudnya: Adapun berdehem, maka kesimpulannya ia mempunyai tiga pendapat dan pendapat yang sahih yang telah ditetapkan oleh Mushannif (Imam As-Syairazi) dan kebanyakkan ulama ialah jika jika seseorang berdehem sampai mengeluarkan suara dua huruf, maka solatnya batal. Manakala jika tidak sampai mengeluarkan suara dua huruf, maka tidaklah batal. Kedua, solatnya tidak batal meskipun sampai mengeluarkan suara dua huruf. Imam al-Rafii berkata, ‘pendapat ini diambil dari Imam Syafii’. Ketiga, jika mulutnya tertutup, maka secara mutlak tidak batal. Namun jika terbuka dan sampai mengeluarkan suara dua huruf, maka solatnya batal. Jika tidak mengeluarkan suara dua huruf, maka tidak batal. Ini yang ditetapkan oleh Imam Al-Mutawalli.
Dalam hal ini juga Abu Hanifah dan Muhammad bin Hasan as-Syaibani di dalam Durar al-Hukkam Syarh Gharar al-Ahkam menyatakan bahawa,
وَأَمَّا الْجُشَاءُ فَإِنَّهُ حَصَلَ بِهِ حُرُوفٌ وَلَمْ يَكُنْ مَدْفُوعًا إلَيْهِ يَقْطَعُ عِنْدَهُمَا ، وَإِنْ كَانَ مَدْفُوعًا إلَيْهِ لَا يَقْطَعُ، كَذَا فِي الْكَافِي
Maksudnya: Adapun jika sendawa, kebiasannya ia boleh mengeluarkan suara (huruf), dan andai boleh ditahan maka ia boleh membatalkan solat. Namun jika tidak dapat ditahan, maka ia tidaklah membatalkan solat. Demikian kesimpulan dalam kitab al-Kafi.
(Durar al-Hukkam, 1/448)
Kesimpulannya dalam mazhab as-Syafie, berdehem dan sendawa itu perlu diteliti. Ada kalanya ia boleh jadi membatalkan solat dan boleh jadi tidak. Jika dengan berdehem atau sendawa itu nyata sebutan dua huruf, sama ada memiliki makna atau tidak, atau satu huruf tetapi memiliki makna seperti “قِ” yang bermaksud peliharalah, maka batallah solatnya. Adapun jika tidak jelas sebutan dua hurufnya, maka tidaklah batal. Begitu juga dikiaskan dengan ketawa, menangis, mengaduh, dan menghembus dengan mulut atau hidung. al-Mu’tamad & Sabil al-Muhtadin.
Perlu diingatkan bahawa Syeikh Abdullah bin Aqil berkata “Imam Ahmad menyebutkan bahawa: “Apabila ada orang bersendawa ketika solat, hendaknya dia mengangkat kepalanya ke atas sehingga udaranya hilang.” Kerana, jika tidak, ia boleh mengganggu orang di sekitarnya kerana bau mulutnya.” Beliau berkata: “Ini adalah sebahagian daripada adab.”