More
    HomeSyariatBolehkah Bekas Suami Berkahwin Dengan Anak Bekas Isterinya?

    Bolehkah Bekas Suami Berkahwin Dengan Anak Bekas Isterinya?

    Ikuti kami untuk info terkini

    Bolehkah bekas suami berkahwin dengan anak bekas isterinya? Misalnya Hazlan berkahwin dengan Asiah, kemudian bercerai. Lalu setelah habis iddahnya Asiah berkahwin dengan Rahim dan mendapat anak perempuan. Setelah beberapa tahun berlalu, si Hazlan (bekas suami dulu) mahu berkahwin dengan anak bekas Isterinya (anak Asiah dengan Rahim). Apakah sah atau status perkahwinan tersebut?

    Jawapan :

    Di sini terdapat khilaf di antara ulama’. Timbulnya perselisihan ini bedasarkan ayat surah An-Nisa mafhumnya :

    “Diharamkan kepada kamu berkahwin dengan (perempuan-perempuan yang berikut): ibu-ibu kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan saudara-saudara bapa kamu, dan saudara-saudara ibu kamu, dan anak-anak saudara kamu yang lelaki, dan anak-anak saudara kamu yang perempuan, dan ibu-ibu kamu yang telah menyusukan kamu, dan saudara-saudara susuan kamu, dan ibu-ibu isteri kamu, dan anak-anak tiri yang dalam pemeliharaan kamu dari isteri-isteri yang kamu telah campuri tetapi kalau kamu belum campuri mereka (isteri kamu) itu (dan kamu telahpun menceraikan mereka), maka tiadalah salah kamu (berkahwin dengannya). Dan (haram juga kamu berkahwin dengan) bekas isteri anak-anak kamu sendiri yang berasal dari benih kamu. Dan diharamkan kamu menghimpunkan dua beradik sekali (untuk menjadi isteri-isteri kamu), kecuali yang telah berlaku pada masa yang lalu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”

    Mengikut pendapat Ibnu Hazim di dalam kitab mahallanya, jika anak bekas isteri tidak pernah tinggal bersama bekas suami, maka hukum perkahwinan tersebut adalah harus. Ini disebabkan pada ayat 23 surah An-Nisa ini menyebut : dan anak-anak tiri yang dalam pemeliharaan kamu dari isteri-isteri yang kamu telah campuri tetapi kalau kamu belum campuri mereka (isteri kamu) itu (dan kamu telahpun menceraikan mereka), maka tiadalah salah kamu (berkahwin dengannya).

    Bagi pendapat jumhur yang lain dari mazhab ahli sunnah wal jamaah yang empat, mereka mengatakan di sini terdapat dua keadaan. Jika si Hazlan tidak pernah bersetubuh dengan Asiah, maka hukumnya halal perkahwinan tersebut. Manakala jika si Hazlan pernah bersetubuh dengan Asiah, maka anak Rahim bersama Asiah tidak boleh berkahwin dengan Hazlan dan jika berlakunya perkahwinan tersebut hukumnya tidak sah.

    Di dalam kitab Tafsir Ibnu Kathier dalam menghuraikan perkataan “وربائبكم” pada ayat 23 surah An-Nisa dengan :

    وأما الربيبة وهي بنت المرأة فلا تحرم بمجرد العقد على أمها حتى يدخل بها ، فإن طلق الأم قبل الدخول بها جاز له أن يتزوج بنتها

    Ertinya jika diceraikan emak sebelum bersama / jimak maka diharuskan bagi bekas suami berkahwin dengan anak bekas isterinya.

    Haramnya di sini bukannya disebabkan akad, akan tetapi disebabkan jimak.

    Di dalam Sunan Turmidzi ada dinyatakan sebuah hadis :

    عن عمرو بن شعيب عن أبيه عن جده أن النبي صلى الله عليه وسلم قال أيما رجل نكح امرأة فدخل بها فلا يحل له نكاح ابنتها وإن لم يكن دخل بها فلينكح ابنتها وأيما رجل نكح امرأة فدخل بها أو لم يدخل بها فلا يحل له نكاح أمها قال أبو عيسى هذا حديث لا يصح من قبل إسناده وإنما رواه ابن لهيعة والمثنى بن الصباح عن عمرو بن شعيب والمثنى بن الصباح وابن لهيعة يضعفان في الحديث والعمل على هذا عند أكثر أهل العلم قالوا إذا تزوج الرجل امرأة ثم طلقها قبل أن يدخل بها حل له أن ينكح ابنتها وإذا تزوج الرجل الابنة فطلقها قبل أن يدخل بها لم يحل له نكاح أمها لقول الله تعالى وأمهات نسائكم وهو قول الشافعي وأحمد وإسحق

    Di dalam hadis tersebut ada dinyatakan :

    أيما رجل نكح امرأة فدخل بها فلا يحل له نكاح ابنتها وإن لم يكن دخل بها فلينكح ابنتها

    Ertinya “mana-mana lelaki yang menikahi seseorang perempuan maka tidak halal baginya menikahi anak bagi perempuan itu tetapi jika ia tidak bersetubuh dengannya (kemudian ia menceraikannya/ibu) maka haruslah ia menikahi anaknya”

    Ustaz Nik Nizam Nasir

    LEAVE A REPLY

    Please enter your comment!
    Please enter your name here

    TRENDING