More
    HomePelbagaiPerbezaan Aliran Politik Membuat Kita Hilang Kewarasan?

    Perbezaan Aliran Politik Membuat Kita Hilang Kewarasan?

    Ikuti kami untuk info terkini

    Hari ini ambo nak ajak semua merenung mengenai sejarah pembunuhan Saidina Ali bin Abi Talib.

    Imam adZahabi (748 H) di dalam kitabnya Tarikhul Islam wa Wafayati Masyahiril A’lam menceritakan bahawa Abdul Rahman bin Muljam atau lebih dikenali dengan Ibnu Muljam adalah merupakan seorang ulama alQuran dan fikh. Selain itu, beliau dikatakan orang yang gemar beribadah kepada Allah.

    Dikatakan juga Ibnu Muljam pernah belajar alQuran dari seorang sahabat kebanggaan Rasul yang pernah dikirim ke Yaman, iaitu Muaz bin Jabal. Tidak hanya belajar kepada Muaz bin Jabal, Ibnu Muljam juga pernah mengutus Shabig atTamimi untuk menayakan beberapa masalah mengenai alQuran kepada Sadina Umar. Dalam erti kata lainnya beliau juga dikatakan berguru secara tidak rasmi dengan Saidina Umar alKhatab.

    Semasa pemerintahan Amirul Mukminin Saidina Umar, Ibnu Muljam merupakan seseorang yang sangat istimewa. Beliau diberi kepercayaan oleh Saidina Umar bin Khatab untuk mengajar alQuran di masjid bahkan, agar memudahkan ia mengajar al-Quran di masjid, Umar bin Khattab memerintahkan Amr bin Ash untuk memperluaskan rumah Ibnu Muljam.

    Saidina Umar juga pernah menulis kepada Amr bin al Ash dengan berkata : “Aku telah mengirim kepadamu seorang yang soleh namanya ‘Abdur-Rahmân bin Muljam. Aku merelakan ia bagimu dan jika beliau sampai, muliakanlah ia, dan buatkan sebuah rumah untuknya sebagai tempat mengajarkan Al-Qur`ân kepada masyarakat”.

    Kenapa Ibnu Muljam mengambil keputusan untuk membunuh Saidina Ali?

    Pada asalnya Ibnu Muljam merupakan salah seorang dari penyokong Saidina Ali bin Abi Thalib. Bahkan dikatakan beliau juga pernah berperang bersama Saidina Ali dalam peperangan Jamal melawan Saidatina Aisyah, serta ia juga pernah pergi ke Kufah untuk mengikuti perang Siffin antara kelompok Saidina Ali dengan kelompok Saidina Muawiyah.

    Dikatakan apabila perang siffin berakhir dan persetujuan antara Saidina Ali dan saidina Muawiyah disepakati, Ibnu Muljam menyatakan ketidak puas hati dan tidak bersetuju perdamaian itu dibuat. Beliau berpendapat, perdamaian dan permuawafakatan tersebut itu tidak menepati juga bersalahan dengan tuntutan alQuran dan AsSunnah.

    Apabila terdapat perbezaan pandangan politiknya, Ibnu Muljam mengambil keputusan untuk keluar dari barisan para penyokong Saidina Ali dan memilih untuk menjadi sebahagian dari kelompok baru iaitu alKhawarij. Ketika itu motto perjuangan khawarij untuk menentang saidina Ali ialah ialah “lā hukma illa Allah” (tidak ada hukum yang wajib ditaati kecuali hukum Allah).

    Ibnu Muljam adalah mangsa kepada penyebaran palsu di zaman tersebut yang mempercayai bahawa Saidina Ali adalah seorang munafik, musyrik dan kafir.

    Kelompok Khawarij pada ketika itu menolak kekhilafahan Saidina Ali yang dianggap tidak adil dan tidak menjalankan aturan Allah SWT. Mereka seolah-olah menganggap hanya mereka sahaja yang memahami alQuran dan yang selainnya semuanya adalah salah.

    Memang dikatakan Ibnu Muljam tidak pernah menyesali atas pembunuhan yang telah dilakukan walaupun saat dirinya diqisos.

    Dia telalu yakin bahawa apa yang telah diperjuangkan adalah benar bahkan merasa bangga yang beliau dapat membunuh Saidina Ali. Kesilapan berijtihad mengakibatkan mereka merasa berjuang membela kepentingan agama Islam padahal hakikatnya mereka sedang memerangi Islam dan kaum muslimin.

    Selain mendapatkan hukuman qisos, Ibnu Muljam juga mendapatkan hukuman yang lain. Sebuah hukuman yang tiada akhir, dikenal seluruh muslim dalam sejarah sebagai pembunuh sahabat dan menantu Rasulullah SAW. Semoga kita dapat mengambil pengajaran dari kisah ini.

    Wallahu A’lam.

    Ustaz Nik Nizam Nasir

    LEAVE A REPLY

    Please enter your comment!
    Please enter your name here

    TRENDING