More
    HomeSyariatHukum Azan Ketika Menguruskan Jenazah

    Hukum Azan Ketika Menguruskan Jenazah

    Ikuti kami untuk info terkini

    Azan dan iqamah termasuk syiar umat Islam dan disunnahkan mengumandangkannya ketika masuk waktu solat. Selain itu, ulama juga menganjurkan mengumandangkan azan beserta iqamah pada saat melakukan perjalanan. Disunnahkan pula mengumandangkan azan dan iqamah saat anak dilahirkan. Tidak hanya itu, ada segelintir dari kita juga membudayakan azan mayat ketika hendak dikebumikan. Setelah mayat diletakkan di liang lahad, kain kafan dibuka, dan muka mayat dihadap menghadap kiblat dan salah seorang mengumandang azan sebagai bentuk penghormatan terakhir.

    Ulamak khilaf pada menentukan hukum azan pada jenazah.

    1. Mazhab Maliki

    Al-Hatthab ar-Ru’aini di dalam kitab Mawahibul Jalil fi Syarhi Mukhtashar asy-Syaikh al-Khalil menyebut bahawa :

    وفي فتاوى الأصبحي هل ورد في الأذان والإقامة عند إدخال الميت القبر خبر فالجواب لا أعلم فيه ورود خبر ولا أثر إلا ما يحكى عن بعض المتأخرين ولعله مقيس على استحباب الأذان والإقامة في أذن المولود فإن الولادة أول الخروج إلى الدنيا وهذا أول الخروج منها وهذا فيه ضعف فإن مثل هذا لا يثبت إلا توفيقا

    Maksudnya: Dalam fatwa-fatwanya Al-Asbahi ada persoalanan mengenai apakah terdapat hadis dalam masalah azan dan iqamat ketika memasukkan sesuatu mayat ke kubur? Jawab: Saya tidak mengetahui adanya hadis ataupun athar dalam hal ini kecuali apa yang diceritakan dari sebagian ulama mutaakhir (terbaru). Barangkali diqiaskan dengan anjuran azan dan iqamah di telinga bayi yang baru lahir, Ini disebabkan kerana setiap kelahiran adalah awal keluar ke dunia, sementara setiap kematian adalah awal keluar dari dunia, namun pendapat ini adalah lemah kerana azan ketika mengebumikan jenazah, tidak boleh dijadikan pegangan kecuali jika ada dalil yang sohih.

    2. Mazhab Hanafi

    Ibnu Abdin di dalam kitabnya Radd Al-Muhtar ‘ala Ad-Dur Al-Mukhtar mengatakan:

    أنه لا يسن الاذان عند إدخال الميت في قبره كما هو المعتاد الآن، وقد صرح ابن حجر في فتاويه بأنه بدعة.

    Maksudnya: Tidak dianjurkan mengumandangkan azan ketika memasukkan mayat/jenazah ke dalam kuburnya sebagaimana yang biasa dilakukan sekarang. Bahkan Ibnu Hajar menegaskan dalam himpunan fatwanya bahawa hal itu adalah bid’ah.

    3. Mazhab Hanbali

    Ibnu Qudamah di dalam kitab Asy-Syarhu Al-Kabir mengatakan :

    أجمعت الأمة على أن الأذان والإقامة مشروع للصلوات الخمس ولا يشرعان لغير الصلوات الخمس لأن المقصود منه الإعلام بوقت المفروضة على الأعيان وهذا لا يوجد في غيرها

    Maksudnya: Umat Islam sepakat bahawa azan dan iqamat disyariatkan untuk solat lima waktu dan keduanya tidak disyariatkan untuk selain solat lima waktu, kerana tujuannya adalah untuk memaklumkan (masuknya) waktu solat fardhu kepada orang ramai. Dan ini tidak terdapat pada selainnya

    4. Mazhab Syafie

    Imam Ibnu Hajar al-Haitami di dalam kitab Al-Fatawa Al-Fiqhiyah Al-Kubra dan Tuhfatul Muhtaj menuliskan sebagai berikut :

    “وسئل” نفع الله به بما لفظه ما حكم الأذان والإقامة عند سد فتح اللحد؟ “فأجاب” بقوله هو بدعة ومن زعم أنه سنة عند نزول القبر قياسا على ندبهما في المولود إلحاقا لخاتمة الأمر بابتدائه فلم يصب وأي جامع بين الأمرين ومجرد أن ذاك في الابتداء وهذا في الانتهاء لا يقتضي لحوقه به.

    Maksudnya: Ibnu Hajar al-Haitami pernah ditanya: Apa hukum azan dan iqamah ketika menutup liang lahad? Ibnu Hajar al-Haitami menjawab : Hal Itu adalah bid’ah. Siapa yang meyakini hal itu disunahkan ketika menurunkan jenazah ke kubur, kerana diqiaskan dengan anjuran azan dan iqamah untuk bayi yang baru dilahirkan, iaitu menyamakan di akhir kehidupan manusia sebagaimana ketika awal ia dilahirkan adalah satu pendapat yang salah. Apa yang boleh menyamakan dua hal ini semata-mata alasan, yang satu di awal dan yang satu dihujung, hal ini tidaklah menunjukkan adanya kesamaan. (tidak boleh diqiaskan)

    نعم قد يسن الأذان لغير الصلاة كما في آذان المولود، والمهموم، والمصروع، والغضبان ومن ساء خلقه من إنسان، أو بهيمة وعند مزدحم الجيش وعند الحريق قيل وعند إنزال الميت لقبره قياسا على أول خروجه للدنيا لكن رددته في شرح العباب وعند تغول الغيلان أي تمرد الجن لخبر صحيح فيه، وهو، والإقامة خلف المسافر

    Ya! Ada kalanya azan sunat dikumandangkan selain solat, seperti azan di telinga bayi yang baru lahir, orang yang kesusahan, orang yang pengsan, orang yang marah, orang yang buruk perangainya baik manusia ataupun haiwan, ketika berperang, kebakaran, dikatakan juga ketika menurunkan jenazah ke kubur dengan menqiaskannya terhadap waktu pertama kemunculannya ke dunia. (dilahirkan) Namun saya menolak pendapat ini sebagaimana yang termaktub dalam kitab Syarah al-‘Ubbab. Disunahkan juga mengumandan azan ketika seseorang kerasukan jin berdasarkan hadis sohih, begitu juga azan dan iqamah ketika hendak bermusafir.

    Al Bajirami rahimahullah mengatakan:

    وَلَا يُنْدَبُ الْأَذَانُ عِنْدَ سَدِّهِ خِلَافًا لِبَعْضِهِمْ

    Maksudnya: “Tidak dianjurkan azan ketika menutup liang lahad, ini berbeza dengan sebahagian orang yang menyunnahkannya.”

    (Hasyiyah Al-Bajirami ‘ala Al-Manhaj)

    Prof. DR. Wahbah Az-Zuhaili sampai berkata:

    ولا يسن عند إدخال الميت القبر على المعتمد عند الشافعية .

    Maksudnya: “Dan tidaklah disunnahkan (azan) saat memasukkannya mayat/ jenazah ke liang kubur menurut pendapat yang terkuat dari kalangan Ulama Madzhab Syafi’i.”

    (Al Fiqhul Islam wa Adillatuh :562)

    Abu Bakr Bin Muhammad Syatha Ad-Dimyati salah satu ulama mazhab Syafi’i di dalam kitab I’anatu Ath-Thalibin mengatakan :

    واعلم أنه لا يسن الأذان عند دخول القبر، خلافا لمن قال بنسبته قياسا لخروجه من الدنيا على دخوله فيها

    Maksudnya: Ketahuilah, sesungguhnya tidak disunahkan azan ketika (jenazah) dimasukkan ke kubur, hal ini berbeza dengan pendapat yang mensunahkannya kerana mengqiaskan keluarnya seseorang dari dunia (meninggal) dengan masuknya seseorang ke dunia (dilahirkan).

    Sulaiman Al-Jamal di dalam kitab Hasyiyah Al-Jamal mengatakan :

    ولا يندب الأذان عند سده وفاقا للأصبحي وخلافا لبعضهم ا هـ . برماوي

    Maksudnya: Tidak disunahkan azan ketika menutup liang lahad, sesuai dengan al-Ashbahi dan berbeza dengan sebagian ulama.

    Kesimpulannya permasalahan ini adalah masalah khilafiah dikalangan ulama’. Ada di antara ulama yang mengatakan, azan dan iqamah disunnahkan ketika mengebumikan mayat. Kesunnahan ini diqias dengan kesunnahan mengazankan bayi yang baru lahir. Akan tetapi, menyamakan hukum mengazankan mayat dengan bayi yang baru lahir ini dianggap lemah oleh beberapa ulama.

    Syekh Ibrahim al-Baijuri dalam Hasyiyah al-Baijuri menjelaskan:

    ويسن الأذان والإقامة أيضا خلف المسافر ولا يسن الأذان عند إنزال الميت القبر خلافا لمن قال بسنيته قياسا لخروجه من الدنيا على دخوله فيها قال ابن حجر ورددته في شرح العباب لكن إن وافق إنزاله القبر بأذان خفف عنه في السؤال

    Maksudnya: “Disunnahkan azan dan iqamah ketika bermusafir dan tidak disunnahkan azan ketika mengebumikan mayat. Pendapat ini berbeza dengan ulama yang mensunnahkan azan kerana menyamakan hukumnya dengan mengazankan anak yang baru lahir. Ibnu Hajar berkata, saya menolaknya dalam Syarah al-‘Ubab, akan tetapi jika penguburan mayat disertai azan, maka mayat diringankan dalam menjawab pertanyaan di dalam kubur”

    Dalam hal ini saya lebih cenderung kepada pendapat yang mengatakan mayat akan diringankan azab andai kita semua mendoakannya bukan kerana diazan.

    Ini disebabkan kerana terdapat satu hadis diriwayatkan bahawa:

    كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا فَرَغَ مِنْ دَفْنِ الْمَيِّتِ وَقَفَ عَلَيْهِ فَقَالَ اسْتَغْفِرُوا لِأَخِيكُمْ وَسَلُوا لَهُ بِالتَّثْبِيتِ فَإِنَّهُ الْآنَ يُسْأَلُ

    Maksudnya: “Kebiasaan Nabi saw ketika selesai mengebumikan jenazah, beliau berdiri dikuburnya kemudian bersabda, “Mohonkanlah ampunan untuk saudara kamu dan doakan supaya dia diberikan keteguhan, kerana sekarang ini dia sedang ditanya”.

    (Riwayat Abu Dawud)

    Ibnul Qasim di dalam Hasyiah Ar Raudh Al Murbi’ menyatakan,

    وقال ابن المنذر رحمه الله : “قال بمشروعيته ـ الدعاء ـ الجمهور ، وقال الآجري وغيره : يستحب الوقوف بعد الدفن قليلاً ، والدعاء للميت

    Maksudnya : Ibnul Mundzir berkata, “Pendapat disyariatkan doa untuk mayit (setelah menguburkan) adalah pendapat jumhur ulama.”

    Dari penjelasan di atas, dapat difahami bahawa ulama berbeza pendapat tentang hukum azan dan iqamah ketika menguburkan mayat. Ada yang mengatakan sunnah dan ada yang tidak. Perbezaan ini didasarkan pada perbezaan mereka dalam memahami hadis Nabi. Ulama yang mengatakan tidak sunnah berpendapat dengan tidak adanya dalil yang khusus berkaitan hal ini. Sementara ulama yang membolehkannya mengqiaskan masaalah ini dengan kesunnahan mengazankan anak yang baru lahir.

    Semoga Allah memberikan kita taufiq dan hidayah untuk mengamalkan Islam di dalam segenap kehidupan kita. Wallahu’alam.

    Ustaz Nik Nizam Nasir

    LEAVE A REPLY

    Please enter your comment!
    Please enter your name here

    TRENDING